Profesor Dr. Yusof Al-Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam kontemporari yang tersohor menyatakan “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Menyedari hakikat kepentingan generasi muda, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menganjurkan Persidangan Majlis Kebangsaan Pelajar Islam berlangsung pada 9 dan 10 Julai 2011 di Dewan Syura, Kolej Dar Hikmah, Bangi. Program yang bertemakan “Transformasi Qur’ani, Kepimpinan Rabbani” telah berjaya menghimpunkan 80 perwakilan mahasiswa IPTA/IPTS seluruh Negara.
Persidangan 2 hari ini telah menggariskan beberapa objektif antaranya membahaskan pembangunan kualiti generasi Rabbani disamping membincangkan isu-isu semasa yang melingkari generasi muda dan masyarakat Islam. Selain itu terdapat 7 resolusi gerak kerja yang telah diputuskan untuk dibawa kepada kampus masing-masing.
Selain daripada perbahasan dan perbincangan, JAKIM turut diberi slot khas berbincang bersama perwakilan mahasiswa disamping membentangkan Kertas Kerta Utama Persidangan yang bertajuk “Transformasi Qur’ani, Kepimpinan Rabbani”. Hadir sama ialah Ustazah Hajjah Saimah Binti Mukhtar, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti, Ustazah Hajjah Aishah Abd Majid, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah dan Ustaz Mohd Hariri Haji Mohamad Daud.
Ustazah Saimah Binti Mukhtar dalam ucapannya menyatakan rasa berbesar hati mengalu-alukan kerjasama daripada mahasiswa khususnya persatuan pelajar di universiti untuk membantu JAKIM menggerakkan program-program dakwah kepada masyarakat.
“JAKIM mempunyai banyak program-program dakwah antaranya dakwah kepada masyarakat orang asli, warga emas, belia termasuk program sosial yang meruncing pada hari ini”, katanya
Adalah diharapkan melalui perkongsian pintar (smart partnership) antara JAKIM dan mahasiswa universiti ini akan dapat menyebarluaskan kefahaman Islam lepada golongan mahasiswa di Universiti yang bakal menjadi pemimpin Negara masa hadapan.

Y.Bhg Ustazah Hajjah Saimah Mukhtar, Pengarah KSK sedang menyampaikan ucapan

Antara para perwakilan mahasiswa IPTA/IPTS yang hadir

Para perwakilan sedang mendengar pembentangan yang disampaikan

Presiden PKPIM Sdr. Muhammad Faisal Aziz sedang menyampaikan ucapan aluan

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis
http://www.islam.gov.my/jakim-pkpim-anjur-persidangan-majlis-kebangsaan-pelajar-islam-ipt