Hal Ehwal Siswi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (HEWI PKPIM) memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam himpunan berkaitan agenda LGBT di Dataran Merdeka baru-baru ini.
Tindakan tersebut merupakan satu bentuk penyalahgunaan teks suci agama yang tidak bertanggungjawab serta satu percubaan untuk memanipulasi wahyu Allah SWT bagi mengabsahkan ideologi yang jelas bertentangan dengan prinsip syariat dan fitrah kemanusiaan.
Sebagai gerakan mahasiswa Islam yang berakar pada tradisi keilmuan, dakwah dan pembinaan masyarakat, PKPIM sejak awal berdiri menegaskan bahawa Islam adalah agama yang menegakkan kemuliaan insan berasaskan iman, akhlak dan keseimbangan fitrah. Namun dalam masa yang sama, Islam juga menetapkan garis panduan yang jelas dalam soal moral, hubungan manusia dan tatasusila kehidupan.
Al-Quran secara tegas merakamkan kisah kaum Nabi Lut AS sebagai peringatan kepada umat manusia tentang kerosakan moral yang berlaku apabila manusia menyimpang daripada fitrah. Allah SWT berfirman:
وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ
“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun sebelum kamu di alam ini?”
(Surah al-A‘raf: 80)
Ayat ini secara jelas menunjukkan bahawa perbuatan tersebut dikategorikan sebagai fahisyah (perbuatan keji) yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan syariat. Justeru, sebarang usaha untuk menggunakan ayat-ayat al-Quran bagi menjustifikasikan amalan tersebut merupakan satu penyelewengan terhadap makna dan maqasid wahyu.
Dalam kerangka pemikiran Islam yang holistik, manusia dimuliakan oleh Allah SWT dengan fitrah yang seimbang. Fitrah ini menjadi asas kepada pembentukan keluarga, masyarakat dan peradaban manusia. Oleh itu, usaha untuk menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan fitrah serta menyandarkannya kepada nas agama bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat, malah membuka ruang kepada relativisme moral yang boleh merosakkan asas pembinaan tamadun.
Sebagai mahasiswa dan mahasiswi Islam, HEWI PKPIM melihat isu ini bukan sekadar polemik sosial, tetapi juga cabaran intelektual dan moral terhadap kefahaman agama dalam masyarakat. Penyalahgunaan teks agama bagi tujuan ideologi adalah sesuatu yang mesti ditolak secara tegas melalui pendekatan ilmu, hujah yang bertanggungjawab serta pendidikan masyarakat.
Dalam masa yang sama, HEWI PKPIM menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya untuk berinteraksi dengan manusia secara berhikmah, berakhlak dan penuh ihsan. Penolakan terhadap ideologi yang bercanggah dengan syariat tidak boleh disalahertikan sebagai kebencian terhadap individu, tetapi merupakan usaha mempertahankan prinsip agama dan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan itu, HEWI PKPIM menyeru seluruh mahasiswa, masyarakat sivil dan institusi pendidikan agar memperkukuh kefahaman Islam yang sahih berasaskan tradisi ilmu, memelihara kesucian wahyu daripada manipulasi, serta menolak sebarang usaha yang cuba menormalisasikan penyimpangan moral di ruang awam.
Sebagai generasi pewaris kepimpinan ummah, mahasiswa mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan integriti agama, memimpin wacana masyarakat dengan ilmu dan hikmah, serta memastikan bahawa agama tidak diperalatkan bagi kepentingan ideologi yang menyeleweng.
Hidup Biar Berjasa
Nur Farah Fakhira Binti Zahari
Naib Presiden Hal Ehwal Siswi (HEWI)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)