Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Kebangkitan Undi Arab dan Masa Depan Politik Israel

Keputusan Pilihan Raya Umum Israel yang berlangsung pada Selasa lalu menghasilkan beberapa keputusan yang mengejutkan. Selain daripada peratusan keluar mengundi tertinggi yang dicatatkan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (The Central Elections Committee) iaitu sekitar 77.9%, antara angka rasmi akhir yang tertinggi sejak tahun 1999.

Namun yang paling mengejutkan ialah kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Arab, di mana mereka mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu sebanyak 76.5% mengikut data yang dikeluarkan oleh Centre for Israel Education (CIE)  peningkatan kadar keluar mengundi dalam Masyarakat Arab Israel atau Arab citizen of Israel boleh kita simpulkan kepada beberapa perkara, antaranya ialah penolakan Masyarakat Arab terhadap kerajaan sayap kanan jauh pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Keduanya, peningkatan jenayah kebencian, diskriminasi dan ketidaksamarataan yang ketara terhadap Masyarakat Arab terutamanya ketika era kerajaan Netanyahu terdahulu yang menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat Palestin. Yang ketiganya ialah keperluan untuk mobilisasi politik serta kerjasama antara parti-parti Arab dan keperluan untuk memperkukuhkan kedudukan politik Masyarakat Arab dalam Knesset.

Peratusan keluar mengundi dari pengundi arab juga merupakan salah satu faktor kejayaan parti-parti Arab Israel dalam pilihan raya kali ini. parti Arab seperti joint List yang dianggotai oleh beberapa parti seperti Hadash, Ta’al dan Balad memperoleh 11 kerusi manakala parti Ra’am yang diketuai oleh Mansour Abbas memenangi sebanyak 8 kerusi.

Semestinya kejayaan parti-parti Arab mengejutkan ramai pihak, terutamanya daripada parti-parti arus perdana Israel yang berideologikan Zionis. Ini kerana sebelum pilihan raya ini berlangsung, banyak usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya menerusi desakan daripada kerajaan sayap kanan jauh Israel yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu yang mendesak supaya gabungan Parti-parti Arab Israel diharamkan daripada bertanding pada pilihan raya kali ini.

Namun keputusan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Israel telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung Israel pada 2 Oktober lalu dan parti Arab kemudian dibenarkan kembali untuk bertanding. Kini, mereka memenangi 19 kerusi keseluruhannya membolehkan parti Arab muncul sebagai wakil politik Masyarakat Arab sehingga berpotensi untuk muncul sebagai ‘Kingmaker’ dalam pilihan raya ketika ini. Ini kerana, gabungan parti pemerintah yang diketuai oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hanya memperoleh sebanyak 53 kerusi, manakala blok pembangkang yang diketuai oleh Bekas Ketua Staf Angkatan Pertahanan Israel, Gadi Eisenkot hanya berjaya memperoleh sebanyak 48 kerusi sahaja. Jumlah majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan di Israel ialah melebihi 61 kerusi di Parlimen Israel atau lebih dikenali sebagai Knesset.

Ini bermakna, 19 kerusi yang diperoleh telah berjaya menghalang gabungan parti pemerintah yang diketuai oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu daripada membentuk kerajaan sayap kanan jauh seperti yang diimpikannya. Namun 19 kerusi yang dimenangi tersebut tidak membuatkan koalisi Parti-parti Arab Israel diberikan ruang dengan mudah untuk sertai kerajaan Israel.

Kebanyakan daripada gabungan parti pembangkang kecuali Parti Demokrat (mendukung penglibatan representasi arab dalam kerajaan Israel serta mendukung kewujudan negara Palestin berasaskan two-state solution) menegaskan bahawa mereka tidak akan membentuk kerajaan bersama dengan gabungan Parti-parti Arab Israel. Tetapi melihat kepada keputusan pilihan raya sekarang, kenyataan tersebut seolah-olah memakan diri mereka sendiri.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga senario jika perkara seperti ini berlaku. Skenario pertama adalah Gadi Eisenkot dan Netanyahu perlu bergabung, sekaligus akan membentuk ‘kerajaan perpaduan’ tanpa penglibatan parti Arab. Penulis meletakkan tanda kurungan kerana peluang itu dilihat agak mustahil untuk dilaksanakan memandangkan seluruh kempen blok pembangkang ketika pilihan raya adalah untuk menggunakan naratif menjatuhkan kerajaan sayap kanan jauh dan menyingkirkan Benjamin Netanyahu.

Kedua ialah mewujudkan kerajaan minoriti, dalam erti kata lain blok pembangkang membentuk kerajaan dengan penyertaan daripada parti Ra’am pimpinan Mansour Abbas sebagai parti komponen koalisi manakala Joint List mendukung kerajaan minoriti dari luar kerajaan, misalnya melalui undi kepercayaan atau belanjawan tertentu. Ini kerana Joint List menolak fahaman Zionis serta menentang identiti Israel sebagai negara Yahudi dan menuntut hak sama rata dalam Masyarakat Arab manakala Ra’am pula lebih pragmatik dan dilihat memperjuangkan hak sivil, kebajikan serta sosioekonomi Masyarakat Arab Israel dan dibuktikan melalui penglibatan parti tersebut dalam koalisi kerajaan pimpinan Naftali Bennett dan Yair Lapid pada tahun 2021.

Yang ketiganya ialah sekiranya dua pilihan tersebut tidak berjaya, maka kemungkinan Israel akan kembali menjalankan pilihan raya untuk kali yang kedua. Namun, andaian tersebut tidak akan berjaya memandangkan Presiden Israel, Isaac Herzog menggesa supaya semua parti politik untuk mengambil pendekatan terbuka dalam rundingan pembentukan kerajaan dan melakukan segala usaha bagi mengelakkan pilihan raya baharu. Sekarang, mahu tidak mahu, koalisi parti pembangkang perlu mempertimbangkan penglibatan perwakilan Parti-parti Arab Israel dalam pemerintahan baharu. 

Rasisme dan diskriminasi dalam sistem politik Israel

Namun, di sini munculnya suatu paradoks yang baharu dalam politik Israel. Penolakan parti-parti di Israel untuk bergabung dengan blok politik arab mencerminkan sikap rasisme serta realiti diskriminasi yang terjadi di Israel. Di samping itu, ia memperlihatkan kekurangan representasi perwakilan Masyarakat Arab dalam sistem demokrasi Israel. Meskipun ramai daripada perwakilan Parti-parti Arab Israel yang dipilih oleh Masyarakat Arab-Palestin melalui sistem yang sah iaitu sistem demokrasi, namun sikap penerimaan terhadap penyertaan mereka agak sukar kerana blok politik arab tidak mengiktiraf ideologi dan politik yang berasaskan kepada prinsip negara Yahudi. Contohnya dapat dilihat melalui penolakan parti-parti komponen Zionis untuk bekerjasama dengan Parti-parti Arab.

Jadi, keadaan ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana prinsip kesamarataan politik benar-benar direalisasikan dalam sistem demokrasi ala Israel yang didakwanya merupakan satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah. Sekiranya ada yang menafikan berlakunya rasisme dalam masyarakat terutamanya politik Israel, pasti sudah lama Eisenkot akan bekerjasama dengan parti Arab dan kerajaan sudah diwujudkan di atas kerjasama antara masyarakat Yahudi dengan Arab. Namun itu tidak terjadi sama sekali, dan sehingga sekarang kerajaan masih belum ditubuhkan dan Netanyahu masih lagi berkuasa meskipun hanya sebagai Perdana Menteri sementara.

Melangkaui Laungan: Membaca Politik, Memahami Perjuangan

Akhir sekali, mungkin ramai yang berpendapat bahawa siapapun yang menjadi Perdana Menteri Israel, nasib yang menimpa lima juta masyarakat Palestin terutamanya di Gaza, Tebing Barat tidak pernah akan berubah. Namun atas alasan itulah pilihan raya serta perkembangan politik di Israel tidak boleh diabaikan sepenuhnya. Seperti yang disebut oleh Sun Tzu dalam karya klasiknya, iaitu the art of war, ‘If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat’. Ungkapan tersebut mengingatkan kita bahawa mengenali kekuatan dan kelemahan diri sahaja tidak mencukupi, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk memahami dinamika atau realiti politik yang dihadapi juga sangat penting.

Dalam konteks perjuangan Palestin, memahami dinamika politik dalam Israel bukanlah bermaksud mengiktiraf atau menerima segala dasar negara haram tersebut, justeru ianya merupakan salah satu langkah daripada usaha untuk memahami struktur kuasa yang mempengaruhi masa depan Palestin. Manakala bagi gerakan mahasiswa Islam pula, solidariti ini tidaklah hanya sekadar melalui laungan, demonstrasi, kempen kesedaran atau menggunakan simbol perjuangan semata-mata, akan tetapi solidariti bersama Palestin dalam erti kata lain juga merupakan sebahagian daripada menuntut ilmu. Mahasiswa perlu membaca, meneliti serta memahami bagaimana kuasa itu berfungsi, bagaimana dasar Israel dilaksanakan, dan bagaimana kepentingan politik mempengaruhi sesuatu keputusan kerana pada akhirnya membela Palestin tidak sekadar menuntut bukan sahaja hati yang peduli tetapi juga memerlukan akal dan tindakan yang memahami serta tersusun. Sesungguhnya, memahami kelemahan pihak lawan adalah sebahagian daripada strategi untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin yang abadi.

Author

Comment Section
    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    ARTIKEL & BERITA PKPIM

    Ilmu Sebagai Kompas, Budi Sebagai Penawar

    Asasnya, dalam mencari lubuk lubuk pengetahuan, sememangnya kita diberi pilihan adakah kita mencari pengetahuan untuk menjalankan amanah tanggungjawab kita, sebagai khalifah, atau mencari cari harga [...]
    Read more

    Program Dan Video

    Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

    Sembang Demokrasi Siri 4.0

    Sembang Demokrasi Siri 3.0

    Sembang Demokrasi Siri 2.0

    (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
    Lokasi Kami
    • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
    • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
    • pkpim_spp@yahoo.com
    • Isnin - Jumaat
      8.00AM - 5.00 PM
    Ikuti Kami
    PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
    Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)