Dalam usaha membangunkan umat, peranan tokoh dan ilmuan amat penting untuk memberi kefahaman dan arah perjuangan masyarakat. Dr Siddiq Fadzil merupakan seorang tokoh pemikir dan ilmuwan Islam yang tidak asing lagi dalam dunia intelektual Nusantara Melayu. Beliau merupakan sosok penting dalam gerakan Islam yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan kesedaran intelektual serta pembangunan kerangka pemikiran umat yang telah meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan masyarakat.
Pengalaman luas beliau dalam bidang keilmuan, penulisan dan gerakan Islam menjadi bukti terhadap ketokohan beliau dalam memperjuangkan pendidikan serta pemerkasaan pemikiran Islam. Kegigihan ini menjadikan beliau seorang pemikir yang mampu mengupas isu-isu umat dari pelbagai sudut secara menyeluruh. Melihat kepada nilai-nilai yang diketengahkan dalam pemikiran beliau, ia menjadi satu peluang untuk mengaplikasi dan menghidupkan nilai dalam konteks Wanita Islam sebagai da’i muslimah yang sejati. Justeru, semangat dakwah yang diperjuangkan oleh beliau dapat diterapkan bagi melahirkan generasi muslimah yang berilmu dan berhikmah.
Wanita dan budaya ilmu
Melalui penulisan dan ceramah Dr Siddiq Fadzil sering menekankan tentang kepentingan menghidupkan budaya ilmu, dengan mengembalikan semula kefahaman realiti kehidupan dengan sumber wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Budaya ilmu amat penting kepada Wanita bagi memastikan kehidupannya dipandu dengan syariat dan sentiasa terjaga dari percampuran antara yang hak dan batil. Ilmu yang dipelajari hendaklah difungsikan mengikut keadaan tertentu kerana dengan ilmunya itu mampu menyiapkan diri dengan pemahaman tentang hak dan tanggungjawab, yang akhirnya membantu kehidupannya sebagai seorang bakal isteri dan bakal ibu.
Wanita yang membudayakan ilmu akan lebih berhati-hati dalam menilai sesuatu perkara, merujuk kepada sumber yang sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang mengelirukan. Tanpa ilmu yang dibudayakan sejak awal, tanpa tarbiyah yang sebenar, maka tidak terbangunlah jiwa Wanita itu.
Pemikiran beliau mengetengahkan tentang kepentingan memahami maqasid syariah sebagai tujuan dan hikmah disebalik hukum Islam. Islam sangat adil dalam mengendalikan hukum ke atas wanita. Sebagai contoh, kewajiban pemberian mahar keatas isteri, hak wanita untuk menerima pusaka dan pengharaman menindas dan menzalimi Wanita. Dalam konteks maqasid syariah, Islam perlulah difahami secara lebih menyeluruh oleh wanita kerana ia membentuk kefahaman yang membawa kepada keyakinan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta membimbing diri dan masyarakat ke arah jalan yang benar mengikut prinsip Islam.
Beliau membawa perspektif bahawa tanpa adab, ilmu boleh menjadi alat kerosakan; sebaliknya dengan adab, ilmu menjadi sumber kebaikan. Bagi beliau, kemunduran umat Islam berlaku kerana kelemahan dalam penguasaan ilmu oleh itu pemahaman Islam yang inklusif perlu digabungkan dengan nilai-nilai spiritual bagi melahirkan insan yang seimbang atau insan kamil.
Dengan menghidupkan budaya ilmu, ia membantu Wanita menjalankan tanggungjawab dakwah kerana ilmu itu sendiri adalah asas kepada dakwah. Wanita berilmu bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk manfaat orang sekeliling. Wanita dengan 1001 potensinya sudah pasti perlu dibentuk jiwa daie dan wujud satu deria penting iaitu “deria dakwah” dimana wanita itu mampu melihat orang lain dengan pandangan kasih sayang dan ihsan lalu menyeru dan membimbing mad’u ke jalan Allah sepertimana dalam Surah al Nahl 125.
’’Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk ’’
Kita lihat dalam persekitaran media sosial sekarang telah wujud satu fenomena baru yang menjadi cabaran anak muda iaitu Fear of Missing Out (FOMO). FOMO sering bermula dengan keinginan untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu sehingga wujud tekanan apabila “ketinggalan” dalam mengikuti sesuatu acara mahupun trend di sosial media. Ini lah yang menjadi satu barah yang semakin mengakar dalam masyarakat dan hendaklah dikawal sebelum ia berupaya merosakkan kesejahteraan diri, mempengaruhi pertimbangan serta membentuk corak kehidupan yang tidak sihat.
Wanita sepatutnya mempunyai ruang untuk menentukan nilai dan hala tuju dirinya tanpa dipaksa memenuhi piawaian sosial yang tidak realistik. FOMO menjadikan generasi muda tidak lagi mampu menyeimbangkan di antara yang hak dan yang batil yang pada akhirnya tidak menguntungkan malah merugikan diri dari pelbagai aspek. Oleh itu, wanita perlu mempunyai pengawalan diri yang baik kerana itulah yang menjadi satu kekuatan dalaman supaya wanita tidak menentukan nilai dirinya berdasarkan apa yang dimiliki atau dicapai oleh orang lain.
Antara tokoh sahabiyah terpuji yang boleh diteladani adalah Asma’ Binti Yazid. Didalam kitab “Nisaa’ Haular Rasul” karya Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr asy-Syalabi ada disebutkan tentang sahabiyah ini yang menerima gelaran ”jurubicara perempuan’’ kerana keberanian beliau mewakili para wanita dizaman Rasulullah untuk bertanya berkaitan urusan agama sehingga menjadi rujukan para wanita pada zaman Rasulullah.
Keistimewaan beliau yang mempunyai pemikiran kritis dan dihormati para wanita lain kerana semangatnya beliau dalam mendalami ilmu agama wajar diikuti dan dicontohi oleh generasi muslimah sekarang. Asma’ telah meriwayatkan hadis dari Rasulullah sebanyak 81 hadis. Bahkan beberapa ulama hadis terkenal juga meriwayatkan hadis dari Asma’, seperti Ibnu Majah, An-Nasai, Abu Dawud, dan At-Tirmidzi. Begitu besar jasa Asma’ dalam kehidupan muslimah berkaitan hukum hakam dan persoalan persoalan berkaitan wanita yang telah Asma’ ajukan, dan terbukti keperibadian inilah yang selayaknya diterapkan pada generasi muslimah kini.
Kesimpulannya, dalam dunia yang penuh dengan cabaran seperti globalisasi, krisis nilai dan ketidaktentuan masa depan, idea-idea Almarhum Dr Siddiq Fadzil kekal relevan dan diperlukan sebagai teras pembentukan jati diri muslimah sebagai da’iyah yang teguh dengan identiti dan nilai Islam. Legasi pemikiran dan perjuangan Dr. Siddiq Fadzil mempunyai nilai yang besar demi keberlangsungan HEWI dalam membentuk generasi Muslim yang mampu meneruskan perjuangan dalam konteks zaman yang mencabar dan sentiasa berubah.
Satu hari nanti, HEWI akan melebarkan sayap dan berperanan secara aktif dalam masyarakat justeru memerlukan “penyuburan semula” dan pengkaderan yang berterusan bagi memastikan fikrah dan nilai perjuangan ini diwariskan dari generasi ke generasi yang lain dan terus hidup dalam jiwa umat Islam sepanjang zaman.
Hidup Biar Berjasa!
Penulis :

Hanis Naqeebah Binti Hasri
Mahasiswa Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
NYDP HEWI PKPIM Universiti Kebangsaan Malaysia 2024/2025