PKPIM memandang serius perkembangan terbaharu berkaitan cadangan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di peringkat persekutuan. Sebagai gerakan mahasiswa Islam yang berakar pada prinsip keadilan, perpaduan nasional, dan kemuliaan ilmu, PKPIM berpendapat bahawa polemik UEC tidak wajar dilihat sekadar daripada lensa politik yang sempit. Sebaliknya, ia perlu dibincangkan dalam kerangka lebih besar tentang masa depan sistem pendidikan negara.
PKPIM menegaskan bahawa setiap pelajar tanpa mengira aliran sekolah, kaum atau latar sosioekonomi berhak dinilai berdasarkan keupayaan sebenar mereka. Adalah tidak wajar masa depan anak muda digelapkan hanya kerana mereka datang daripada sistem pendidikan yang berbeza, selagi mereka bersedia memenuhi syarat-syarat kenegaraan yang dipersetujui bersama.
Pada masa yang sama, PKPIM turut memahami kegusaran masyarakat terhadap kepelbagaian aliran pendidikan yang berpotensi menghakis titik temu bersama dalam kalangan generasi muda. Justeru, persoalan utama yang perlu diberikan perhatian adalah usaha memupuk perpaduan rakyat Malaysia sejak di bangku sekolah — bukan hanya soal pencapaian akademik individu.
Sehubungan itu, PKPIM berpendapat bahawa sebarang keputusan dasar berkaitan UEC wajib menjunjung tinggi pengiktirafan dan pengukuhan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan, di samping memastikan penghayatan utuh terhadap Sejarah Malaysia, Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Rukun Negara, dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Di samping itu, perbahasan mengenai UEC tidak boleh mengalihkan fokus daripada agenda besar memperkasakan sekolah aliran kebangsaan meliputi kualiti keguruan, kemudahan sekolah, penguasaan dwibahasa, serta pembinaan iklim sekolah yang harmoni. Langkah ini penting untuk memastikan aliran kebangsaan kekal menjadi tapak utama perpaduan dan kecemerlangan generasi baharu.
Bagi mencapai hasrat tersebut, PKPIM menyeru kerajaan membuka ruang dialog tersusun bersama semua pihak berkepentingan agar polemik ini tidak terus diperalatkan sebagai senjata politik yang menajamkan perbezaan kaum di Malaysia.
PKPIM juga mengajak parti politik, NGO, tokoh pendidikan dan media agar menghentikan penggunaan isu UEC sebagai modal politik perkauman. Perbincangan perlu dikembalikan kepada maqasid pendidikan dalam membina insan beradab, warga yang cintakan negara, dan generasi yang mampu memimpin Malaysia sebagai sebuah tamadun.
PKPIM bersedia untuk terlibat dalam sebarang wacana ilmiah bagi mengemukakan pandangan mahasiswa yang cintakan perpaduan, serta menjadi jambatan dialog antara pelbagai pihak untuk mencari formula yang adil, berprinsip dan menyatukan.
Kesimpulannya, PKPIM berpendapat bahawa tiada keadilan tanpa perpaduan, dan tiada perpaduan tanpa penghormatan kepada bahasa, sejarah, dan maruah semua warga Malaysia.
Hidup Biar Berjasa
Amirul Firdaus bin Mosni
Naib Presiden,
PKPIM Pusat.