Kami menzahirkan rasa dukacita dan amat prihatin terhadap insiden seorang pelajar perempuan yang cedera parah selepas dipercayai ditikam di sebuah sekolah di Banting sehingga mengalami kecederaan pada paru-paru serta kira-kira 16 luka tikaman. Kami mendoakan agar mangsa diberikan kesembuhan segera dan seluruh ahli keluarga dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. (Astro Awani)
Insiden ini bukan sekadar satu kes jenayah terpencil, bahkan merupakan suatu isyarat bahawa isu keselamatan, kesihatan mental serta pengurusan risiko di institusi pendidikan perlu diberikan perhatian yang lebih serius oleh semua pihak. Sekolah seharusnya menjadi ruang yang paling selamat untuk proses pembelajaran dan pembangunan sahsiah pelajar, bukannya tempat yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa.
Sehubungan itu, kami menyeru agar siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, di samping memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang. Pada masa yang sama, kebajikan mangsa serta sokongan psikososial kepada seluruh warga sekolah perlu diberikan perhatian segera.
Bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang, kami mengemukakan tiga cadangan utama:
Keselamatan pelajar bukanlah satu pilihan, tetapi merupakan tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh semua pihak. Kami berharap tragedi ini menjadi titik perubahan kepada usaha memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara agar lebih selamat, inklusif dan kondusif untuk setiap anak Malaysia.
HIDUP BIAR BERJASA!
Afif Bin Azhar
Exco Latihan dan Pembangunan Modal Insan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)