Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

AL-ATTAS ASAS KEPADA KELETARIAN PERJUANGAN PKPIM

Perjuangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selama 65 tahun di pentas dakwah dalam negara mahupun di luar negara bertahan dan terus mampan kerana perjuangan PKPIM didasari dengan budaya keintelektualan yang tulen lalu membentuk tradisi keilmuan yang utuh dalam diri para penggerak PKPIM. Dipelopori oleh sekumpulan siswa dan siswazah muda di institusi-institusi pengajian tinggi yang terdedah dengan pemikiran tokoh-tokoh besar dalam negara mahupun luar negara dan menjadikan ia suatu idealisme kukuh dalam memperjuangkan Islam. Profesor DiRaja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas antara tokoh yang menyumbang besar dalam membentuk idealisme perjuangan PKPIM. Beliau juga secara peribadi membimbing mahasiswa-mahasiswa ini dalam beberapa siri perjuangan yang membuahkan hasil yang dapat kita nikmati pada hari ini.

Hubungan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan PKPIM terjalin dengan akrab seperti guru yang membimbing murid-muridnya. Menurut Zainah Anwar (1986), pimpinan PKPIM akan menjalankan usrah dengan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas setiap hari selepas habis kelas untuk berbincang tentang permasalahan dan cabaran semasa berkenaan Islam dan umatnya. Dari pertemuan berkala yang bernama usrah inilah mahasiswa dan mahasiswi mengasah ketajaman daya intelektual mereka dan bersungguh menyebarkan pemikiran-pemikiran murni dalam mempelopori kebangkitan Islam dengan memurnikan aliran pemikiran sosialisme, nasionalisme dan lain-lain agar selari dengan tuntutan Islam sebagai Din al-Fitrah. Ketika itu, Presiden PKPIM Saudara Anwar Ibrahim (kini Dato’ Seri) mengatakan bahawa “pada masa itu kami hendak mengubah dunia”.

Dalam perjuangan mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu, PKPIM senada bersama Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Ini terbukti dengan adanya catatan sejarah yang menunjukkan bahawa penglibatan beberapa pimpinan PKPIM iaitu Anwar Ibrahim, Mohd Fahim Hj Yaakob dan Zakaria Hashim yang hadir menjadi peserta dalam perjumpaan pada 28 Ogos 1968 di Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menyaksikan pengisytiharan penubuhan jawatankuasa penaja Universiti Kebangsaan di mana Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas ketika itu menjadi  ahli dalam jawatankuasa tersebut. Ini Juga melibatkan beberapa tokoh utama negara pada waktu itu iaitu, Syed Jaafar Albar, Prof Atan Long, Dr Usman Awang dan Prof. Ungku Omar. Pada tahun 1970 tanggal 17-18 Oktober, PKPIM menganjurkan satu seminar Pimpinan PKPIM dan sebulat suara mendesak kerajaan agar bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar untuk sebuah Universiti Nasional. Perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan tidak terhenti di situ. Malah Presiden PKPIM dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) ketika itu mengadakan ‘operasi ganyang’ atau lebih dikenali dengan ‘demonstrasi papan tanda’ dengan cara mengecat semua papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris dengan warna merah dan hitam dek kerana kegagalan pihak universiti mengikut dasar kebangsaan dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas turut menyokong tindakan tersebut tanda ketegasan bahawa Universiti Malaya harus menerima bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Selain dari perjuangan mengangkat bahasa ibunda, PKPIM menyahut dan bersama-sama dengan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam penubuhan Universiti Islam. Pada tahun 1967 PKPIM menganjurkan ‘Kongres Kemajuan Islam se-Malaysia’ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya. Disinilah PKPIM bermula bertekad untuk menubuhkan sebuah universiti Islam yang dicetus oleh pembentang sebuah kertas kerja oleh Al Marhum Prof Dr Ungku Omar bertajuk “Konsep Universiti Islam”. Pada 23 September 1970, Presiden PKPIM, saudara Anwar Ibrahim meneruskan perjuangan gagasan para pimpinan sebelumnya dengan menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Al Marhum Tun Abdul Razak untuk memohon menubuhkan sebuah Universiti Islam di Malaysia. Perjuangan ini juga hasil ilham daripada Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang merangka ideal dan komprehensif sesebuah universiti Islam. Dalam Persidangan yang bersejarah, World Islamic Conference and Festival di Royal Albert Hall, London pada April hingga Jun 1976, Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas merupakan ilmuwan tunggal dari Malaysia membentangkan kertas kerjanya yang menjadi rujukan hingga kini berkait dengan konsep pendidikan dalam Islam. Kertas kerja inilah yang menjadi asas dan perintis dalam kerangka penubuhan Universiti Islam yang menyeluruh. Dalam persidangan ini, PKPIM juga diundang hadir ke persidangan yang bersejarah ini yang turut menemukan pemikir dan cendekiawan Islam yang ulung seperti Abul a’la Al Maududi, Muhammad Qutb, Muhammad Natsir, Muhammad Asad, Martin Ling (Abu Bakar Sirajuddin), Prof hassan Turabi, Prof Kurshid Ahmad, Prof Sayyed Hussein Nasr, Dr Hassan Ali An-Nadwi, Prof Ismail Faruqi, Dr said ramadan dan sebagainya. Wakil PKPIM yang hadir ke persidangan tersebut adalah saudara Fuad Hassan dan Ibrahim Ali. 

Dalam memperjuangan agenda Islam dan masyarakat, PKPIM juga aktif melakukan advokasi ilmiah yang bebentuk penerbitan ilmiah yang bermutu tinggi. PKPIM menjadikan ia sebagai salah satu wadah untuk menyampaikan buah fikir Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas kepada masyarakat. Majalah Nusantara merupakan hasil PKPIM yang memuatkan artikel-artikel Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Musa Hitam, Prof M. Jaslan dan Nurkholis Majid. Pada ketika itu majalah tersebut hanya berharga 40 sen. Bagi meneruskan perjuangan PKPIM di peringkat yang lebih matang dan lebih luas medannya, dalam Kongres dan Persidangan Agung Tahunan PKPIM yang ke-10 pada tahun 1971 bersetuju untuk menubuhkan wadah perjuangan pasca PKPIM yang dinamakan sebagai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Penubuhan ini sangat bermakna kerana ia mendapat sokongan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan beliaulah yang mereka logo ABIM yang sarat dengan makna tersirat. Hubungan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan ABIM kian erat dengan ikatan usrah, ada yang mengatakan bahawa dari siri-siri perbincangan itulah lahirnya buku Risalah Untuk Kaum Muslimin. ABIM juga aktif menerbit beberapa buku beliau dan melibatkan beliau dalam beberapa siri wacana intelektual. 

Oleh yang demikian, kita dapati perjuangan PKPIM ini terlestari kerana dipandu oleh seorang tokoh ilmuwan yang agung. Tanpa seorang pendidik yang benar tidak mungkin legasi perjuangan mampu bertahan hingga lebih setengah abad sejak penubuhannya dan terus menjadi medan utama dalam perjuangan memartabatkan umat. Hubungan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas bersama pimpinan PKPIM juga masih utuh dengan adanya pimpinan PKPIM yang menjadi guru Al-Quran kepada cucu-cucu beliau dan ada juga yang menjadi pengarah kepada sebuah institusi penting dalam menggerakkan dan memperkembangkan idea-idea Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Kami mendoakan agar Tuhan memberikan kedudukan yang tinggi buat Al Marhum Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Kami akhiri dengan pantun Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan anak muridnya saudara Anwar Ibrahim yang penuh tersirat dengan makna perjuangan.

Kemunting buah pedada,
Digoncang gugur tak jadi;
Bunga tersunting di atas dada,
Jasa pagar memakan padi.

Yang dijawab oleh Anwar Ibrahim melalui surat balas:

Kemunting di dalam pagar,
Mekar layu gugur sendiri;
Dengan helah pencak pendekar,
Takkan tergugat pahlawan sejati.

Hidup Biar Berjasa!

Muhamad Adib Irfan Bin Fazil
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Sesi 25/26

ARTIKEL & BERITA PKPIM

INSTITUSI PENDIDIKAN BUKAN SARANG IDEOLOGI SONGSANG

PKPIM memandang serius dan berat dakwaan yang sedang tular melibatkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang dikaitkan dengan fahaman serta rangkaian Freemason suatu ideologi yang jelas bercanggah dengan akidah Islam [...]
Read more

PASCA SPM: JANGAN HANYUT, BINA DIRI

Kepada anak-anak muda yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami mengucapkan tahniah dan mendoakan agar beroleh keputusan yang cemerlang. Habis sahaja peperiksaan ini, maka anda semua telah [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)