Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyorot rapat perkembangan negara-negara di Timur Tengah, khususnya konflik di antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
PKPIM mengecam keras tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang melancarkan serangan pendahuluan (pre-emptive strike) terhadap negara Iran yang berdaulat. Tindakan ini merupakan sebuah penjajahan alaf baru terhadap sebuah negara demokrasi, tanpa sebarang alasan untuk mempertahankan diri lantaran Iran masih meneruskan usaha rundingan melalui Oman di meja rundingan antarabangsa.
PKPIM juga mendesak agar peperangan segera dihentikan kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kesan langsung seperti pembunuhan kanak-kanak dan wanita yang tidak bersalah, tetapi ia juga akan mengakibatkan kesan jangka masa panjang yang akan menjejaskan ekonomi dunia secara umumnya.
Oleh itu, PKPIM menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengambil tindakan tegas dalam menghentikan konflik ini daripada berpanjangan dan merebak kepada konflik serantau di Timur Tengah.
HIDUP BIAR BERJASA!
AMIRUL FIRDAUS BIN MOSNI
Naib Presiden Antarabangsa,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 25/26