Insiden yang berlaku pada 7 April 2026 lalu melibatkan dua orang mahasiswa yang mengangkat sepanduk mengecam Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki di dalam satu majlis rasmi merupakan suatu tindakan terpuji yang seharusnya perlu kita berikan kepada mereka. Walaupun mereka tahu tindakan tersebut bakal mengundang suatu risiko yang besar seperti bakal dipenjara dan sebagainya, namun mereka berani mengambil tindakan tersebut dalam memperjuangkan kebenaran yang mereka yakini. Tindakan itu bukan sahaja menunjukkan keberanian spontan, akan tetapi ianya dilihat sebagai salah satu manifestasi keyakinan moral yang jarang dimiliki dalam budaya mahasiswa pada hari ini.
Sebelum itu, insiden seperti itu hanya berlaku di negara jiran sahaja, tetapi apabila ia berlaku di negara ini, ia menunjukkan bahawa negara kita kini sedang mengalami krisis integriti yang berat. Ianya juga menunjukkan persepsi masyarakat terhadap anak muda terutamanya mahasiswa/siswi di universiti yang dianggap bersikap apolitikal atau tidak ambil peduli terhadap politik adalah tidak tepat, buktinya masih ada lagi sebahagian daripada mahasiswa yang sentiasa cakna akan isu semasa yang berlaku di negara kita terutamanya apabila melibatkan isu yang sensitif seperti isu integriti. Ini sedikit sebanyak memberi isyarat kepada masyarakat di luar bahawa tahap kepercayaan terhadap institusi seperti SPRM sedikit sebanyak sudah menurun.
Nah, tindakan patriotik ini (saya gelarkan kerana mereka berbuat demikian atas dasar semangat cintakan negara) yang dilakukan oleh anak muda itu tidak dilakukan hanya secara kosong atau “random” sahaja melainkan mereka sudah dipenuhi oleh sesuatu yang berharga dan bernilai dipanggil sebagai idealisme. Saya teringat akan kata-kata yang pernah disebutkan oleh seorang tokoh yang hebat iaitu; “Idealisme merupakan kemewahan terakhir yang hanya dimiliki oleh para pemuda”. Demikian menurut kata seorang filsuf dan pejuang kemerdekaan Indonesia, Tan Malaka di dalam bukunya, “Semangat muda” yang ditulis pada tahun 1926. Namun, persoalan yang lebih mendesak ialah, adakah idealisme masih lagi wujud dalam gerakan mahasiswa kini?

Sesungguhnya idealisme itu tidak pernah wujud dalam kamus, ataupun sekadar teori kosong sahaja, namun ianya lahir daripada kesedaran dalam diri kita sebagai mahasiswa mengenai sesuatu isu yang berlaku di sekeliling kita. Soe Hok Gie, aktivis terkenal mahasiswa Indonesia pada tahun 60an pernah berkata bahawa idealisme mahasiswa yang sejati ialah mereka yang hanya berkata, berbuat dan bertindak atas nama kebenaran. Nah, jelaslah tindakan tersebut boleh kita tafsirkan sebagai salah satu usaha bagi mempertahankan apa yang mereka yakini sebagai kebenaran.
Disamping itu, kepentingan idealisme ini juga mampu membentuk kesedaran seorang mahasiswa yang sentiasa menjadi suara kepada golongan yang tertindas oleh mereka yang berkuasa. Ali Syariati, tokoh sosiologi islam pernah berkata “jika kamu bisa merasakan derita, bererti kamu hidup. Jika kamu bisa merasakan derita orang lain, maka kamu manusia”. Meskipun kata-kata tersebut tidak pernah Ali Syariati tujukan kepada golongan mahasiswa, namun itu membawa maksud bahawa mahasiswa perlu memainkan peranan sebagai pembawa suara bagi masyarakat yang “marginalized” atau dipinggirkan. Kalau dalam istilah arabnya, golongan ini digelar sebagai “mustad’afin” yang membawa maksud mereka yang ditindas dan golongan “mustakbirun”, merujuk kepada mereka yang menggunakan kekuasaan untuk menindas mereka yang lemah.
Dalam membentuk suatu kesedaran dalam diri sebagai mahasiswa terhadap isu-isu semasa yang terjadi di sekeliling kita, pembentukan idealisme itu sangat penting dan sangat utuh yang perlu kita ada dalam diri jiwa seorang mahasiswa dalam memperjuangkan apa yang diyakininya. Namun jangan dilupakan bahawa idealisme yang kita pilih mempunyai cabarannya yang tersendiri. Yang paling seringkali terjadi ialah terdapat segelintir daripada mereka yang sudah mula terjebak dalam ruang kekuasaan di mana dulunya mereka ini merupakan mantan aktivis mahasiswa yang seringkali memperjuangkan idealisme yang dipegang olehnya, namun akhirnya jatuh jua ke dalam jurang yang dimonopoli oleh wang dan kuasa. Perkara sedemikian itulah yang menjadi cabaran utama kepada seorang mahasiswa sekiranya mereka ingin menjadi seorang mahasiswa yang idealis. Namun, persoalannya di sini, adakah mahasiswa yang ada pada hari ini termasuk mereka yang melakukan aksi tersebut benar-benar idealis atau sekadar menikmati ilusi idealisme sebelum akhirnya tunduk kepada sistem seperti mana yang terjadi kepada kebanyakan mantan aktivis mahasiswa?

Akhir sekali, mungkin benar sahaja apa yang disampaikan oleh Tan Malaka itu benar bahawa idealisme memang merupakan kemewahan terakhir yang ada pada pemuda. Tetapi secara realitinya, sejarah menunjukkan kepada kita bahawa idealisme yang dahulunya bernilai tinggi, kini hanya dinilai rendah sahaja kerana mereka yang dahulunya memperjuangkan idealisme kemudiannya mula terjebak dengan kekuasaan sehingga menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip idealisme yang pernah diperjuangkan oleh mereka suatu ketika dahulu. Oleh itu, mahasiswa perlu menyedari tentang kepentingan idealisme sebagai bentuk kesedaran kita terhadap isu-isu semasa.