
Hazman Abd Kadir
Exco Penyelidikan dan Penerbitan PKPIM
“Adat bersendi syara’, syara’ bersendi Kitabullah”
Bacaan buku “Surau: Pendidikan Islam Tradisional dalam Transisi dan Modenisasi” oleh Prof Dr. Azyumardi Azra pada awalnya lebih berkaitan dengan fokus minat saya dalam menekuni keragaman dalam mengamalkan pengajian Islam tradisional. Ini buku pertama beliau saya baca, walaupun sebelum ini pernah membaca beberapa artikel akademik beliau. Dan perasaan bahawa beliau sering dirujuk dalam penulisan dan kajian berkaitan dengan perkembangan Islam di rantau Nusantara.
Buku ini tidaklah memerihalkan sejarah surau secara umum dalam konteks masyarakat Malaysia-Indonesia seperti apa yang saya fikirkan sebelum ini, tetapi lebih memfokuskan kepada peranan surau dalam konteks masyarakat Minangkabau, dan bagaimana ia bertahan sebagai satu institusi Islam dalam mendepani penentangan kelompok pembaharu, dan pemodenan pendidikan yang berlaku dalam masyarakat Minangkabau.
Buku ini merupakan satu pendedahan ilmiah berkenaan dengan peranan surau yang sebelum ini telah wujud sebelum kedatangan risalah Islam, dan bagaimana ia mengalami satu bentuk “Islamisasi” setelah kedatangan dakwah Islam. Agak menarik untuk dibaca apabila beliau membicarakan tentang interaksi dan pengislaman budaya perpatih di Minangkabau, dan bagaimana “surau” juga mengalami proses Islamisasi tersebut yang membezakannya dengan pesantren di Pulau Jawa.

Penulis buku ini, Azyumardi Azra – dengan merujuk makalah Kern dalam Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society[1] – mentakrifkan surau (atau suro), sebagai “tempat”, atau “tempat ibadah”. Perkataan dan binaan surau ini boleh dilihat secara meluas bukan sahaja di Minangkabau, tetapi juga di Tanah Batak, Sumatera Tengah, Sumatera Selatan, Semenanjung Malaysia, dan juga Patani . Surau, pada asalnya merupakan tempat untuk menyembah nenek moyang, dan kerana itulah kebanyakan binaan ini pada awalnya didirikan di tempat yang tinggi berbanding bangunan-bangunan lain. Peninggalan ciri-ciri pra-Islam juga dapat dilihat dalam bentuk binaan Surau di Minangkabau yang mengungkapkan simbol-simbol adat, seperti pembinaan atap yang bertingkat.
Satu perkara penting untuk diperhatikan dalam buku ini ialah surau sudah menjadi satu pusat penting dalam struktur sosial dan sistem adat masyarakat Minangkabau. Fungsinya bukan sahaja untuk aktiviti keagamaan, tetapi juga sebagai tempat perkumpulan kaum lelaki Minangkabau untuk aktiviti-aktiviti sosial. Dan ia berbalik kepada adat Perpatih Minangkabau[2] bahawa kaum lelaki tidak mempunyai tempat tidur sendiri di rumah ibunya. Surau juga berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk pengembara, pedagang, dan seumpanya, dan ini menyebabkan surau juga sebagai tempat untuk mengetahui berita atau maklumat tentang dunia luar.
Selepas kedatangan Islam, peranan surau dalam adat Minangkabau tidak banyak berubah seperti yang disebutkan sebelum ini, tetapi ia telah berubah daripada tempat bagi pemujaan nenek moyang kepada tempat untuk menjalankan ibadah solat, dan juga sebagai pusat pengajian Islam yang setara dengan pondok di Malaysia, pesantren di Jawa, dan Dayah di Aceh. Uniknya, ia masih lagi terikat dengan adat Perpatih Minang juga sebagai pembinaan perwatakan dan keperibadian murid surau (atau urang siak), daripada hanya semata-mata tertumpu pada pembangunan intelektual. Silibus pembelajarannya juga mencakupi daripada mempelajari membaca al-Quran, sehingga dengan menguasai ilmu alat, ilmu hadis, ilmu fiqh dan lain-lain lagi, dengan kaedah Talaqqi. Selain itu, murid-murid juga dilengkapi dengan ilmu persilatan, bagi membina kekuatan tubuh badan dan juga sebagai persiapan untuk pertarungan.
Malah, surau juga mengalami satu bentuk Islamisasi yang memperlihatkan ia sebagai pusat Tarekat (terutamanya Syattariyah dan Naqsyabandiyyah) terutamanya di surau Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo di Kecamatan Ampek Angkat, di Sumatera Barat. Antara surau terkenal yang disebut dalam karya ini ialah Surau Batuhampar, yang di kompleks surau itu mempunyai masjid, tempat penginapan bagi para pengunjung, surau kecil untuk murid dan sebagainya.
Dan ini memperlihatkan keragaman fungsi surau di Minangkabau yang dilihat berbeza di tempat lain. Ia bukan sahaja sebagai tempat untuk menunaikan ibadat bagi penganut Islam di Minangkabau, tetapi ia lebih menyeluruh sebagai pusat aktiviti sosial dan pusat pendidikan, tetapi masih lagi mampu untuk berinteraksi dengan adat perpatih Minangkabau.

Walaupun buku ini lebih memberikan perhatian terhadap keberlangsungan surau dalam konteks kebudayaan Minangkabau, tetapi saya kira pemerihalan berkenaan dengan fungsi surau ini wajar diberikan perhatian. Lagi-lagi bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti lapangan atau kemasyarakatan.
Salah satu pembelajaran yang dapat diambil ialah surau, atau masjid perlu lagi digiatkan dengan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan syara’. Ia bukan sahaja dalam pembinaan nilai spiritual masyarakat, tetapi juga pada masa yang sama dapat meraikan sifat sosial masyarakat, terutamanya dengan menggalakkan lagi keterlibatan lagi penduduk setempat dalam menghidupkan program-program kemasyarakatan, untuk dijadikan sebagai pusat pendidikan dengan mengadakan kursus-kursus yang bersesuaian, menjayakan program-program yang boleh melibatkan kanak-kanak, dan para belia di masjid.
Daripada buku ini, saya juga melihat bahawa penting untuk masjid atau surau perlu bersifat menyeluruh, dan tidak boleh melihat sebagai sesuatu yang terasing, yakni hanya untuk tujuan keagamaan semata-mata. Ia perlu dilihat secara menyeluruh, kerana aktiviti kemasyarakatan dan sosial di surau yang diikat dengan niat kerana Allah dan dibimbing dengan syara’ juga adalah sebahagian untuk beribadah di surau. Dan kerana itulah, aktiviti harian seorang Muslim tidak sepatutnya dibezakan kepada duniawi (profane) atau sakral (sacred) semata-mata.
Untuk ini, saya bersetuju dengan penulis bahawa surau dan masjid boleh berdiri di tengah masyarakat sebagai satu bentuk alternatif dalam mengatur pelbagai aktiviti atau urusan kemasyarakatan[3]. Saya kira bagi konteks gerakan mahasiswa Islam, terutamanya dalam orientasi harakah Islamiyyah, masjid atau surau ini juga penting untuk dilihat sebagai wadah bagi mempertingkatkan lagi ilmu-ilmu dakwah dan tarbiah secara berguru, dan juga pergaulan dengan masyarakat setempat.
Hal ini juga membawa kepada kepentingan dalam memaknai “kearifan setempat” (local wisdom), dalam menjalankan usaha dakwah, dan tarbiah Islamiyyah kepada masyarakat. Buku ini telah menekankan kebanyakan surau yang sebelum ini wujud sebelum kedatangan Islam di Minangkabau, masih lagi dilihat sebagai satu institusi penting bagi sistem adat Minang.
Malah sistem adat yang yang sebelum ini banyak dipengaruhi oleh kepercayaan nenek moyang mereka, telah mengalami anjakan paradigma dengan sarwa pandang Islam. Dan ini dapat dilihat dalam kebanyakan surau yang bukan sahaja tempat belajar mengaji, dan mempelajari asas fardhu ’ain, tetapi juga sebagai tempat sosialisasi adat istiadat, sebagai tempat singgahan pedagang, dan sebagai tempat penginapan anak-anak lelaki.
Kefungsian surau dalam masyarakat Minang ini boleh kita lihat sebagai satu orientasi Wāqi’iyyah, iaitu bagaimana ‘ulama menimbang realiti dan budaya masyarakat setempat ketika itu dalam melaksanakan penyebaran dakwah yang sesuai dengan masyarakat tersebut tanpa menepikan hukum syara’.
Kebijaksanaan dakwah ’ulama-’ulama ini juga merupakan satu bentuk kerja artikulasi, yang disebut ahli Antropologi Ismail Fajrie Alatas, sebagai satu bentuk interaksi dan usaha-kerja ’ulama dengan komuniti setempat[4]. Dan ini menunjukkan sifat Wāqi’iyyah (setempat) dan Jamāhiriyyah (akomodatif) yang mengambil kira keperluan dan kepentingan pembinaan kerohanian masyarakat setempat. Dengan kata lain, institusi surau di Minangkabau merupakan satu contoh hikmah para ulama dahulu yang wajar dijadikan model bagi gerakan-gerakan dakwah pada hari ini.
Dalam bab Epilog, Azyumardi Azra menyebut bahawa surau dahulunya merupakan hasil “kearifan setempat” ’ulama, dan ingatan bersama masyarakat setempat terpaksa mendepani cabaran kemodenan dan sekularisasi, yang juga menghakis kebudayaan Minang. Ia memperlihatkan peranan surau sebagai pusat pembinaan kepimpinan masyarakat semakin terhakis, dan juga tarandam. Walaupun begitu, sebagai kelompok atau gerakan yang mempunyai idealisme dan kerangka fikir yang sihat, nilai-nilai kebijaksanaan warisan surau ini perlulah ditekuni, dan direalisasikan dalam gerak kerja mereka dalam memberikan manfaat kepada masyarakat.
[1] Kern, R. A. “The origin of the Malay Surau.” Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society 29, no. 1 (173 (1956): 179-181.
[2] Sistem adat yang berdasarkan nasab ibu atau matrilineal.
[3] Azra, Azyumardi. 2017. Surau: Pendidikan Islam Tradisional Dalam Transisi Dan Modernisasi. Cetakan ke-1. Edited by Idris Thaha. Pusat Pengkajian Islam dan Masyarakat, UIN Syarif Hidayatullah Jakarta bekerja sama Prenadamedia Group.
[4] Alatas, Ismail Fajrie. What Is Religious Authority? Cultivating Islamic Communities in Indonesia. Princeton Studies in Muslim Politics. Princeton University Press, 2021.