
MELAKA, 30 Julai 2011- MRSM Tun Ghafar Baba telah menjemput Saudara Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk membentangkan kertas kerja di dalam Kongres Pendakwah Muda Zon Selatan 2011. Kongres yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan Islam MRSM Tun Ghafar Baba dengan kerjasama Majlis Nuqaba’ dan BADAR dihadiri seramai 100 orang pelajar yang terdiri daripada 8 buah MRSM sekitar zon selatan.
Kongres ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada para pelajar sebagai pendakwah muda dalam menuntut ilmu, berkongsi ilmu dan bertukar pendapat berkaitan hal ehwal agama Islam dan isu-isu terkini umat Islam. Dalam pembentangan kertas kerja yang bertajuk PKPIM “Remaja dan Dakwah: Pengisian Minda Ke Arah Generasi Mapan” beliau menyentuh berkenaan kepentingan generasi muda untuk terlibat dalam gerakan dakwah dan berperanan secara lebih efektif bukan sahaja dalam kuliah malahan untuk berbakti secara langsung kepada umat.
Beliau seterusnya menyarankan agar pengemblengan usaha mengadunkan idealisme, aktivisme, intelektualisme dan spiritualisme dalam diri pelajar dan meningkatkan potensi intelektual dalam meningkatkan amal Islami. Sebelum ini , Saudara Fahmi merupakan bekas pimpinan pelajar di MRSM Tun Ghafar Baba yang dahulunya dikenali sebagai MRSM Jasin pada tahun 2003-2004. Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM memberikan respon yang positif untuk membuka jaringan dan potensi kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara para pelajar MRSM dan PKPIM pada masa hadapan demi merealisasikan visi PKPIM iaitu menjana generasi rabbani demi membina tamadun khayra ummah.
Turut hadir dalam kongres ini ialah Saudara Mohd Shazni Abdullah, Setiausaha Agung PKPIM yang turut memberikan pengisian di awal kongres. Penyampaian cenderahati telah disampaikan oleh Tn. Haji Sabri Mamat, Timbalan Pengetua HEP, MRSM Tun Ghafar Baba.
Sesi awal dimulakan oleh Sdra Shazni Abdullah, SUA PKPIM di Dewan Bendahara MRSM Tun Ghafar Baba dalam Kongres Pendakwah Muda..