SIARAN MEDIA
21 MAC 2013
PKPIM UCAP TAHNIAH KEPADA SEMUA CALON STPM DAN SPM 2012
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan tahniah kepada semua calon yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam STPM dan SPM 2012 yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya, kami berasa bangga dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh semua calon secara keseluruhannya.
Berdasarkan analisa keputusan STPM dan SPM yang telah diumumkan, pencapaian calon STPM meningkat secara keseluruhan. Kira-kira 47,884 atau 92.67 peratus calon STPM 2012 telah memperoleh keputusan penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran, berbanding 92.19 peratus atau 46,705 calon tahun lalu. Bagi SPM pula, seramai 15,793 calon mendapat semua A berbanding tahun 2011 hanya 15,079 calon sahaja.
Bagi PKPIM, kejayaan yang dicapai oleh semua calon merupakan salah satu kejayaan semua pendidik di Malaysia. Oleh itu, pengikhtirafan kejayaan ini juga diberikan kepada semua guru-guru yang telah berjaya mendidik semua calon untuk berjaya dalam peperiksaan tersebut.
Sesungguhnya, apabila semakin ramai yang cemerlang, maka persediaan di peringkat kerajaan adalah untuk memastikan semua para pelajar ini dapat menyambung ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu, kami menyarankan agar elemen pendidikan untuk semua di aplikasikan dengan segera serta pendidikan percuma di peringkat pendidikan tinggi amat diperlukan selain memperbanyak biasiswa untuk pelajar-pelajar menyambung pelajaran.
PKPIM berharap kejayaan yang diperoleh oleh semua calon ini akan diteruskan di peringkat yang lebih tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini merupakan tanda keupayaan para pelajar berjaya menjawab soalan-soalan yang dikemukan. Dan sekaligus membuktikan kejayaan tidak akan mustahil untuk dicapai dengan syarat menerapkan elemen perubahan sikap kearah lebih baik serta kekuatan spiritual keyakinan kepada kuasa Tuhan.
Dalam sistem pendidikan di negara kita, STPM dan SPM merupakan jambatan menuju kealam pendidikan tinggi. Justeru, amat penting untuk semua bakal mahasiswa ini mendapat pencerahan berkaitan kehidupan sebagai mahasiswa di kampus kelak. Kehidupan di alam universiti merupakan kehidupan yang memaknai denyut nadi umat sebelum ke masyarakat kelak. Persediaan yang rapi bersifat fizikal, emosi, jasmani, dan rohani dalam menghadapi budaya materialisme, modernisme, serta hedonisme yang melampau kini perlu difahami dengan jelas.
Oleh hal yang demikian, PKPIM dengan rasa berbesar hati menjemput semua bakal-bakal mahasiswa yang merupakan calon-calon SPM dan STPM 2012 untuk bersama-sama menjayakan Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (MENARA 2013) yang merupakan medium selangkah ke menara gading yang akan berlangsung pada 12 sehingga 14 April 2013 di salah sebuah universiti di sekitar Lembah Klang. Bagi yang berminat boleh menghubungi pihak Sekretariat PKPIM di talian 03-6184 2286 atau melayari laman sesawang www.pkpim.org.my.
“HIDUP BIAR BERJASA”
KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)