Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik langkah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kebebasan dan hak mahasiswa di Malaysia.
PKPIM melihat perkembangan ini sebagai hasil daripada perjuangan panjang generasi mahasiswa terdahulu yang tidak pernah berhenti memperjuangkan kebebasan mahasiswa, termasuk dalam isu AUKU. Sejak generasi awal penubuhannya, PKPIM konsisten membawa suara mahasiswa dalam memperjuangkan ruang kebebasan, hak bersuara dan penglibatan mahasiswa dalam persoalan masyarakat serta pembangunan negara.
Pemansuhan AUKU juga membuktikan bahawa suara mahasiswa mempunyai tempat dan kesan dalam membentuk perubahan dasar serta perundangan negara. Perjuangan yang dilalui oleh generasi terdahulu bukanlah sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya, ia menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang yang akhirnya membawa kepada perubahan yang kita saksikan pada hari ini.
Namun begitu, PKPIM menegaskan bahawa pemansuhan AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai noktah kepada perjuangan kebebasan mahasiswa. Yang lebih penting ialah memastikan kebebasan tersebut benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan kampus dan tidak muncul semula dalam bentuk kawalan, sekatan atau penguatkuasaan melalui mekanisme dan peraturan lain.
Hak mahasiswa untuk bersuara, berpersatuan, beraktivisme dan terlibat dalam isu-isu masyarakat perlu terus dihormati dan dijamin. Mahasiswa juga wajar dilihat sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara, bukannya kelompok yang perlu sentiasa dikawal atau dicurigai.
Dalam masa yang sama, PKPIM menyeru seluruh mahasiswa agar menggunakan ruang kebebasan yang semakin terbuka ini dengan penuh tanggungjawab, kematangan dan integriti. Kebebasan tanpa tanggungjawab tidak akan membawa perubahan yang bermakna. Justeru, mahasiswa perlu membuktikan bahawa kebebasan yang diperjuangkan mampu melahirkan generasi yang berani menyatakan pandangan, kritis terhadap isu semasa, namun tetap beradab dan bertanggungjawab.
PKPIM percaya bahawa perjuangan generasi mahasiswa terdahulu tidak sia-sia. Pemansuhan AUKU merupakan satu pencapaian penting, tetapi usaha mempertahankan ruang kebebasan mahasiswa mesti diteruskan agar hak tersebut tidak kembali disempitkan dalam bentuk yang berbeza.
Perjuangan mahasiswa tidak berakhir dengan pemansuhan AUKU. Ia diteruskan dengan memastikan kebebasan yang diperoleh hari ini terus dipelihara dan dimanfaatkan demi mahasiswa, masyarakat dan masa depan negara.
HIDUP BIAR BERJASA!
MUHAMMAD SYAMIL BIN OMAR
Naib Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)