Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PKPIM GESA SHARIFAH ZOHRA TAMPIL MOHON MAAF

Kenyataan Media
15 Januari 2012 M/ 3 Rabiul Awal 1434 H
PKPIM GESA PRESIDEN SUARA WANITA 1 MALAYSIA TAMPIL MOHON MAAF

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius terhadap tindakan yang dilakukan oleh Pn. Sharifah Zohra Jabeen, Presiden Suara Wanita 1 Malaysia terhadap seorang mahasiswa ketika sesi forum di Universiti Utara Malaysia. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari kalangan pimpinan mahasiswa di kampus, tindakan yang dilakukan oleh beliau sangat memalukan dan mengejutkan seluruh mahasiswa di Malaysia.

Pendidikan adalah proses dua hala antara pemberi dan penerima. Seharusnya Pn. Sharifah Zohra lebih berhati-hati dalam menjalankan sesi forum bersama-sama mahasiswa lantaran pendidikan yang baik adalah melahirkan insan yang baik sebagaimana yang dihuraikan oleh Syed  Muhammad Naquib Al-Attas yakni pendidikan adalah menciptakan manusia baik dan beradab. Forum tersebut seharusnya dijalankan dengan menghormati adab antara satu sama lain dalam memberikan pandangan.

Mahasiswa seharusnya dan sememangnya perlu diberikan peluang untuk bersuara bukannya diperlakukan dengan tindakan mencantas sedemikian. Hal ini sejajar dengan prinsip demokrasi yang sewajibnya berlaku di negara kita yakni setiap individu mempunyai hak untuk bersuara menyatakan pandangan dan pendapat masing-masing.

Sebagai individu yang professional dan terpelajar, Pn. Sharifah Zohra sepatutnya menampilkan sikap yang terbuka dan tenang serta professional dalam menghadapi situasi pertanyaan saudari Bawani dalam forum tersebut. Pandangan seorang mahasiswa sewajarnya dilihat sebagai pandangan yang positif untuk membina kepimpinan masa depan, bukannya dilihat sebagai anti-kerajaan atau anti kepada mana-mana parti politik.

Sesungguhnya, tindakan Pn. Sharifah Zohra Jabeen telah memburukan imej sebagai salah seorang pemimpin sebuah salah sebuah badan bukan kerajaan di bawah kerajaan Malaysia malah sekaligus mencalarkan imej Islam terhadap orang bukan Islam. Forum yang sepatutnya menjadi medium untuk mengangkat martabat nilai keilmuan di universiti telah dicalari dengan nilai yang membodohkan dan mengaibkan nilai institusi pendidikan tinggi. Sesungguhnya ingatlah pesan Profesor Ungku Aziz, belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman dan terpelajar. Itulah yang sepatutnya yang berlaku dalam mengangkat nilai intelektualisme dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat Malaysia. Ayuh, hidup suburkan budaya ilmu dalam Institut Pengajian Tinggi!

Oleh hal yang demikian, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia menggesa supaya Pn. Sharifah Zohra untuk tampil dan membuat kenyataan memohon maaf kepada seluruh mahasiswa terutama saudari Bawani atas tindakan beliau terhadap insiden yang berlaku. Dan kami berharap insiden yang mengaibkan nilai kepemudaan mahasiswa tidak akan berlaku lagi. Sesungguhnya, prinsip hikmah as-Syuyukh fi hamasati syabab yang membawa maksud kebijaksanaan orang tua dan semangat orang muda wajib digunakan dalam menangani isu ini.

‘‘HIDUP BIAR BERJASA’’

KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Setiausaha Agung
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

 

 

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)