Dalam kesibukan mahasiswa yang turut sama merayakan hari kebesaran rakyat melalui pendekatan yang pelbagai dengan matlamat bahawa pengamalan demokrasi yang sihat dalam konteks Malaysia harus didukung sama oleh anak muda lebih-lebih lagi dalam kehangatan Pilihanraya Umum PRU ke 13 yang semakin dirasai. Realiti politik baru hari ini adalah merujuk kepada kebangkitan kuasa anak muda (thaurah syabab) yang bakal menentukan kepimpinan masa depan negara.
Tidak dilupakan juga kepada golongan pelajar lepasan SPM dan STPM di seluruh Malaysiayang bakal bergelar MAHASISWA. Suatu istilah yang begitu di idamkan mereka. Kumpulan anak muda ini sedang menunggu keputusan kemasukan ke universiti samada di dalam mahupun di luar Negara. PKPIM ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka yang cemerlang dalam peperiksaan dan bagi mereka yang tidak berjaya, semuanya tidak berakhir disini. Selamat berjaya kepada semua kerana kalian bakal melangkah ke fasa baru kehidupan yang akan mencorakkan hala tuju masa depan anda kelak.
Sesungguhnya, kesyukuran kepada Ilahi perlu diperbanyakkan memandangkan anda merupakan insan yang bakal menempatkan diri di Menara Gading Taman Ilmu dan Budi. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebanyak 41,267 kekosongan yang boleh diisi oleh calon yang berjaya memohon di seluruh Negara berbanding sebanyak 64,703 permohonan yang diterima untuk mengikuti Program Ijazah Pertama bagi sesi akademik 2011/2012 di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Walaubagaimanapun, amanah ilmu yang dipikul perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Amanah ilmu ini juga terikat kepada bakal mahasiswa mahupun “mahasitua”. Justeru, persediaan dan pembentukan ‘mindsetting’ perlu digerakkan seoptimum mungkin memandangkan suasana pembelajaran di universiti sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini di bangku sekolah. Mahasiswa perlu cemerlang dalam pelbagai aspek terutamanya di dalam bidang akademik dan sahsiah.
Oleh yang demikian, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ,sebuah organisasi pelajar di peringkat kebangsaan mengambil inisiatif dalam menganjukan Program Menara Gading (PMG) diperingkat negeri dan kebangsaan di IPT-IPT terpilih di Malaysiabermula sejak tahun 1999 lagi. Pada tahun ini, Program Menara Gading peringkat kebangsaan akan dilangsungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12-14 April 2013. Matlamat utama program tahunan ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan bimbingan tentang realiti kehidupan dan pembelajaran di alam kampus kepada para pelajar lepasan SPM dan STPM.
Sayugia, mahasiswa perlu berdikari dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam menempuh proses pembelajaran di menara gading. Pergantungan mutlak mahasiswa kepada nota dan suapan maklumat para pensyarah semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan cemerlang akademik mahasiswa. Justeru, perlunya perubahan pendekatan dalam tindak tanduk mahasiswa supaya tidak hanya berjumpa pensyarah untuk menghantar kerja dan tugasan malahan mengambil peluang berjumpa pensyarah untuk bertukar-tukar pandangan dalam membincangkan beberapa isu yang melibatkan soal dasar dan polisi atau melibatkan isu-isu semasa dalam dan luar negara.
Selain itu, bahan bacaan mahasiswa perlulah melangkaui ruang lingkup bidang yang dipelajari semata-mata dan tidak hanya terikat kepada nota-nota kuliah. Mahasiswa juga perlu didedahkan dengan bahan bacaan yang berorintasikan sejarah, falsafah, pemikiran dan karya-karya besar tokoh-tokoh ilmuan terkenal dunia.
Dalam mendepani realiti semasa yang semakin ruwet memerlukan persediaan dan ketahanan yang ampuh dalam kalangan mahasiswa. Ini kerana terdapat banyak cabaran dan permasalahan semasa yang menyelubungi dunia hari ini. Sebagai contoh, pertembungan aliran pemikiran, krisis identiti, kecelaruan budaya, dan budaya hedonisme yang membarah merupakan cabaran semasa yang perlu ditangani secara berhikmah oleh mahasiswa.
Justeru, mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan mengasah lingkung kebitaraan yang boleh dicapai oleh setiap individu melalui elemen Idealisme, Aktivisme, Intelektualisme dan Spiritualisme dalam diri masing-masing. Elemen-elemen ini harus diadun secara seimbang, komprehensif dan bersepadu dalam mendidik dan membangunkan generasi mahasiswa yang diharapkan mampu mewarnai corak kepimpinan Negara akan datang.
Idealisme merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati dan diamalkan. Ia berasaskan kepada dua perkara pokok iaitu Al-Amru bil Makruf atau kecintaan terhadap prinsip kebenaran, keadilan dan keharmonian dan yang kedua ialah Wan Nahyu ‘anil Mungkar atau kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kekacauan.
Aktivisme pula merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang bersifat praktikal. Ia merupakan suatu proses yang harus berlandaskan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak negatif yang lebih memudaratkan. Melalui aktivisme inilah, akan lahirnya mahasiswa yang menyahut semangat pengorbanan dan perjuangan serta mempunyai nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi.
Melalui Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaaan) 2008, kerajaan telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang bernaung secara rasmi bersama Majlis Belia Malaysia (MBM). Nah, ruang dan peluang telah diberikan kepada mahasiswa untuk menyahut seruan ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi?
Dalam elemen Intelektualisme, ianya tidak hanya merujuk mahupun tergantung kepada kehebatan mahasiswa dalam memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan atau mendapat 4.00 CGPA. Elemen intelektualisme ini bukan juga terbangun di atas kecenderungan mahasiswa untuk menjadi ulat buku dengan mengasingkan diri daripada cuba memahami dan menelaah apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tetapi intelektualisme adalah satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktivitri yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kritis sehingga berupaya mencetuskan idea-idea baru sekaligus menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan yang praktis.
Spiritualisme iaitu kekuatan daya roh pula membentuk sistem kepercayaan, pandangan hidup (worldview) dan sistem nilai. Akar spiritualisme ini adalah satu bentuk cengkaman kuat yang menjalar ke dalam jiwa. Memetik sebuah definisi yang pernah diungkapkan oleh Dr. Ali Shariati, arkitek revolusi Iran dalam ‘Pemikir Reformasi dan Masyarakat Revolusioner’ yang menggunapakai istilah ‘the enlightened souls’ atau ‘golongan celik’ yang difahami sebagai ‘golongan yang sedar akan diri dan peranannya’. ‘Sedar diri’ itulah yang menampung makna tujuan hidup iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah yang mengusung misi pengislahan dan sekaligus berperanan menyelamatkan nyawa manusia.
Akhirnya, sekiranya kesemua lingkungan kebitaraan melalui elemen Idealisme, Aktivisme, dan Intelektualisme dan Spiritualisme ini dibudayakan oleh aktivis mahasiswa, PKPIM yakin dan percaya bahawa masalah pengganguran dan ketidakboleh pasaran graduan tidak akan berlaku. Hal ini kerana elemen yang dibudayakan ini mencakupi latihan kepimpinan, soft-skillsdan ilmu-ilmu tambahan yang diperolehi di luar bilik kuliah bukan hanya terikat dengan persoalan teori semata-mata. Mengambil kata-kata hikmah Al-Marhum Bapak Mohammad Natsir, Mantan Perdana Menteri Indonesia, beliau menyebutkan bahawa:
“Tiada percetakan dalam kepimpinan. (lantaran) pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”
“HIDUP BIAR BERJASA”
AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)