Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

KENYATAAN MEDIA PKPIM: KERAJAAN USAH TERGESA-GESA TANDATANGANI TPPA

tppa 2

Kenyataan Media PKPIM
20 Januari 2016

KERAJAAN USAH TERGESA-GESA TANDATANGANI TPPA

PKPIM menggesa Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) agar tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang “dikatakan” akan berlangsung pada 04 Februari 2016 di Auckland, New Zealand.

PKPIM secara konsisten menyatakan bantahan terhadap TPPA. Sebelum teks perjanjiannya dikeluarkan pada 05 November 2015, sudah beberapa kali kami keluarkan kenyataan bantahan atas faktor kerahsian rundingan perjanjian, kegusaran atas beberapa isu kritikal perjanjian dan keraguan atas kebolehan dan kemampuan Malaysia untuk persaingan dalam kerangka TPPA.

Menghairankan, setelah teks perjanjian dikeluarkan pada November tahun lalu, rakyat seolah-olah dipaksa secepat mungkin menerima TPPA. Ingat, rundingan “rahsia” berlangsung hampir enam tahun. Mengapa MITI terlalu gopoh mahu rakyat menerimanya sedangkan teks perjanjian baru keluar pada bulan November, hujung Januari pula dibentang di Parlimen untuk pengundian, dan awal Februari ditandatangani? Mengapa buka ruang kepada rakyat beberapa bulan sahaja untuk menilainya? Apakah ada suatu agenda lain disembunyikan sehingga mahu cepat dimetrai? Ini pastinya menimbulkan tanda tanya.

Dalam perkembangan yang sama, PKPIM ada meneliti dokumen-dokumen yang dimuatnaik di laman web MITI termasuk ‘cost-benefit analysis’ di samping mengikuti sesi penerangan TPPA oleh pegawai kerajaan dan MITI. Pada pandangan kami, penelitian dan perbincangan lanjut adalah perlu. Sesi penerangan dan perbincangan yang ada tidak mencukupi. Bayangkan teks perjanjian setebal lebih 6,000 halaman dengan bahasa yang kompleks, yang dirunding selama enam tahun, kemudian diberi masa hanya tiga bulan untuk rakyat membuat penilaian.

MITI perlu beri lebih masa untuk perbincangan, bukan “memaksakan” pandangan dan pendirian pro-TPPA MITI ke atas rakyat. Rakyat tidaklah terlalu bodoh hingga terpaksa menurut sahaja kehendak pemerintah. Dunia hari ini adalah zaman di mana “government knows best” telah berakhir.

Memetik kenyataan Joseph Stiglitz, seorang akademia dan ekonomis (juga merupakan pemenang hadiah Nobel), TPPA adalah suatu perjanjian perdagangan bebas yang memenangkan pihak yang kuat dan menghukum pihak yang lemah (The Guardian, 10 Januari 2016). Kenyataan beliau ini ada asasnya dan harus difikirkan. Mengapa dalam masa dua tahun selepas TPPA ditandatangani,proses ratifikasi dilakukan, iaitu proses pindaan dan penggubalan undang-undang negara sejajar dengan TPPA? Kenyataannya, TPPA yang dikuasai para pelabur dan syarikat besar serta dijuarai oleh Amerika Syarikat sebenarnya tidak percaya kepada sistem undang-undang negara kita. Dalam erti kata lain, mereka menghina negara kita sebagai pihak yang tidak boleh dipercayai, dan untuk berdagang dengan negara yang tidak boleh dipercayai ini maka harus ditetapkan undang-undang seperti mereka mahukan. Sedangkan selama ini pun Malaysia berdagang dengan banyak negara tetapi tidaklah sampai perlu kepada ratifikasi seperti ini.

Di samping itu, kegusaran rakyat dan kebimbangan pihak yang menolak TPPA banyak difokuskan kepada aspek-aspek seperti isu ubat-ubatan mahal, industri kecil dan sederhana kalah dalam persaingan global, isu bumiputera, isu perolehan kerajaan, tentang mekanisme ‘Investor-State Dispute Settlement’ (ISDS), dan isu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC/SOE). Kami sedar kerajaan khususnya MITI berusaha sedaya upaya untuk menjawab kegusaran ini. Tetapi apakah MITI sudah cukup membuktikan bahawa negara mempunyai keupayaan menghadapi cabaran pasca-TPPA dengan “berperisaikan” beberapa pengecualian dan perlindungan (safeguard) yang diberikan kepada Malaysia?

Malah, MITI juga meuar-uarkan kebaikan jika Malaysia menyertai TPPA. Antaranya amalan urustadbir yang telus, melawan amalan rasuah, melindungi persekitaran dan memperkasakan buruh. Setelah kami meninjau respon-respon kelompok yang membantah TPPA daripada negara anggota yang lain, rupa-rupanya kebaikan yang dicanangkan tidak semudah yang digambarkan. Isu alam sekitar menjadi isu hangat di Australia, isu nasib petani mendapat tempat di Jepun, isu kehilangan pekerjaan hangat diperkatakan di Amerika Syarikat, isu hak buruh di Peru dan Mexico dan banyak lagi. Lebih banyak lagi kegusaran timbul apabila terma-terma dalam teks perjanjian dipersoalkan oleh pengkaji dan ahli akademik.

Salah satu dakwaan bahawa TPPA boleh menguntungkan Malaysia adalah apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed mendakwa pelaburan Malaysia di luar negara mengatasi pelaburan asing ke dalam negara dengan nilai RM601.6 bilion berbanding RM500.2 bilion (suku ke-3 2015). Dengan itu TPPA akan memberikan kelebihan khususnya ISDS dalam melindungi syarikat Malaysia yang banyak berdagang di luar negara. Cuma persoalan timbul apabila kami merujuk tulisan Anas Alam Faizli, seorang aktivis sosial yang menyatakan bahawa sebenarnya sejak tahun 2009, jumlah keseluruhan Pelaburan Langsung Asing atau “Foreign Direct Investment” (FDI) mengalami penurunan sehingga ke hari ini. Malah tambah beliau lagi, kemungkinan ada syarikat Malaysia yang bukan mengembangkan perniagaan di luar negara tetapi mengumpul harta. (The Edge, 16 Januari 2016).

Tambahan lagi, merujuk kepada analisis YB Wong Chen (Ahli Parlimen Kelana Jaya) terhadap laporan “cost-benefit analysis” oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), TPPA tidak memberikan manfaat macroekonomi yang menguntungkan Malaysia. Menurut beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 06 Januari lalu, PwC melaporkan dalam jangkaan terbaik ekonomi negara hanya akan memperlihatkan maksimum 1.15% pertumbuhan KDNK 0.9 % dalam eksport tetapi kehilangan 30% imbangan perdagangan (trade balance).

Selain itu, kami juga gusar dengan kebolehan dan kompetensi Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi baharu dalam kerangka TPPA. Lihatlah sahaja skandal 2.6 bilion melibatkan pemimpin utama negara yang masih belum selesai, nilai matawang negara yang merudum, peningkatan bebanan hidup rakyat pasca-GST, skandal kewangan 1MDB yang masih belum terjawab dan banyak lagi isu menunjukkan kelemahan urus tadbir negara. Bagaimana mungkin rakyat boleh mudah-mudah mempercayakan kerajaan dalam agenda TPPA yang bakal berdepan dengan syarikat multi-nasional gergasi sedangkan pelbagai isu dalaman negara masih belum dapat diselesaikan.

Kesimpulannya, PKPIM berpendapat kerajaan tidak wajar menandatangani TPPA. Kami fikir kerajaan tidak perlu terburu-buru kerana menurut YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Mustapa Mohamed tidak menyertai TPPA bukan bermakna Malaysia mundur atau gagal.

PKPIM juga menyarankan agar kerajaan Malaysia dan MITI jangan membuang masa untuk menunggu selama tiga tahun pasca-TPPA dimetrai, untuk membuat penilaian semula kegagalan Malaysia TPPA, dan kemudiannya menggunakan peruntukan Artikel 30.6 di bawah Bab Peruntukan Akhir (Withdrawal) yang memberikan ruang kepada negara anggota TPPA menarik diri. Lebih baik tidak ditandatangani dari awal daripada memperjudikan masa depan rakyat.

Oleh yang demikian, PKPIM menyeru para pelajar, mahasiswa dan rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan Aman Rakyat Bantah TPPA pada 23 Januari (Sabtu) jam 1:00 petang. Ini adalah suatu usaha desakan dan advokasi massa yang dilakukan dengan pendekatan “non-violence” bagi mendesak Parlimen khususnya wakil-wakil rakyat supaya menolak TPPA dalam undian yang akan diadakan dalam sidang khas Parlimen penghujung bulan ini.

Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

20 Januari 2016/ 09 Rabiulakhir 1437H

‪#‎bantahTPPA‬
‪#‎HidupBiarBerjasa

ARTIKEL & BERITA PKPIM

SURAT AHLI KONGRES AMERIKA KEPADA MARKO RUBIO :

Apa yang berlaku? Pada 21 Julai 2026, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menggesa kerajaan Amerika mengkaji semula hubungan dengan Malaysia susulan [...]
Read more

PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA

Bismillāh ir-Raḥmān ir-Raḥīm WARKAH PRESIDEN PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) SESI 25/26 PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ [...]
Read more

EID AL-ADHA: A SACRED RIGHT, NOT A THREAT

As we approach one of the most significant and celebrated occasions in the Islamic tradition, Eid al-Adha reminds Muslims of the profound meaning of sacrifice, obedience and steadfastness in faith. [...]
Read more

PASCA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2025

PERJALANAN MASIH JAUH, MASA DEPAN MENANTI KALIAN Adik-adik calon SPM sekalian, Adik-adik yang berpotensi, Adik-adik yang berkemajuan, Adik-adik yang bitara, Jangan sekadar menjadi pelajar yang lulus dalam peperiksaan, tetapi jadilah [...]
Read more

AL-ATTAS ASAS KEPADA KELETARIAN PERJUANGAN PKPIM

Perjuangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selama 65 tahun di pentas dakwah dalam negara mahupun di luar negara bertahan dan terus mampan kerana perjuangan PKPIM didasari dengan budaya keintelektualan [...]
Read more

INSTITUSI PENDIDIKAN BUKAN SARANG IDEOLOGI SONGSANG

PKPIM memandang serius dan berat dakwaan yang sedang tular melibatkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang dikaitkan dengan fahaman serta rangkaian Freemason suatu ideologi yang jelas bercanggah dengan akidah Islam [...]
Read more

PASCA SPM: JANGAN HANYUT, BINA DIRI

Kepada anak-anak muda yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami mengucapkan tahniah dan mendoakan agar beroleh keputusan yang cemerlang. Habis sahaja peperiksaan ini, maka anda semua telah [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)