Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

CORETAN MAJLIS TAUSIYAH PELAJAR RABBANI: JALAN KEJUJURAN ILMU DAN PEMBINAAN DIRI

Pada malam 22 Disember 2025, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah mengadakan Majlis Tausiyah dengan bertajuk Pelajar Rabbani: Jalan Kejujuran Ilmu dan Pembinaan diri. Sewaktu berlangsungnya majlis ini, ruang sekretariat PKPIM dipenuhi oleh hadirin-hadirin daripada kalangan ahli PKPIM, dan juga bukan ahli PKPIM yang ingin mencedok ilmu daripada Syeikh Ilyas.

Ia seolah-olah disinari dengan cahaya keberkatan dengan kehadiran fadhilatus Syeikh serta para hadirin.

Syeikh Khalil Ilyas memulakan dengan takrifan “penuntut Rabbani” (seperti yang terpapar pada poster) sebagai penuntut tersebut tidak berbakti dalam dirinya melainkan hanya kerana Allah swt. Dalam menjelaskan perihal dan ciri-ciri Penuntut Rabbani, terdapat beberapa ciri-ciri yang dapat dipetik;

  1. Mempunyai sifat takwa
  2. Seseorang yang membimbing akalnya dengan baik
  3. Mereka yang memilih untuk bersuhbah dengan orang-orang yang soleh – mursyid dan teman-teman yang baik.

1. MEREKA YANG MEMPUNYAI SIFAT TAKWA

Syeikh Khalil Ilyas menyebut bahawa sifat takwa ini ada yang dimiliki oleh orang awam dan ada juga sifat takwa yang hanya dimiliki oleh para awliya’ sahaja. Kebanyakan daripada kita hanya berpuasa pada perkara-perkara yang mudah sahaja, seperti berpuasa pada bulan Ramadhan kerana berpuasa pada bulan itu adalah semudah-mudah pelajaran takwa.

Pada bulan ini, mereka sendiri takut untuk meminum air, kerana mereka merasakan Allah  swt yang melihat perbuatan mereka. Walhal, pada masa yang sama, ketika mereka berseorangan di bilik mereka sendiri, mereka melihat gambar-gambar yang tidak diredhai Allah swt. Mereka hanya mampu untuk bertakwa pada satu keadaan, tetapi tidak mampu untuk bertakwa dan menahan nafsu mereka pada keadaan yang lain.

Hal ini yang membezakan mereka yang benar-benar mempunyai karakter Rabbani.

Penuntut tersebut perlu bermujahadah melawan nafsunya, walaupun nafsu dan syahwat itulah yang Allah swt masukkan padanya iaitu nafsu yang menimbulkan amarah dan juga berbagai syahwat yang lainnya. Kerana Perjuangan melawan nafsu itu hanyalah dilakukan terhadap Allah  swt semata-mata.

2. SESEORANG YANG MEMBIMBING AKALNYA DENGAN BAIK

Dalam keadaan mereka bermujahadah itu, mereka memanfaatkan penggunaan akal mereka yang telah dianugerahkan Allah swt dengan ilmu yang bermanfaat untuk mengenalpasti sesuatu sebagai nafsu syahwat, atau sama ada ia haram atau halal

Hal ini menunjukkan keperluan akal dalam pembinaan karakter pelajar Rabbani. Daripada akal inilah kita dapat mengetahui kewujudan punca atau sebab melalui kewujudan kesan atau musabab terhadap sesuatu perkara.

Syeikh Khalil Ilyas menyebut dua ayat al-Quran iaitu surah al-Shams, ayat 8 hingga ayat 10,

 فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا ٨ قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا  ٩ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا ١٠

Terjemahan: Serta mengilhaminya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; –(8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),(9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (10)

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Akal mampu membezakan antara syahwat yang membawa kepada kebaikan dan halal dengan yang dilarang. Akal digunakan untuk melakukan semua perkara yang sesuai dengan timbangan Allah swt dan tidak menuruti Syaitan. Akal inilah yang menjadi pembimbing kepada kepada nafsu.

3. MEREKA YANG MEMILIH UNTUK BERSUHBAH DENGAN ORANG-ORANG YANG SOLEH

Dalam membicarakan tentang faktor-faktor seseorang untuk dibentuk menjadi hamba yang Rabbani, Syeikh memberikan beberapa faktor;

  1. Bersuhbah, iaitu bergaul dan mendekati dengan orang yang soleh.
  2. Mempunyai guru-guru mursyid – darjat Suhbah yang paling tinggi iaitu dengan mendampingi dan membimbingi kita di sepanjang jalan kerohanian.
  3. Mempunyai teman-teman yang baik.

Berkenaan dengan teman-teman yang baik ini, Syeikh Khalil Ilyas memetik sebuah hadis daripada Rasulullah ﷺ, yang menyebut,

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلْ

Maksudnya: Seseorang itu mengikut agama rakannya. Maka lihatlah seorang kamu siapa yang dia berkawan.

Riwayat Abu Daud (4833), al-Tirmizi (2378) dan Ahmad (8398)

Pembentukan pemahaman kita terhadap agama, dipengaruhi dan dibina oleh pengaruh teman-teman yang soleh. Itulah sebabnya mengapa kita perlu bijak dalam memilih teman-teman yang baik dalam hidup ini.

Dalam menjelaskan perihal ini, Syeikh Khalil Ilyas membawakan satu hadis Rasulullah ﷺ,

لاَ تُصَاحِب إِلاَّ مُؤْمِنًا، وَلاَ يَأْكُل طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِي

Maksudnya: Jangan engkau berteman kecuali dengan orang beriman dan jangan memakan makananmu selain orang yang bertakwa!

Yang dimaksudkan dalam hadis ini, kata Syeikh Khalil Ilyas, ayat ini bukanlah ayat pernyataan (khabariah), tetapi berbentuk isyarat (insya’). Yang dimaksudkan ialah, mereka yang berkongsi makanan bersama, hanyalah mereka yang benar-benar rapat dengan kita. Dan dengan itulah kita perlu menjadikan mukmin yang bertaqwa sebagai teman yang rapat.

Syeikh membawa satu perumpamaan seorang pesakit yang menyebut tentang penyakitnya terhadap seorang doktor, dan menyingkapkan auratnya kepada doktor (untuk mengetahui lebih tentang penyakitnya itu). Mereka datang kepada doktor tersebut dalam keadaan yang rendah diri, dan memerlukan nasihat dan kata-katanya (untuk memberikan kesembuhan terhadap penyakitnya itu).

Begitulah juga ketika kita bersuhbah dan mendatangi orang-orang yang soleh – kita datang dengan penuh kejujuran dan rasa rendah diri, dalam keadaan untuk mengutip kebaikan dan manfaat dari kata-kata mereka, seperti bagaimana seorang pesakit yang ingin mendengar nasihat doktor untuk merawat penyakitnya.

Kejujuran, dan kebenaran yang luhur pada kata-katanya dan perbuatannya serta keadaan dirinya inilah penting dalam pembentukan Penuntut Rabbani.

Sebagai penutup, Syeikh menyebut bahawa – semua ini hanya akan berlaku jika seseorang itu menjadikan tujuan hidupnya untuk menjadi hamba yang Rabbani. Sebahagian orang mengambil masa yang panjang untuk mencapai tujuan ini, sedangkan sebahagian lagi hanya mengambil masa yang pendek untuk menjadi hamba yang Rabbani. Seorang Arab Badawi datang dan berjumpa Nabi Muhammad ﷺ, dan setelah itu, beliau keluar dalam keadaan beliau memiliki ilmu golongan yang terdahulu serta yang terkemudian.

Dan ini semua bergantung kepada kesediaan dirinya dan kejujurannya untuk menerima tarbiah tersebut. Tarbiyah dalam membentuk sebuah Penuntut Rabbani yang menyeluruh.

Author

Comment Section
    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    ARTIKEL & BERITA PKPIM

    Ilmu Sebagai Kompas, Budi Sebagai Penawar

    Asasnya, dalam mencari lubuk lubuk pengetahuan, sememangnya kita diberi pilihan adakah kita mencari pengetahuan untuk menjalankan amanah tanggungjawab kita, sebagai khalifah, atau mencari cari harga [...]
    Read more

    Program Dan Video

    Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

    Sembang Demokrasi Siri 4.0

    Sembang Demokrasi Siri 3.0

    Sembang Demokrasi Siri 2.0

    (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
    Lokasi Kami
    • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
    • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
    • pkpim_spp@yahoo.com
    • Isnin - Jumaat
      8.00AM - 5.00 PM
    Ikuti Kami
    PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
    Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)