KUCHING, 04 Feb: Teknologi merupakan satu keperluan bagi memudahkan urusan kehidupan manusia. Namun, apakah teknologi bakal mempengaruhi penggunanya ke arah kebaikan atau kemudaratan? Justeru, bagi memugar persoalan ini, Angkatan Belia Islam Malaysia cawangan Negeri Sarawak telah menganjurkan Wacana Anak Muda dengan tajuk “Teknologi: Bahana atau Jaminan”, bertempat di dewan besar Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, di sini.
Para panelis yang hadir membincangkan topik ini ialah Ketua Biro Dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia Ustaz Hasri Harun, Ketua Unit Bahasa, Perkamusan dan Peristilahan DBP Sarawak, Hj Shantrol Abdullah, Pensyarah Fakulti Pengajian Polisi UiTM Sarawak Awang Fardhillah Awang Hussien dan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Saudara Mohammad Fazril Saleh.
Antara isu yang paling mendapat perhatian dalam forum ini ialah impak teknologi maklumat terhadap anak muda dan bagaimanakah teknologi ini mampu digembleng untuk pelaksanaan dakwah kepada masyarakat.
Bagi pandangan Penolong Setiausaha Agung PKPIM, Mohammad Fazril Saleh, teknologi itu mampu dikawal dengan pegangan nilai dan jati diri yang kukuh. Beliau juga menyampaikan tips dakwah ‘7P’ cara anak muda yang memanfaatkan teknologi dan sempat berseloroh tentang fenomena ‘Angry Bird’ dan ‘Blackberry’. Dengan selingan dan humor oleh para panelis, suasana forum kelihatan santai dan bersahaja.
Menurut Saudara Afiq Asyraf selaku pengarah program, wacana ini merupakan medan untuk memupuk generasi muda yang berilmu. Beliau yang juga merupakan exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia berkata, kekuatan sesuatu tamadun itu bergantung kepada sejauh mana perkembangan masyarakatnya dalam bidang ilmu.
Wacana ini mendapat liputan meluas media massa. Program dihadiri oleh lebih daripada 100 orang mahasiswa, pelajar sekolah dan orang awam.