Pada saat kekalutan pemikiran dan kecelaruan sukma, manifestasi kerancuan tampak jelas dalam singkapan demi singkapan terhadap tragedi kelesuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Negara dewasa ini. Institusi persekolahan rendah dan menengah juga tidak terkecuali daripada gelombang kecelaruan ini.
Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan institusi pendidikan samada IPT mahupun sekolah-sekolah di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan ini apakah sebenarnya layak menjadi indikator keberdayaan institusi pendidikan melahirkan insan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group? atau sebaliknya kelumpuhan berlaku lantas meranapkan idea pendidikan sebagai wahana membina wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.
Justeru, atas keinsafan dan kesedaran terhadap isu ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) mengorak selangkah lagi dengan dengan penganjuran Sekolah Massa: Siri Wacana Pencerahan yang bakal mengupas secara analitikal berkenaan isu yang diutarakan, dengan topik khusus “Mengembalikan Nilai Pendidikan”.
Wacana bakal menerpa beberapa persoalan asas seperti Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘pendidikan’? Bagaimana pendidikan sebagai proses penyaluran ilmu kepada manusia berlaku? Apa kandungan ataupun ilmu yang diajarkan? Apa tujuan pendidikan? Apa hasil yang bakal dikecapi oleh penerima kandungan melalui proses pendidikan itu? Apakah pendidikan hanya sebagai alat untuk mendapatkan profesyen yang baik? Apakah matlamat institusi pendidikan yang sebenarnya, mendidik atau mengaut keuntungan? Adakah realiti pendidikan hari ini tersasar daripada keperluan insan dan tujuan asal pendidikan?
sebarang pertanyaan, hubungi Cik Azzah: 019-4985984 atau En. Afiq Asyraf: 016-8887949
Wacana ini juga dapat ditonton secara langsung pada 10 Mac 2012 di
http://www.ustream.tv/channel/pkpim-media