Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PERUTUSAN PRESIDEN SEMPENA PENGUMUMAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN STAM 2014

“MENGANGKAT GAGASAN MENG’INTELEKTUAL’KAN ULAMA, MENG’ULAMA’KAN INTELKTUAL”
Assalamualaikum w.b.t.

1- Bismillahi ‘r-rahmani ‘r-rahim. Segala puji bagi Allah Tuhan sarwa alam yang Maha Berilmu dan Maha Mengetahui. Selawat dan salam atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w., penghulu yang membimbing kita semua ke jalan kebenaran.

2- Saya mewakili pimpinan dan seluruh saf qiyadah PKPIM mendoakan yang terbaik buat adik-adik yang bakal menerima keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2014. Semoga dengan keputusan yang bakal diterima nanti akan memberi peluang kepada adik-adik untuk melanjutkan pengajian menuntut ilmu kerana Allah s.w.t.

Adik-adik, saudaraku yang disayangi,

3- Adik-adik boleh mengambil keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing pada hari ini (28 Januari 2015) bermula jam 10:00 pagi. Kami memahami debaran yang kalian rasai. Bersabarlah menanti keputusan kalian. Banyakkan berdoa. Adik-adik telah berusaha dengan sebaiknya.

4- Seramai 8,800 orang calon telah dengan jayanya menyelesaikan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di 118 pusat peperiksaan seluruh negara. Calon-calon daripada Sekolah Menengah Agama Negeri adalah seramai 5,099, manakala calon daripada sekolah kerajaan adalah seramai 1,961 orang. 676 orang calon datangnya daripada Sekolah Agama Rakyat, 1031 orang calon persendirian dan 33 orang calon daripada sekolah swasta. Kami juga sedang menanti pengumuman analisis STAM 2014 yang bakal diadakan jam 9:00 pagi ini di Putrajaya.

Adik-adik sekalian,

STAM: PERSIAPAN MENJADI ILMUWAN

5- Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diwujudkan hasil inisiatif kerajaan bagi membolehkan kalian layak melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, salah sebuah universiti tertua di dunia yang masih mengekalkan tradisi keilmuwan yang hebat sampai ke hari ini.

6- Bergelar “azhariy” adalah suatu yang diidamkan oleh para penuntut ilmu khususnya pelajar dari bidang agama. Namun, harus beringat, gelaran ini tidaklah menjamin ketinggian ilmu kalian sekiranya kalian kufur akan nikmat yang Tuhan berikan ini.

7- Mengapa saya sebut demikian? Adik-adik perlu sedar bahawa peluang belajar di Universiti Al-Azhar adalah peluang yang perlu dimanfaatkan seoptima mungkin. Dilatih di bawah bimbingan para ulama yang tinggi ilmunya adalah nikmat daripada Tuhan kerana kalian terpilih, sedangkan orang lain mungkin tidak mendapat peluang ini. Sekiranya adik-adik tidak bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan bersikap malas dan culas, kalian akan gagal, dan telah mengkufuri nikmat yang Tuhan berikan.

8- Matapelajaran dan subjek yang kalian ikuti dalam persediaan menghadapi STAM adalah kurikulum daripada Universiti AL-Azhar sendiri. Kami harpa kalian menguasai apa yang telah dipelajari, bukan sekadar hafalan untuk peperiksaan semata-mata.

Saudara-saudaraku penuntut ilmu,

MENG’INTELEKTUAL’KAN ULAMA, MENG’ULAMA’KAN INTELEKTUAL

9- Ulama adalah status orang berilmu yang menempati posisi yang tinggi dalam masyarakat. Bukan sekadar itu, ulama juga adalah golongan yang menempati status yang tinggi di sisi Tuhan, seperti dinyatakan dalam Surah Al-Mujadilah, ayat 11 “…Allah mengangkat martabat mereka yang beriman dan yang diberi ilmu di antara kamu beberapa darjat,..”.

10- Justeru, ulama itu bukan sekadar orang yang belajar ilmu agama, dan menguasai turath, tetapi juga seorang yang mempunyai kemampuan keilmuwan yang lain, seperti berupaya menganalisa permasalahan umat, menguasai disiplin ilmu kontemporari seperti sains sosial dan liberal arts, mengaplikasikan prinsip asas agama dalam fiqh semasa, dan sentiasa berdamping dengan umat.

11- Hasrat PKPIM adalah untuk menghapuskan dikotomi ulama-intelektual, seolah-olah ulama itu dilihat tidak intelek, jumud, dan berfikiran ke belakang. Ternyata, menjadi suatu kesalahan besar bagi pelajar ilmu agama bersikap sambil lewa dalam pengajian mereka kerana mereka adalah amat diperlukan oleh umat.

12- Hargailah peluang belajar ilmu yang ada. Kalian sebenarnya sedang disiapkan dengan matlamat membina tamadun berketuhanan bagi menggantikan “a civilization without god”: tamadun semasa yang dominan. Umat Islam perlu kembali memahami epistemologi dan menggali khazanah keilmuwan dalam tradisi ketamadunan Islam yang pernah membuktikan kejayaannya suatu ketika dulu. Justeru, lebih ramai pakar dan ilmuwan Islam diperlukan.

13- Adik-adik sekalian, kami sekali lagi mengucapkan selamat maju jaya kepada kalian. InshaAllah, kami doakan kejayaan bagi anda semua. Sama-sama kita nantikan keputusan STAM jam 10:00 pagi ini.

Sekian, Wassalam.

 

MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

28 Januari 2015/ 08 Rabiulakhir 1436H

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)