Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PERUTUSAN PKPIM SEMPENA AIDILADHA 1432H

Bismillahirrahmanirrahaim..
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
“Sesiapa yang mengejar ketinggian tanpa berpenat lelah maka dia telah mensia-siakan kerjanya dalam menuntut sesuatu yang mustahil.” –Syair Arab

Alhamdulillah, segala puji dan syukur sama-sama kita rafakkan ke hadrat Allah Subhanahu wataala, kerana dengan limpah kurnianya dapat sama-sama kita mengecap dua nikmat yang cukup besar iaitu nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam juga ke atas Rasul tercinta dengan pengorbanannya dapat sama-sama kita meneruskan perjalanan yang singkat di bumi Allah ini dengan dua nikmat tersebut.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan terus pantas bersilih ganti. Kehendak dan keperluan manusia masa kini mengasak pemikiran setiap manusia perlunya pengorbanan yang besar dalam mendepani pelbagai ceritera kehidupan.

Allah berfirman, “Dan di antara mereka ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”  (Al-Baqarah: 207)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sekali lagi menyeru seluruh umat Islam amnya dan para pelajar khasnya untuk sama-sama menghayati dan mengaplikasikan budaya berkorban yang mana cukup luas tafsirannya.
Ayuh teman-teman, kita teladani kisah Nabi Allah Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail AS dalam mentaati dan berkorban demi memperoleh redha Allah. Mari kita lihat manifestasi kecintaan kedua-duanya kepada Rabb mereka.

Nabi Ibrahim diujii pengorbanannya dalam menghadapi dilema antara menunaikan perintah Allah untuk menyembelih anak yang dicintai dan tanggungjawabnya sebagai hamba-Nya, sebagaimana yang diceritakan kembali oleh Allah SWT melalui firmanNya:
“Nabi Ibrahim berkata, wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: maka fikirkanlah apa pendapatmu?” [As-Soffat :102]

Nabi Ismail yang mendokong perintah Allah melebihi segala-galanya dengan tenang menjawab:
“Jalankanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [As-Soffat:102]

Jawapan yang sukar digambarkan dari seorang anak yang soleh jelas menunjukkan tiada apa yang ingin dikejar dalam kehidupan di dunia ini melainkan keredhaan Allah. Bagaimana pula kita yang hanya diuji dengan ujian yang tidak seberapa tetapi sering tersungkur apabila ditagih sebuah pengorbanan yang besar. Semoga Allah melindungi kita semua.
Merenung kepada sirah yang dirakamkan oleh Allah dalam kitabNya itu, marilah sama-sama kita bermuhasabah untuk bukan sahaja melihat saudara mara atau sahabat handai yang berpeluang menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci, bahkan kita juga mampu merebut peluang dan kesempatan yang masih berbaki ini untuk berkorban masa dan tenaga dalam apa jua cara untuk agama Allah.

Perkataan atau ayat yang sangat mudah, tetapi memerlukan keyakinan yang sangat tinggi untuk merealisasikan segalanya. Sejarah telah membuktikan bahawa segalanya akan terbalas dengan ganjaran yang lebih hanya dengan berkorban di jalanNya.

Akhir kalam dari saya, semoga kita semua mengambil nilai-nilai sejarah pengorbanan para anbiya’ untuk diteladani dan dihayati dalam kehidupan ini sebagai satu panduan untuk menggapai redha Illahi.

Saya dan seluruh pimpinan PKPIM Pusat sesi 2011/2012 mengucapkan selamat menyambut AidilAdha pada tahun ini dan semoga kita semua terus istiqamah dalam meneruskan penyebaran risalah agungNya. Hidup dan mati hanya untukNya.
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan gandaan yang banyak.” (Al-Baqarah:245)
“Hidup Mulia Atau Mati Sebagai Syuhadak”

MOHD SHAZNI ABDULLAH
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)