Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PERANAN ABADI

Bismillahirrahmanirrahim.

Allahumma solli ‘ala Saiyidina Muhammad, wa ‘ala alihi wasohbihi ajma’in.

Serasanya, tiada seorang tokoh dalam sejarah dan ketamadunan manusia yang andai disebut, mampu mengalahkan keperibadian dan citra seorang watak bernama Muhammad S.A.W. Sebutkan sahaja tokoh-tokoh pemikir dan pencorak tamadun dunia yang ternama yang besar pernah dilakarkan selain baginda S.A.W, sudah tentu tiada yang setara.

sumber foto : http://shafiqolbu.wordpress.com

Ayuh, kita lihat dari satu aspek yang sangat peribadi dan tulus dalam menilai seseorang tokoh, aspek yang jarang disebut-sebut apabila bercakap mengenai ketokohan dan andai disebutkan pun mungkin secara terhad dan malu-malu, yang sebenarnya mengangkat martabat seseorang tokoh itu berbeza berbanding tokoh-tokoh yang lain iaitu akhlak / akhlaq.

Jarang sekali apabila seseorang tokoh itu diangkat, disebutkan juga tentang keperibadiannya yang boleh menjadi ikutan. Albert Einstein sendiri meskipun genius, tetapi tidak pula kita digalakkan untuk menjalani kehidupan seperti beliau. Bahkan, ada juga yang beranggapan bahawa gaya hidup seorang manusia genius sebegitu adalah satu kegilaan. Begitulah juganya dengan nama-nama besar yang lain. Kita seringkali dikagumkan dengan diri mereka yang terhad pada sesuatu perkara, tidak keseluruhannya tentang diri mereka.

Nah, fikirkan, tiada insan dalam dunia ini yang dilakar dan dirakam peribadinya dengan penuh teliti dan menyeluruh bahkan dihebahkan agar menjadi ikutan dan panduan sekalian alam seperti Kekasih Allah, Nabi Muhammad S.A.W. Hendak makan, berpakaian, tidur bahkan bercakap pun, kita digalakkan—bahkan diberikan pahala!—untuk mengikuti baginda S.A.W. Sehingga hari ini, baginda S.A.W masih relevan dan tidak lapuk untuk diikuti oleh segenap lapisan masyarakat.

Bukankah baginda S.A.W digelar sebagai rahmat Ilahi bagi semesta sekalian alam?

Rasulullah S.A.W memainkan peranan abadi sebagai uswatun hasanah, tauladan dan pembimbing yang sentiasa berwibawa semenjak dahulu hatta ke masa nanti. Baginda S.A.W mencarakan gaya kehidupan, fikiran, perangai, tingkah laku, perkataan dan sebagainya—dan baginda S.A.W meletakkan satu piawaian yang bersederhana, tidak lebih tidak kurang yang ternyata mampu dicapai dan dilaksanakan oleh manusia keseluruhannya. Baginda S.A.W banyak mengajar kita untuk menjadi tulus; baik di hadapan ramai ataupun ketika berseorangan. Ah, tidak pernah kita mendengar kisah cela baginda berbuat maksiat ketika berseorangan. Jika tidak, masakan diangkat menjadi utusan terakhir!

Kegagalan untuk memperkenalkan Rasulullah S.A.W dan mencintai baginda, serta meletakkan baginda di tempat yang sepatutnya adalah satu perkara yang berat. Anak-anak muda kini mungkin lebih mengenali Faizal Tahir, Justin Bibir atau Christiano Ronaldo. Sehinggakan kita sering tertanya-tanya dalam hati, mengapa tindakan kita kadangkala terasa seperti ada salahnya? Apakah tiada panduan yang benar dalam melakukan sesuatu? Apakah setiap perkara dalam dunia ini berlangsung dengan formulasi akal kita yang tidak disandarkan kepada satu sandaran yang kukuh dan benar?

Ayuh tuan-tuan dan puan-puan yang membaca, sejauh ini anda merangkum aksara-aksara bagi membentuk kata dan memahami makna. Apalah kiranya luangkan 3 saat sekali berselawat dan bertanya kepada ahli keluarga, “Kenal tak siapa Muhammad bin Abdullah?”

Wallahua’lam.

Syed Putra Iqmal Bin Syed Badli Shah

Exco Dakwah & Tarbiyah PKPIM 2011 / 2012

Author

Comment Section
    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    ARTIKEL & BERITA PKPIM

    Ilmu Sebagai Kompas, Budi Sebagai Penawar

    Asasnya, dalam mencari lubuk lubuk pengetahuan, sememangnya kita diberi pilihan adakah kita mencari pengetahuan untuk menjalankan amanah tanggungjawab kita, sebagai khalifah, atau mencari cari harga [...]
    Read more

    Program Dan Video

    Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

    Sembang Demokrasi Siri 4.0

    Sembang Demokrasi Siri 3.0

    Sembang Demokrasi Siri 2.0

    (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
    Lokasi Kami
    • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
    • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
    • pkpim_spp@yahoo.com
    • Isnin - Jumaat
      8.00AM - 5.00 PM
    Ikuti Kami
    PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
    Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)