Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

PENGORBANAN DAN KESUNGGUHAN: BAGAIMANA MENJADI YANG TERBAIK

PENDAHULUAN

Menjadi yang terbaik adalah impian setiap insan. Dalam kata lain, menjadi yang terbaik bermaksud mencapai kejayaan yang bermakna dalam sesuatu peristiwa hidup. Manusia dijadikan Tuhan dengan perasaan ingin dihargai, ingin disanjung, ingin disantuni dan ingin dipuji. Lazimnya, keinginan ini hanya akan dipenuhi hanya sekiranya manusia tersebut mendapat kejayaan. Dengan kejayaan yang dicapai, seseorang itu akan dipuji, disanjung, dihargai dan disantuni oleh orang lain.

Persoalannya adakah semua orang mampu untuk berjaya? Apakah kriteria kepada kejayaan? Bagaimana untuk berjaya? dan adakah kejayaan ini akan menjadikan seseorang itu sebagai yang terbaik? Bagaimana untuk menjadi yang terbaik?

Persoalan-persoalan ini akan cuba dikupas dalam penulisan ini, dengan harapan supaya dapat memotivasikan setiap orang untuk merasakan dirinya mempunyai potensi, berupaya untuk berjaya dan mampu untuk menjadi yang terbaik.

SETIAP MANUSIA DICIPTAKAN SEBAGAI YANG TERBAIK

Dalam Al-Quran, Surah Al-Tin ayat ke-4, Allah swt mengiktiraf manusia sebagai makhluk terbaik: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”. Menariknya, kosmologi Islam meletakkan manusia sebagai makhluk terbaik dalam tatanan keseluruhan kewujudan dan ciptaan di jagat raya ini. Buktinya, manusia merupakan makhluk yang diberikan tanggungjawab mentadbir muka bumi.

Cuba fikirkan, mengapa manusia yang menjadi ketua negara, bukan singa yang lebih kuat dan gagah? Malah, manusia mampu menjinakkan singa yang garang dan gagah itu. Asasnya, manusia adalah makhluk paling berjaya yang Tuhan ciptakan. Itu sebabnya manusia menjadi makhluk paling dominan di muka bumi ini. Segala urusan di bumi ini adalah di berdasarkan kepentingan manusia dan di bawah urustadbir mereka.

Lebih menarik lagi, dari sudut sains dan biologi, setiap manusia yang lahir di atas muka bumi adalah merupakan hasil persenyawaan antara telur (ovum) dari rahim wanita dengan sperma dari mani lelaki. Ribuan malah jutaan sperma terhasil daripada sperma tetapi hanya beberapa sperma sahaja yang berjaya menembusi telur (ovum) tersebut dan hanya satu sahaja sperma yang berjaya disenyawakan yang akhirnya melahirkan seorang bayi.

Jelas bahawa setiap bayi yang lahir di dunia ini adalah terhasil daripada kejayaan persenyawaan sperma yang terbaik dan telur (ovum) dalam rahim ibu. Ini bermakna kita semua yang telah lahir ke dunia adalah manusia yang berjaya dan terbaik.

FORMULA INDIVIDU TERBAIK

Dalam kita membicarakan bagaimana menjadi yang terbaik, ada baiknya kita menelusuri satu ayat Al-Quran yang cukup signifikan, Surah Ali Imran, ayat 110: “Telah Kami ciptakan umat yang terbaik yang dalam kalangan manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.”

Ayat ini menggariskan perihal umat terbaik. Umat bermaksud suatu kelompok, suatu masyarakat, suatu komuniti, atau suatu kumpulan. Umat yang terbaik bermakna komuniti terbaik, masyarakat terbaik, kumpulan terbaik. Namun begitu, umat tiada jiwa dan umat tidak hidup, maka mana mungkin umat jadi yang terbaik?

Benar, umat tiada jiwa. Benar umat tidak hidup. Yang punya jiwa dan yang hidup ialah individu-individu yang membentuk umat tersebut. Umat menjadi terbaik apabila individu-individu yang membentuk umat tersebut terdiri daripada individu-individu terbaik.

Sebagai contoh mudah, sesebuah sekolah menengah hanya akan menjadi sekolah terbaik jika para pelajarnya mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi dalam peperiksaan awam SPM. Sekolah tersebut tidak mengambil peperiksaan pun untuk menjadi yang terbaik, tetapi para pelajarnyalah yang mengambil peperiksaan dan mencapai kecemerlangan yang akhirnya menobatkan sekolah tersebut sebagai sekolah terbaik.

JALAN INI TIDAK PERGI KE MANA-MANA

Satu hari, seorang lelaki Inggeris pergi mengembara ke negara Afrika. Dalam pengembaraannya, tiba-tiba beliau berhadapan dengan masalah sesat jalan. Beliau berada di sebatang jalan yang tidak dapat dipastikan hujung pangkalnya ke mana. Oleh sebab itu, beliau berhenti seketika dan menunggu kalau-kalau ada sesiapa yang melalui kawasan tersebut untuk ditanya.

Tiba-tiba, seorang bangsa Asli Afrika datang melalui kawasan tersebut. Lalu, lelaki Inggeris ini terus bertanya: “Excuse me, may I ask something? Where this road goes to?”. Orang Asli tersebut menjawab: “This road is not going anywhere. It stays here”.

Untuk menjadi yang terbaik, segalanya bergantung kepada diri sendiri. Jalan untuk berjaya ada, tetapi ia tidak pergi ke mana-mana. Ia bergantung kepada diri kita sendiri untuk bergerak melalui jalan tersebut sekiranya hendak mencapai kejayaan.

Pendeta Za’ba, seorang permata bangsa kita, pernah menyinggung berkaitan isu ini. Menurut beliau, adalah menjadi kewajiban bagi kita untuk mencari kejayaan. Manusia mampu untuk berusaha mencapai kejayaan kerana Tuhan memberikan aqal kepada manusia dan keupayaan untuk berikhtiyar. Maka tiada alasan untuk manusia tidak berusaha mencapai kejayaan.

AL-I’TIMADU A’LA AL-NAFS

Al-I’timadu ‘ala al-Nafs bermaksud bergantung kepada diri sendiri. Dalam istilah masyarakat Melayu-Indonesia, ia juga disebut sebagai “berdiri di atas kaki sendiri” (berdikari). Konsep ini ialah suatu konsep kendiri yang cukup penting dalam membangun masyarakat yang berupaya dan kompetens.

Menurut Za’ba, bergantung kepada diri sendiri adalah sifat terpuji sebagaimana yang dicontohan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘makarim al-akhlaq’. Bergantung kepada diri sendiri bermaksud percaya dan yakin dengan usaha dan kebolehan diri sendiri dan tidak menjadi lemah dan suka meminta-minta atau selalu mengaharap kepada bantuan orang lain.

Setiap amalan manusia akan dihitung oleh Allah dan diberikan ganjaran kebaikan atau balasan keburukan atas apa yang ia lakukan. Justeru, setiap individu adalah wajib untuk berusaha sendiri dan yakin dengan kebolehannya.

RESIPI KEJAYAAN SAYA TAK TAHU: RESIPI GAGAL SAYA TAHU

“I really don’t know the recipe of success, but I am pretty sure the recipe of failure”. Betul! Jika ditanya kepada orang yang berbeza tentang faktor kejayaan, pastinya kita akan mendapat respon yang pelbagai. Malah, tidak sedikit yang ragu-ragu menjawabnya.

Tetapi, perkara sebaliknya berlaku jika kita tanyakan faktor kegagalan. Ramai orang yang berasa pasti untuk menjawab soalan berkaitan faktor kegagalan. Malas, berlengah, tidak bersungguh-sungguh, terlalu bergantung kepada orang lain, bertangguh dan pelbagai lagi sifat mazmumah meruapakan antara faktor dan resipi kegagalan.

Jelasnya di sini, sekiranya kita sudah dapat mengenalpasti resipi kegagalan, maka secara otomatik kita mengetahui resipi kejayaan. Resipi kejayaan ialah tidak menggunakan resipi kegagalan!

PENGORBANAN: MELAHIRKAN YANG TERBAIK

Nabi Ibrahim a.s diperintahkan oleh Allah untuk membawa isterinya Siti Hajar ke kawasan baharu, Bumi Mekah yang tandus dan kering kontang. Asalnya mereka tinggal di tempat yang subur dan bercuaca baik di Tanah Palestin. Perjalanan yang jauh diambil untuk perpindahan ini. Bukan sekadar bersusah payah mengharungi perjalanan jauh, malah Nabi Ibrahim a.s terpaksa meninggakan isterinya itu bersama bayi kecilnya, Ismail a.s. Semuanya dilakukan atas ketaatannya kepada perintah Allah swt.

Setelah sekian lama meninggalkan kedua-duanya, Nabi Ibrahim a.s diperintahkan untuk pergi menemui mereka semula. Pemergiannya kali ini sekali lagi menuntut pengorbanan besar di pihak Nabi Ibrahim a.s apabila beliau mendapat wahyu melalui ra’yah dalam tidurnya, diperintahkan untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s.

Bukanlah suatu yang normal untuk menyembelih seorang manusia, apatah lagi anak sendiri. Apabila Baginda menyampaikan hasrat untuk menyembelih Ismail a.s, baginda ditanya sesuatu oleh anaknya, “Wahai bapaku, adakah ini merupakan wahyu dan perintah daripada Allah. Jika ya, teruskanlah hasrat tersebut atas sebab cinta dan ketaatan kita terhadap Allah”. Juga, bukanlah suatu yang normal apabila si anak merelakan dirinya disembelih bapanya sendiri. Ini merupakan suatu peristiwa agong yang penting dalam sejarah ketamadunan manusia sepanjang zaman.

MANIFESTASI KESUNGGUHAN DAN YANG TERBAIK

Pengorbanan dan kesungguhan mereka merupakan manifestasi keimanan dan ketaatan terhadap perintah Allah. Akhirnya, setelah terbukti dan teruji akan keimanan dan ketaatan Nabi Ibrahim a.s dan Ismail a.s, Allah menggantikan sembelihan yang sepatutnya iaitu Ismail a.s.

Maka tidak hairanlah mengapa cucu cicit keturunan mereka akhirnya melahirkan insan Agong, Nabi Muhamad saw. Nabi Muhammad s.a.w mewarisi kesungguhan dan sifat pengorbanan moyang-moyangnya, Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Kemuliaan Baginda adalah kurniaan Allah dan juga kerana kesungguhannya. Lihatlah bagaimana bersungguhnya Nabi saw menyampaikan risalah Tawhid kepada masyarakat. Tidak hairanlah baginda saw disanjung setiap masa dan dihargai oleh para sarjana dan masyarakat dunia.

Oleh sebab kesungguhan dan pengorbanan Baginda saw inilah, kejayaan ditempa dan hasilnya adalah yang terbaik. Ini turut diakui oleh para sejarawan dan sarjana bukan Muslim sendiri. Michael H. Hart dalam karya monumental beliau “100: The Most Influential People in the World” meletakkan Nabi Muhammad saw sebagai orang pertama dalam senarai 100 orang itu dan manusia paling berpengaruh di dunia sepanjang zaman.

Ada dua faktor utama yang menjadi kayu ukur kepada penilaian ini. Pertama, Baginda saw lahir di kawasan yang tidak ada potensi ketamadunan. Bumi Mekah adalah kawasan yang kering kontang. Tidak seperti tamadun dunia yang lain, Mekah tidak terletak berhampiran sungai. Tamadun dunia yang lain kesemuanya terletak berhampiran sungai dan sungai memainkan peranan penting dalam pembinaan tamadun tersebut, sebagai contoh Tamadun Mesopotamia terletak di kawasan delta yang wujud daripada persimpangan Sungai Tigris dan Sungai Euphrates, manakal Tamadun Mesir Purba muncul pesisir Sungai Nil.

Kedua, Baginda merupakan satu-satunya manusia dalam sejarah tamadun manusia yang berjaya dalam kedua-dua aspek utama kehidupan bertamadun; menyebarkan “ideologi” yang bernafas panjang dan membina negara yang berkembang menjadi empayar. Tidak ada satupun “ideologi” yang berkembang pesat dan memberi sumbangan besar yang bermakna kepada keseluruhan masyarakat dunia melainkan tamadun masyarakat Muslim yang diasaskan oleh Baginda saw.

Kesungguhan Nabi Muhammad saw dalam dakwah baginda akhirnya menatijahkan yang terbaik bukan hanya kepada dirinya dan keluarga baginda, tetapi kepada manusia keseluruhannya.

LIMA MEMBANGUN

Sebelum ini kita sudahpun berbicara tentang kewajiban mencari kejayaan, kejayaan adalah bergantung kepada usaha kita sendiri, meneroka resipi kejayaan dan kegagalan, meninjau kisah pengorbanan para Nabi alayhimu al-solatu wa al-salam dan keunggulan Nabi Muhammad saw yang dingkat oleh Allah dan manusia sebagai yang terbaik.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tugas kita untuk memperhatikan dan memperincikan tindakan praktikal yang mampu kita laksanakan sebagai tanda kesungguhan dan pengorbanan kita demi mencapai kejayaan.

Kami ajukan konsep lima membangun untuk menjadi panduan kita dalam mengambil sebarang tindakan praktikal untuk berjaya dan menjadi yang terbaik. Lima membangun adalah konsep pembangunan elemen-elemen asas yang akan mencirikan keunggulan seseorang itu.

Konsep Lima Membangun terdiri daripada: 1) membangun potensi; 2) membangun cinta; 3) membangun akal; 4) membangun rohani; dan 5) membangun aktivisme. Ia adalah sebuah konsep yang integral dan berkesinambungan antara satu dengan lain. Konsep Lima Membangun perlu segera dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dalam kehidupan seharian. Kesungguhan membangun konsep ini secara praktik pastinya tidak menghampakan.

1) Membangun Potensi

Setiap manusia dikurniakan dengan potensi yang pelbagai. Potensi setiap orang adalah besar dan cukup luar biasa. Potensi ini perlu diteroka dan digilap. Dengan kesedaran akan keperluan membangun potensi membawa kita untuk cuba meneroka potensi diri yang masih terpendam. Kesedaran ini penting kerana meneroka potensi sendiri adalah tanggungjawab masing-masing. Segalanya bergantung kepada diri sendiri.

2) Membangun Cinta

Cinta adalah fitrah manusia. Cinta di sini membawa maksud kasih-sayang, ukhuwah, persahabatan, dan persaudaraan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda, “Orang yang berkasih sayang akan disayangi oleh Yang Maha Pengasih. Kasihilah kamu para penduduk Bumi, maka kamu akan dikasihi para penduduk langit (malaikat)”. Dengan kasih sayang, dunia akan menjadi tempat yang lebih baik untuk manusia menjalankan kehidupan kerana tiada peperangan dan kesengsaraan. Dengan kasih sayang, seseorang akan berasa aman dan bahagia. Dengan cinta dan kasih sayang, seseorang akan rasa dihargai dan dimuliakan. Dengan cinta, kita akan peduli kepada orang lain yang memerlukan. Justeru, membangun cinta adalah tanda keimanan kita dan tanda kepedulian kita terhadap yang lain.

3) Membangun Akal

Akal adalah kurniaan Allah yang paling bernilai yang menandai keunggulan manusia. Akal yang Allah kurniakan ini menjadi sebab mengapa manusia dilantik menjadi khalifah di Bumi. Dalam perbahasan falsafah Islam, akal juga dikenali sebagai jiwa rasional (al-nafs al-natiqah). Ia merupakan petanda ciri-ciri unggul bagi manusia. Akal merupakan fakulti dalaman yang menanggap dan memahami realiti-realiti seterusnya memformulasi makna berkaitan membuat keputusan, pengelasan dan penjelasan. Akal manusia luar biasa hebatnya. Begitu juga dengan akal yang kita miliki. Justeru, bangunkan akal kita dengan banyakkan membaca, berbudaya ilmu, berdiskusi dan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

4) Membangun Rohani

Aspek spiritualisme adalah penting dalam memastikan setiap individu dapat menjadi lebih, tabah dan mampu mengharungi cabaran dan halangan di dunia. Malah, lebih dari itu, ia adalah manifestasi ketaatan dan pengharapan kepada Tuhan. Dalam konteks mencapai kejayaan ini, Said Nursi Badiuzzaman memformulasi dua sisi doa: 1) doa fi’li dan 2) doa qawli dan qalbi. Doa fi’li adalah doa yang bersifat perbuatan. Doa pada sisi ini adalah selari dengan sunnatulLah. Allah telahpun menetapkan sebab-akibat bagi sesuatu kejadian. Maka, sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan, maka dengan izin Allah ia akan tercapai. Maka, seseorang itu telahpun menyelesaikan sisi doa ini dengan perbuatan usahanya. Manakala, sisi doa kedua pula ialah doa qawli dan qalbi. Sisi doa ini lebih utama dan menjadikan manusia sedar akan segala kekurangan dirinya. Dengan sisi doa yang pertama tadi, manusia akan merasakan segala kejayaan dan apa yang diperolehnya adalah hasil usahanya dan dia yang melakukan perbuatan tersebut. Tetapi sekiranya disertai dengan sisi doa yang kedua ini, manusia akan sedar bahawa segala kejayaan, malah perbuatannya sebenarnya adalah dengan izin dan keupayaan yang Allah berikan kepadanya. La hawla wala quwwata illa billahi al-‘aliyil ‘azim, tiada daya upayaku dan kekuatanku melainkan dengan izin dan pemberian Allah swt. Rhani dibangunkan dengan ibadah, dan latihan hati. Ibadah dan latihan ini diketahui melalui ilmu yang benar.

5) Membangun Aktivisme

Aktivisme bermaksud manifestasi ilmu pengetahuan, pemikiran, harapan, cita-cita dan fikrah seseorang. Manifestasi ini terpamer dalam kegiatan, aktiviti, program dan kehidupan harian seseorang. Sebagai contoh, seseorang tahu tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar dan ia merupakan suatu amalan yang baik lagi mulia. Aktivismenya muncul apabila seseorang itu berjalan dan ternampak sampah di atas jalan lalu mengutipnya dan membuang sampah itu ke dalam tong sampah. Aktivisme perlu dilatih. Oleh sebab itu, program-program dirangka bagi member pendedahan dan ruang untuk memanifestasikan pemikiran dan fikrah ahli gerakan yang akhirnya akan membawa kepada pengamalan praktikal dalam kehidupan seharian.

KESIMPULAN

Kesungguhan untuk mencapai kejayaan dan menjadi yang terbaik adalah suatu mujahadah. Setiap usaha kita yang disertai dengan niat yang murni dan ikhlas akan menjadi pahala dan saham di akhirat nanti. Yang paling penting, jangan cepat berputus asa. Kenali potensi diri, bangunkan cinta dan kepedulian, bangunkan potensi akal, perkukuh aspek kerohanian dan praktikkan secara aktivisme, InshaAllah pastinya aka nada perubahan bermakna dalam diri kita masing-masing. Allah tidak akan mensia-siakan segala usaha dan kerja-buat kita, InshaAllah.

Wallahu a’lam bi al-sowab

MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH
Timbalan Presiden
PKPIM Sesi 2013/2014

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)