Atas kesedaran untuk bersama-sama menanggapi gejala sosial yang kian membarah dikalangan remaja, Majlis Hal Ehwal Siswi PKPIM juga tidak ketinggalan menjalankan program-program pencerahan kepada masyarakat dan golongan muda khususnya. Mengangkat tema pembangunan sahsiah dan maruah diri, program Remaja Sahsiah Berkualiti (ResQ) telah dilaksanakan secara intensif dimana golongan sasaran adalah terdiri daripada pelajar sekolah.
Pada 2 November 2012, Team ResQ dengan kerjasama PKPIM KLMU telah berpeluang menganjurkan program ResQ di SMK Seri Kundang,Rawang. Seramai 50 orang pelajar lelaki dan perempuan telah turut serta dalam program ini. Dengan menggunakan pendekatan “reverse psychology” , beberapa aktiviti dan tayangan video pendek telah dijalankan dan para pelajar berpeluang untuk membuat penilaian dan meluahkan pendapat masing-masing mengenai isu-isu sosial yang berlaku disekeliling mereka. Para peserta juga turut dibantu oleh jurulatih dan fasilitator dalam setiap perbincangan yang dijalankan secara berkumpulan. Alhamdulillah, para pelajar telah berjaya memberikan respons yang sangat baik dan menunjukkan kecenderungan dan minat mereka yang mendalam terhadap isu-isu sosial yang kian meruncing.
Ucapan penutup telah disampaikan oleh wakil pihak sekolah, Puan Muslimah Husain selaku Guru Kaunseling sekolah ini dan penyampaian cenderamata telah disampaikan dari pihak PKPIM kepada pihak sekolah. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama para pelajar dan pihak penganjur. InsyaAllah, Majlis Hal Ehwal Siswi (HEWI) sesi kali ini masih mengekalkan identitinya sebagai salah satu entiti utama PKPIM sekaligus bertanggungjawab mengerakkan misi PKPIM yang beriltizam melahirkan generasi muda ke arah memartabatkan idealisma dan cita-cita besar Islam.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Porgram Sahsiah Berkualiti (ResQ), sila hubungi saudari Siti Nur Sakinah di talian 013-212 4590 atau terus hubungi pihak Sekretariat PKPIM Pusat pada waktu pejabat di talian 03-6184 2286.