Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Catatan Wacana Pemikiran: Dekolonisasi Minda

Kuala Lumpur – Pada 5 November 2026, bertempat di UIAM Gombak, telah berlangsungnya satu wacana intelektual bagi membedah isi buku Barat Daripada Cerminan Watan: Gelintiran Fikir Al-Attas dan ZA’BA yang diulas oleh penulisnya sendiri, Muhamad Hanapi Jamaludin. Penulisan tersebut merupakan idea tesis sarjananya sebelum diterbitkan dalam bentuk buku.

Mengapa ianya penting?

Setelah hampir tujuh dekad terbebas dari belenggu penjajahan, hal yang sama dilihat tidak berlaku dalam perkembangan pemikiran masyarakat, setidaknya dari sudut pandang saya sendiri. Acuan Barat masih, atau kembali, menjadi kiblat bagi kebanyakan orang tanpa melihat kepada keperluan dan kesesuaian setempat.

Dahulu kala (sebelum kemerdekaan), masyarakat umum menerima apa sahaja standard yang ditetapkan oleh Barat sebagai sebuah hal yang perlu dikecapi untuk menuju kejayaan. Jika ingin belajar, maka belajarlah di sekolah inggeris mahupun ke luar negara. Jika ingin berpakaian, berbajulah seperti mereka yang berkot tebal dan berkasut kulit di tanah yang panas dan berlumpur ini.

Namun apabila saya fikirkan kembali, tidaklah aneh dengan kemunculan golongan pengagung Barat ini kerana setelah jatuhnya empayar Uthmaniyah secara rasmi pada 1924, masyarakat Islam secara khususnya seolah-olah kehilangan arah dan tempat berpaut. Dilihatnya Barat yang entah datang dari mana secara tiba-tiba dengan segala kemajuan dan kecanggihan teknologinya, maka timbullah pemikiran bahawa mungkin agamalah yang menjadi penghalang kemajuan selama ini.

Munculnya Mutiara Tanah Melayu

Saya mula mengenali nama Edward Said daripada perbincangan isu Palestin di dunia maya secara umumnya. Siapa sangka ternyata nama itulah yang merobek-robek agenda pemikiran Barat melalui karyanya yang berjudul Orientalisme sekaligus menjadi antara pelopor maraknya wacana pascakolonialisme dunia.

Adat di bumi yang tertindas, pasti akan ada yang bangkit menentang. Jauh sebelum kemunculan Edward Said lagi, Tanah Melayu ada tokoh hebat sedemikian, seorang jaguh bahasa dan pejuang budaya, tidak lain tidak bukan adalah ZA’BA. Kemunculannya diibaratkan seperti “Rara Avis” – burung yang sangat langka dan sukar diumpan – berikutan dua artikel penting tentang isu kemiskinan orang Melayu – The Poverty Of the Malays dan The Salvation Of the Malays – yang diterbitkan bagi membalas rencana A Civic Sense, terbitan The Malay Mail.

Saya fikir dua artikel tersebut merupakan antara penyumbang kepada perubahan pemikiran orang Melayu terhadap sejarahnya sendiri. Kita tidak miskin kerana kita Melayu, tetapi kerana salah cara pandang terhadap masalah dan timbul pula penyelesaian yang tidak menyentuh akar isunya. Maka dengan cara pandang yang benar, ke mana pun kepala kita dihala, kita tidak akan menjadi pengagum budaya luar sehingga mengangkat mereka ke tahap yang lebih tinggi, sedangkan kita juga sama manusia yang mampu mencapai kejayaan sedemikian.

Saya dapat simpulkan idea penulisan Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri di mana ZA’BA telah meletakkan asas bahawa kebangkitan sesuatu bangsa itu tidak akan tercapai selagi mana masih memelihara sifat malas dan mentaliti tertindas. Beliau menolak sikap terlalu menggantungkan pengharapan kepada orang lain sehingga mengecilkan ruang untuk bermuhasabah dan memajukan diri sendiri.

Pengalaman peribadi selaku orang yang berkecimpung dalam bidang Ekonomi dan Kewangan, saya dapati banyak penulisan-penulisan Barat kini mula mengangkat isu “Sustainable Economy” dengan lebih serius. Jika kita meneliti perkembangan dunia, sebahagian masyarakat global telah mula sedar bahawa kapitalisme yang dibanggakan dan menjadi rujukan utama itu sebenarnya sedang membawa mereka menuju kehancuran (aktiviti spekulasi untuk mengaut keuntungan, budaya konsumerisme, ketidakadilan sosial dan sebagainya) sehingga terbitlah pelbagai usaha memperbaikinya yang ternyata telah lama dibincangkan oleh pemikir-pemikir Islam.

Jelaslah bahawa buah pemikiran bangsa dan umat kita tidaklah lebih terkebelakang seperti anggapan sesetengah pihak. Sebaliknya, kita sebagai generasi terkemudianlah yang perlu menggerakkan usaha bagi menggali dan mendapatkan semula kebijaksanaan nenek moyang kita. Usaha besar ini menuntut kita untuk kembali mempercayai keupayaan diri serta memartabatkan warisan keilmuan sendiri demi membina peradaban yang berdaulat dan bermaruah.

Barat dalam Pendidikan

Salah satu hal yang disentuh penulis dalam diskusi tersebut ialah kerosakan akibat kepincangan cara fikir ternyata turut menyapa ranah pendidikan, yang sepatutnya menjadi asas pembentukan manusia merdeka. Apabila pendidikan disekularisasikan dan dipisahkan dari nilai ketuhanan, maka hawa nafsu dan kejahilanlah yang akan memandu segala tindak tanduk manusia. Pernah juga saya berseloroh dengan rakan-rakan, jika rangka pendidikan itu melahirkan insan yang celik, masakan bom pemusnah dijatuhkan ke atas ratusan ribu  jiwa tidak bersalah, yang masih lagi berlaku sehingga ke hari ini. Maka, pendidikan tidak lain hanyalah alat yang bentuknya akan mengikuti siapa yang memegang kendali, sehingga pemindahan ilmu dan perkembangan manusia secara lahiriah tidaklah cukup untuk membentuk manusia yang benar-benar merdeka jiwanya.

Menyedari kepincangan kritikal ini, cedekiawan Muslim ulung Nusantara, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas telah memperkenalkan konsep ta’dib sebagai kerangka pendidikan yang lebih menyeluruh dan berpaksikan acuan Islam. Sebagai seorang yang masih meraba-raba dalam memahami gagasan besar ini, pemahaman saya yang serba ringkas menterjemahkan ta’dib sebagai proses pembentukan adab, kemurnian rohani dan intelek yang membolehkan seseorang memahami dan meletakkan segala sesuatu pada tempatnya. Konsep ini terhubung dengan sifat kebersamaan dan saling bantu-membantu dalam Islam, sangat bertentangan dengan asas Barat yang lebih menekankan perkara terukur seperti angka dan kecekapan semata-mata.

Misalnya terdapat seorang rakan yang tidak dapat bekerja dengan baik dalam kumpulan, kerangka pemikiran Barat akan terus menyingkirkannya kerana dilihat menjadi beban kepada produktiviti keseluruhan ahli. Ta’dib sebaliknya melihatnya sebagai amanah moral yang memerlukan proses bimbingan kerana manusia bukanlah susunan atom yang tidak berjiwa, melainkan ciptaan terbaik Tuhan yang mengandungi potensi rohani dan akal yang perlu dibentuk ke arah yang sewajarnya.

Kerangka Barat kurang menyedari bahawa kejayaan manusia itu bukanlah pada individu tetapi masyarakatnya, kerana pada akhirnya apa yang berlaku di sekeliling kita akan memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap kehidupan peribadi. Maka konsep ta’dib inilah yang akan melahirkan jiwa-jiwa yang melihat kemenjadian secara bersama sebagai tujuan hakiki dalam bermasyarakat.

Kesimpulan

Namun di sela-sela perbincangan tersebut, Encik Hanapi  yang juga penulis buku tersebut tidaklah cuba untuk menjauhkan Barat dari kehidupan kita. Katanya yang mengutip kata-kata Tan Malaka, kita perlu menjadi murid dari Timur yang cerdas. Akuilah kehebatan Barat dalam segala pencapaiannya dan menuntutlah segala hikmah daripadanya, tetapi jangan sampai setiap kata-kata mereka dianggap sebagai wahyu yang terbantahkan.

Dapatlah disimpulkan sekadar pemahaman saya sepanjang menelusuri wacana ini, gagasan pemikiran ZA’BA sebenarnya berjalan seiring dengan kerangka ta’dib yang digagaskan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam merawat penyakit minda terjajah kerana kedua-duanya berpaksikan kepada satu titik temu yang kritikal. Jika ZA’BA menuntut pembudayaan sikap berdiri atas kaki sendiri agar kita tidak menjadi bangsa yang meminta-minta, ta’dib pula membenarkan cara fikir dengan meletakkan adab dan maruah diri di tempat yang sepatutnya.

Kerana itu, sebarang usaha memerdekakan bangsa dan ummah harus bermula dengan merdekanya cara fikir daripada cengkaman penjajah. Tanpanya, sesebuah bangsa akan terus berada di takuk yang sama dan memainkan ilusi kemajuan, yang realitinya tidak lebih daripada sekadar mengikut telunjuk mereka yang dianggap lebih berkuasa.

Author

Comment Section
  1. Mantap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

ARTIKEL & BERITA PKPIM

Ilmu Sebagai Kompas, Budi Sebagai Penawar

Asasnya, dalam mencari lubuk lubuk pengetahuan, sememangnya kita diberi pilihan adakah kita mencari pengetahuan untuk menjalankan amanah tanggungjawab kita, sebagai khalifah, atau mencari cari harga [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)