Asasnya, dalam mencari lubuk lubuk pengetahuan, sememangnya kita diberi pilihan adakah kita mencari pengetahuan untuk menjalankan amanah tanggungjawab kita, sebagai khalifah, atau mencari cari harga kepuasan pengikut yang ramai? Di sinilah konsep epistemologi yang digagaskan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas perihal ilmu, adab dan integriti. Syed Naquib al-Attas berpandangan bahawa, pengetahuan itu hanya sebatas pengetahuan, jika gagasan membaca dan menulis itu hanyalah untuk mencari-cari reda manusia, namun pengetahuan itu mampu mengubah menjadi “ilmu” dalam diri seseorang, jika seseorang itu memandang gagasan membaca dan menulis itu, medan mereka untuk bercucuk tanam sebagai peringatan kepada amanahnya sebagai seorang insan yang bertanggungjawab terhadap nasihat nasihat Al-Quran.

Sumber: wadah.org.my
Kita bukanlah berhadapan dengan musuh luar, tetapi kita sedang berhadapan dengan cengkaman yang menikam-nikam otak kita. Ia boleh jadi cengkaman “tatal lara” (doomscrolling), rentang perhatian (attention span), “mengulas ilmu” separuh masak, membaca maklumat tanpa disiplin ilmu, membuat pertimbangan mengikut lunas emosi dan kesannya ia melakarkan harapan jahiliah terhadap pembangunan diri.
Oleh itu, tidak dinafikan peranan mahasiswa untuk berceloteh hal hal idealisme, seperti mana kata kebanyakan para sarjana bahawa, mahasiswa sinonimnya “berdarah panas”. Sikap berdarah panas terhadap mengulas hal-hal politik, hal-hal isu semasa, hal-hal ekonomi, hal-hal publik polisi. Frantz Fanon, dalam pembedahannya terhadap jiwa yang tertindas, pernah menegaskan bahawa reaksi yang kelihatan meletup atau “neurotik” terhadap sebuah sistem yang zalim sebenarnya adalah tindak balas yang sangat rasional, kerana sistem itu sendirilah yang tidak rasional. Justeru, kemarahan seorang mahasiswa terhadap kezaliman polisi, ketidakadilan ekonomi, atau penindasan struktural bukanlah satu “penyakit” yang perlu dirawat dengan mendiamkan suaranya, sebaliknya ia adalah nadi kewarasan yang masih berdegup di tengah dunia yang “chaos’. Namun, kewarasan ini perlu dipandu, bukan dibiarkan meliar tanpa hala tuju. Di sinilah ilmu masuk sebagai kompas.

Sumber: wikimedia
Apakah maksud ilmu dalam konteks ini? Maksudnya, para bicara umat haruslah mengetahui kerangka disiplin ilmu, yakni memahami konteks atau bertabayyun sebagaimana nasihat dalam Al-Hujurat untuk menyelidik setiap berita, isu, maklumat yang datang kepadanya. Kerana itu, ia adalah prinsip seorang Muslim, apatah lagi berusaha untuk menjadi seorang yang beriman. Selaras dengan gagasan kerangka disiplin ini, datangnya subjek maqasid syariah sebagai panduan kepada bicara umat untuk menilai semula adakah “concern” yang disampaikan itu, berlandaskan objektif, data dan kebenaran, atau ianya hanyalah retorik emosi semata-mata? Di sinilah maqasid syariah sebagai benteng utama untuk mencapai puncak tertinggi objektif dalam syariah itu tentang “keadilan”.
Bertitik tolak daripada perihal itu, perlu diingat maqasid syariah pasangannya adalah fiqh mizan. Maksudnya, kefahaman yang mendalam terhadap agama, keduniaan, alam semesta, dan dasar dasar negara. Tidak boleh kita sebagai “bicara umat” mengulas isu berlandaskan pakaian emosi. Ia harus ditegak dengan pakaian mizan dan syariah. Barangkali, yang perlu kita murajaah sekali adalah tentang prinsip kebenaran. Ianya perlu paling tulus. Tidak boleh bersimpang siur berpihak pada mana mana authoriti, ia harus bersih daripada cengkaman emosi. Oleh hal yang demikian, Malek Bennabi, menamakan al-qabiliyyah lil-isti’mar (kebolehjajahan), penjajahan itu bermula pada mengkianati akalnya sendiri.

Malek Bennabi, berpandangan, krisis tamadun itu, bukannya berpunca daripada kekurangan teknologi, atau gahnya pembangunan, atau kekuatan ketenteraan semata-mata, namun ia berpunca daripada kegagalan akal itu sendiri untuk memegang idea yang benar. Sebagai contoh, jika pemikiran mahasiswa atau seorang muslim mula ragu-ragu terhadap keupayaannya sendiri untuk berfikir, mencipta, atau menyusun akar-akar tamadun, di situlah bermulanya “penjajahan dalaman”. Penjajahan fizikal pula, kata Bennabi, ia hanya mengesahkan apa yang sudah wujud secara psikologi: satu akal yang telah mengkhianati dirinya sendiri dengan meninggalkan disiplin berfikir yang tulus, lalu tunduk sama ada kepada taklid buta terhadap warisan, atau kepada peniruan membabi-buta terhadap Barat.
Makanya, dua bentuk pelarian ini, yang sama-sama mengelak daripada tanggungjawab berfikir secara mandiri. Oleh itu, kita harus keluar daripada kepompong yang membunuh otak kita untuk berfikir dan membaca alam. Berhala muncul apabila pemikiran kritis hilang. Kejahilan itu sendiri adalah satu bentuk syirik moden kerana ia tidak melahirkan pemikiran, sebaliknya hanya menetapkan dogma yang membeku.
Apa yang digagaskan oleh Bennabi ini sebenarnya bergema dengan apa yang telah dibedah secara klinikal oleh Frantz Fanon beberapa dekad sebelumnya. Fanon memperkenalkan konsep sociogeny untuk menjelaskan bahawa kompleks rendah diri sesebuah bangsa yang dijajah bukanlah lahir daripada kelemahan semula jadi jiwa mereka, tetapi ia adalah satu “proses berganda”, bermula daripada realiti ekonomi yang menindas, sebelum ia meresap masuk dan diinternalisasikan sebagai sebahagian daripada psikologi individu. Lebih jauh, Fanon menggelar proses ini sebagai epidermalization, apabila rasa rendah diri itu bukan sekadar fikiran sekali-sekala, tetapi telah menyerap ke bawah kulit, menjadi sebahagian daripada cara seseorang memandang tubuh dan identitinya sendiri. Nilai diri tidak lagi diukur melalui bakat atau sahsiah, sebaliknya melalui sejauh mana ia menghampiri standard yang ditetapkan oleh penjajah. Inilah sebenarnya wajah sebenar “kebolehjajahan” yang dimaksudkan Bennabi, bukan satu kecacatan biologi atau psikologi semula jadi bangsa terjajah, tetapi hasil sistemik daripada penindasan yang berterusan.
Fanon turut menegaskan bahawa logik ini sering disalahertikan oleh sarjana kolonial seperti Octave Mannoni, yang mendakwa bangsa terjajah “mahu” dijajah kerana kompleks ketergantungan semula jadi mereka. Fanon menolak dakwaan ini sebagai tindakan “meletakkan kereta di hadapan kuda”, kerana bukan naluri untuk tunduklah yang mencetuskan penjajahan, sebaliknya penjajahan itu sendirilah yang mencipta naluri untuk tunduk sebagai mekanisme survival. Hujah ini selari sepenuhnya dengan pendirian Bennabi bahawa penjajahan fizikal hanya “mengesahkan” apa yang sudah sedia wujud secara psikologi, bukan sebab, tetapi kesan daripada akal yang telah diajhiliahkan terlebih dahulu.
Dalam kuliah “Pesanan Buat Pendidik”, oleh Siddiq Fadzil, beliau melontarkan kritikan pedas terhadap sistem pendidikan yang “lebih banyak mengetes daripada mendidik”. Beliau melihat pergeseran yang membimbangkan daripada esensi “Berguru” kepada sekadar “Bersekolah”, daripada satu proses pemindahan keteladanan (uswah hasanah) yang hidup, kepada satu proses menghafal dan lulus peperiksaan semata-mata. Justeru, ironinya, seorang penuntut ilmu boleh sahaja “berjaya” dalam sistem persekolahan, namun pada masa yang sama tetap terjajah akalnya, kerana ilmu yang diperolehnya tidak pernah benar-benar menjadi sebahagian daripada wataknya.

Sumber: Free Malaysia Today
Dalam ceramah yang sama, Siddiq Fadzil menegaskan bahawa penawar sebenar kepada krisis ini terletak pada konsep “Budi”, kata kunci peradaban Melayu yang merangkumi kemuliaan, kearifan dan akhlak. Pendidikan yang sejati mestilah melahirkan insan yang “Budiman”: otaknya geliga, namun wataknya mulia. Inilah sebenarnya penawar kepada “kebolehjajahan” yang digagaskan Malek Bennabi, kerana akal yang berbudi tidak mudah tunduk kepada taklid buta mahupun peniruan membabi-buta, ia berdiri tegak atas kefahamannya sendiri, namun tetap rendah hati dalam mencari kebenaran. Kerendahan hati sebegini jugalah yang digambarkan oleh Siddiq Fadzil dalam kuliahnya “Pendekatan Ulama Melayu Menangani Konflik Adat dan Syariat”, tatkala beliau memaparkan kebijaksanaan ulama Melayu silam yang mendamaikan adat dengan syariat tanpa membenturkan kedua-duanya, satu bukti bahawa akal yang berbudi mampu berhujah tanpa keras kepala, dan berpegang tanpa jumud. Ilmu yang sebenar mesti disulami dengan integriti, sebuah kompas moral yang dicontohkan oleh generasi as-sābiqūn al-awwalūn, generasi yang menjadikan keikhlasan tanpa mengharap balasan atau ganjaran (lā nurīdu minkum jazā’an wa lā shukūrā) sebagai teras perjuangan mereka. Tanpa prinsip ini, ia boleh jatuh ke dalam lembah “loss of adab”, sebagaimana gagasan Syed Naquib al-Attas, yakni bicara ilmu tanpa mengetahui kedudukan ilmu.
Sejarah dan Tamadun UIAM. Mahallah Uthman, 4/9/2026 12:27pm.
Hidup Biar Berjasa!
Penulis:

Faiz Eidham
EXCO Intelektual dan Hal Ehwal Semasa,
PKPIM IIUM