Kami mengambil perhatian serius terhadap polemik semasa berhubung penggunaan istilah syurga dan neraka dalam pengucapan politik, khususnya apabila perjuangan atau sokongan terhadap sesuatu parti politik dikaitkan dengan ganjaran syurga.
Kami ingin menegaskan bahawa syurga dan neraka bukan perkara yang boleh dijadikan bahan retorik politik, bahan kempen, apatah lagi alat untuk mengukur kesetiaan seseorang kepada mana-mana parti. Ia merupakan perkara akidah dan termasuk dalam perkara ghaib yang wajib kita imani, serta berada di bawah ketetapan dan penghakiman Allah SWT.
Perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Dalam Islam, kita dituntut untuk menjaga adab terhadap agama, termasuk ketika menyampaikan sesuatu yang berkaitan dengan pahala, dosa, syurga, neraka, iman dan keselamatan akhirat. Justeru, setiap pengucapan berkaitan perkara tersebut hendaklah dilakukan dengan ilmu, amanah, ketelitian dan rasa takut kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَـٰنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
“Katakanlah: ‘Tunjukkanlah bukti kamu jika kamu orang yang benar.’”
(Surah al-Baqarah, 2:111)
Ayat ini memberikan peringatan yang jelas terhadap sikap mendakwa sesuatu kelompok sebagai pihak yang memiliki hak eksklusif terhadap syurga. Bahkan, syurga bukanlah milik mana-mana bangsa, organisasi, gerakan atau parti politik.
Kita boleh memperjuangkan Islam melalui wadah politik. Kita boleh meyakini bahawa perjuangan menegakkan kebenaran mendapat pahala. Namun, kita tidak boleh menyamakan sebuah parti politik dengan agama, dan kita tidak boleh memberikan gambaran bahawa keahlian atau sokongan kepada sesuatu parti merupakan tiket automatik menuju syurga.
Parti politik ialah wasilah manusia yang mempunyai ruang untuk berijtihad, mempunyai kekuatan dan kelemahan serta boleh melakukan kesilapan. Agama Islam pula ialah wahyu Allah SWT yang sempurna. Perbezaan antara kedua-duanya perlu dijaga dengan jelas.
Kami juga ingin menegaskan bahawa kenyataan ini bukan bertujuan menghukum mana-mana individu atau parti sebagai sesat, kafir, ahli neraka atau seumpamanya. Kita menyerahkan penghakiman akhir kepada Allah SWT. Teguran terhadap sesuatu pengucapan tidak seharusnya berubah menjadi penghinaan terhadap mana-mana pihak.
Sebaliknya, kita menyeru semua pihak, khususnya pimpinan dan tokoh yang membawa imej Islam, agar lebih berhati-hati dalam menggunakan nama Allah SWT dan perkara-perkara berkaitan akhirat dalam gelanggang politik. Kita tidak mahu agama menjadi mangsa persaingan politik. Kita juga tidak mahu masyarakat memahami bahawa untuk menjadi Muslim yang baik, seseorang mesti terlebih dahulu menjadi ahli atau penyokong parti tertentu. Islam lebih besar daripada mana-mana parti. Kebenaran lebih tinggi daripada mana-mana bendera dan syurga bukan milik mana-mana organisasi.
Sesungguhnya, kita semua berhajat kepada rahmat dan keampunan Allah SWT. Maka janganlah kita berbicara tentang syurga dengan seolah-olah kita telah memiliki kuncinya, dan janganlah kita berbicara tentang neraka dengan seolah-olah kita telah memiliki senarai penghuninya. Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa tidak ada seseorang yang masuk syurga semata-mata kerana amalnya, melainkan dengan rahmat Allah SWT. Oleh itu, berpolitiklah dengan adab, berdakwah dengan hikmah dan berbicaralah tentang agama dengan ilmu. Jangan jadikan perkara akidah sebagai bahan untuk memenangkan perdebatan politik.
Kami menyeru seluruh masyarakat agar tidak memperbesarkan polemik ini dengan kebencian, cercaan dan penghukuman. Sebaliknya, jadikanlah ia sebagai ruang untuk kita memperbaiki adab dalam berpolitik serta mengembalikan agama kepada kedudukannya yang mulia. Agama bukan alat untuk memenangkan politik. Politik seharusnya menjadi medan untuk mengangkat agama, keadilan dan kemaslahatan manusia.
Salam Gerak Dakwah & Tarbiyyah
Hidup Biar Berjasa!
Muhammad Khalil Bin Saat
Timbalan Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)