Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Lahabisme-Zionisme: Kejahilan terhadap Kebenaran Realiti di Palestin

Hazman Abd Kadir
Exco Penyelidikan dan Penerbitan PKPIM

Pengenalan

Ia merupakan satu keanehan bahawa mereka yang menerima kedengkian dan serangan lisan hanya semata-mata mempunyai pendirian yang tidak sealiran dengan Israel? Kini, ia seperti kamu dalam persimpangan, sama ada kamu menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri mereka daripada “Syaitan Pengganas” Hamas atau menyokong perjuangan rakyat Palestin melawan kekejaman yang dilaksanakan Kerajaan Israel. Walaupun bukti-bukti kekejaman yang dilakukan mereka sudah pun tersebar di seluruh dunia, dan dunia sudah pun sedar dan melihat sendiri genosid yang berlaku di Gaza. Ia diakui sendiri oleh mereka. Tetapi, mereka yang menyokong dan bersama dengan rakyat Palestin, adalah mereka yang menerima cacian dan serangan daripada mereka dari spektrum yang berbeza.

Seseorang mungkin akan berfikir bahawa bersuara terhadap ketidakadilan yang dihadapi rakyat Palestin, menyertai protes dan menghantar foto-foto genosid secara atas talian boleh membawa unsur kebencian dan dikelompokkan bersama dengan mereka yang “berhaluan kiri”. Tetapi mereka yang dikatakan sebagai “berhaluan kanan”, konservatif, atau tradisionalis, juga tidak terkecuali daripada dikelompokkan dan menerima sentimen tersebut. Begitu juga dengan kebanyakan yang terlibat dalam aktivisme dan gerakan – dalam apa jua bentuk dan ideologi – dalam mendepani kemengarutan-kemengarutan sentimen dan serangan oleh puak-puak Zion.

Sentimen ini jelas melangkaui tentangan antara kiri dan kanan, malah ia berakar dari sifat kepuakan manusia itu sendiri, yang menyebabkan mereka tidak mampu menerima dengan kebenaran yang jelas. Ia merupakan satu perlawanan terhadap kebenaran itu sendiri, yang saya kira sebagai satu bentuk Lahabisme yang diutarakan oleh Syeikh Abdal Hakim Murad dalam karyanya, Travelling Home, Lahabisme-Zionisme.

Apakah itu Lahabisme-Zionisme?

Lahabisme merupakan satu istilah yang disebut oleh Syeikh Abdal Hakim Murad sebagai satu kepercayaan yang bukan sahaja berdasarkan ketakutan, tetapi lebih kepada sifat mementingkan diri, angkuh, kibr (كبر), dan dosa tujuh yang paling besar, superbia [1] . Ia merupakan satu bentuk kebencian yang tidak waras, dan satu bentuk keterasingan terhadap mereka yang “Berbeza”. Kepercayaan itu berakar daripada keterikatan perkauman dan kepuakan, yang boleh menyemarakkan lagi sifat keangkuhan dan keakuan. Perkataan tersebut berasal daripada nama bapa saudara Rasulullah ﷺ , Abu Lahab, yang dikenali sebagai penentang terawal terhadap penyebaran risalah wahyu oleh anak saudaranya sendiri.

Dengan membaca sirah Rasulullah ﷺ, kita dapat mempelajari bahawa Abu Lahab sering mengganggu dakwah Rasulullah ﷺ dan menyebarkan kebohongan terhadap dakwah baginda, dengan memanggil baginda sebagai ahli sihir, yang telah mengkhianati kepercayaan nenek moyang mereka yang menyembah patung dewa. Tatkala Rasulullah ﷺ menyampaikan dakwah dan mengingati mereka akan azab api neraka, maka Abu Lahab membalas, “Walaupun apa yang disebut anak saudaraku itu benar, aku tetap akan diselamatkan daripada seksaan Hari Kebangkitan dengan harta dan keturunanku!”. Ia merupakan satu sikap kebencian yang menyebabkan seseorang itu sanggup menyebarkan pembohongan, dan secara sukarela menjadi angkuh terhadap kebenaran yang bercanggah dengan kepercayaan mereka.

Syeikh Abdal Hakim Murad menyebut Lahabisme untuk menjelaskan Islamophobia atau kecenderungan untuk tidak mengakui, jahil, dan berat sebelah dalam kalangan penulis-penulis barat ketika menulis dan mengulas mengenai Islam. Mereka hanya melihat Islam sebagai, “Yang Berbeza”, dan sebagai ancaman kepada identiti dan khazanah budaya barat itu sendiri, yang bukan sahaja bergema dari mereka yang “Sayap Pelampau Kanan”, tetapi juga mereka yang berhaluan “Kiri”, yang melihat Islam sebagai tidak sesuai dengan semangat liberal, egalitarian, dan freedom [2].

Tetapi, perlu diingat bahawa sikap itu sendiri lebih menyeluruh, dan boleh dilihat dalam konteks sosial dan politik. Ia juga dapat dikesan dalam wacana-wacana berkenaan dengan isu Gaza di media sosial. Saya berpendapat, mereka yang secara rela menafikan pembunuhan dan pembantaian terhadap warga Palestin, dan mereka yang menyebarkan fitnah dan pembohongan untuk membela kekejaman Israel, telah membawa kepada satu bentuk Lahabisme, atau secara tepatnya Lahabisme-Zionisme.

Lahabisme-Zionisme, merupakan satu bentuk kepercayaan Lahabisme yang berpendirian untuk menentang hak asasi warga Palestin sebagai waris Tanah Suci Baitul Maqdis yang sah. Mereka yang memilih untuk berpendirian sedemikian ialah Lahabis-Zionis. Mereka tidak mengakui tentang kewujudan pembunuhan beramai-ramai di Palestin, walaupun buktinya sudah jelas dan nyata. Mereka akan menentang golongan yang bersuara tentang isu Palestin, tidak mengira latar-belakang – politik (kiri atau kanan), agama, kaum.

Golongan Lahabis-Zionis ini, bukan sahaja dapat dilihat dalam kalangan Yahudi Zionis yang berbangga sebagai waris dan warganegara sah Zion, tetapi juga Zionis Kristian, dan puak Pelampau Kanan seperti Milo Yiannopoulos.

Mereka memburukkan dan me-nyah-manusia-wi-kan Palestin; CEO Palantir, Alex karp menggelarkan mereka sebagai useful idiots, dan melihat Hamas sebagai satu “Kuasa Jahat”. Walaupun gambar-gambar, video-video, dan penyaksian secara langsung telah tersebar bagi menjelaskan realiti konflik tersebut – mereka memekakkan telinga mereka, dan mendakwa bukti-bukti yang diberikan ialah ‘propaganda’ semata-mata, malah mereka sendiri gembira terhadap rakyat Palestin yang sedang trauma dan hidup dalam ketakutan. Perangai mereka seperti Abu Lahab, angkuh, tidak mahu menerima kebenaran yang jelas di hadapan mata mereka.

Dalam konteks politik, contoh-contoh Lahabisme ini jelas. Kebanyakan yang dikelompokkan dalam puak “Berhaluan Kanan” ialah antara yang tidak mampu untuk menerima kebenaran konflik Gaza. Mereka melihat perkara ini dengan neraca kepuakan – siapa-siapa yang berpihak dengan “Muslim”, “teroris”, “makhluk Palestin yang kejam” ialah “Kiri”, liberal, dan sosialis. Ia seumpama satu bias politik.

Kita dapat melihat peristiwa-peristiwa yang membawa kepada tindakan Candace Owen yang menarik diri dari Daily Wire, sebuah saluran media yang “berhaluan kanan-tengah”, diasaskan oleh Ben Shapiro. Ia bermula dengan tidak persetujuan antara Owen (yang kemudian menjadi Kristian Katolik) dan Shapiro (yang menggelarkan dirinya sebagai Yahudi Ortodoks) tentang kritikan keras oleh Owen terhadap pendirian Amerika yang mempertahankan Israel, dan menggelar politikus Yahudi yang mencipta dan menggalakkan lagi “anti-semitisme”[3]. Owen juga mengecam Israel terhadap kehancuran gereja-gereja Kristian di Gaza, yang telah pun berlaku terhadap gereja Ortodoks Yunani St. Porphyrius yang asalnya dibina pada abad ke-12.

Perbalahan ini telah membawa kepada kritikan hebat dari Israel dan mereka yang simpatetik dengannya. Ada yang memanggil beliau sebagai menyebarkan kebencian[4], pembaziran bakat[5], dan “Penerima Anugerah Anti Semitik pada Tahun Ini”[6]. Menarik untuk dilihat bahawa Owen, masih lagi memegang kepercayaan Kristian Katolik, dan menyebarkan mantra, “Christ is King”, dan masih lagi memegang nilai-nilai tradisional. Dan mungkin sesuatu yang kurang menyenangkan bagi yang terikat dengan spektrum politik untuk melihat beliau menemuramah Ana Kasparian, hos dan penerbit eksklusif Young Turk, program berita progresif, dan populis kiri[7]. Dan ini juga diikuti dengan beberapa individu daripada berhaluan kanan di Amerika, Carrie Prejean, Tucker Carlson, dan seumpamanya.

Contoh-contoh ini bukannya bertujuan untuk kita terus sependirian dengan mereka, tetapi untuk menunjukkan bahawa, golongan Lahabis-Zionis akan kekal teguh tidak bersetuju dan terus menentang bagi sesiapa yang bercanggah dengan pendirian mereka, seperti Abu Lahab yang tidak mahu menerima ajaran Nabi Muhammad ﷺ walaupun mereka dalam satu kelompok keluarga yang sama.

Dan ini juga termasuk bagi mereka yang menggelar diri mereka sebagai “Kristian Zionis”. Apabila memerihalkan berkenaan dengan Gaza, ia seumpama terdapat satu “Kristian” yang lebih benar dalam wacana konflik ini. Zionis Kristian, yang menyokong Israel, melihat penduduk Israel sebagai “Golongan yang Terpilih” (The Chosen People) melebihi yang lain, walaupun hakikatnya, kekejaman Israel yang sendiri melanggar ajaran Kristian telah jelas dan dibuktikan.

Walaupun begitu, pegangan mereka bercanggah dengan kebanyakan penganut Kristian yang lain, terutamanya pemimpin Kristian katolik, Pope Leo XIV yang mengikuti isu tersebut dengan penuh kebimbangan terhadap situasi yang amat parah di Gaza[8], manakala golongan Jesuit menyatakan bahawa mereka “tidak boleh berdiam diri” berhadapan dengan pembunuhan, kelaparan dan wabak yang berlaku di Gaza. Patriarkat Latin dari Jerusalem, Biskop Agung Pierbasitta Pizzaballa, dan Patriarkat Ortodoks Yunani dari Jerusalem, Theophilos III, dalam lawatan mereka ke Tanah Suci (Baitul Maqdis) menyatakan bahawa, “tiada sebab untuk kita mewajarkan penghapusan besaran-besaran orang awam secara sengaja dan memaksa”[9].

Akan tetapi, ia tidak dihiraukan, bagi Zionis Kristian yang memanggil diri sebagai “Kristian”. Mereka tidak menerima kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin utama Kristian, kerana ia bercanggah dengan kebenaran yang mereka pegang dan anuti untuk sekian lama. Zionis Kristian, terutamanya dari mazhab Evangelical terkehadapan dalam menyokong kewujudan Negara Haram Israel, kerana mereka menafsirkan petikan Genesis 12:3 [10], bahawa mereka yang diberkati YHWH adalah orang Yahudi, atau lebih tepat, penduduk Israel pada masa ini.

Dan ia merupakan satu pegangan dan kepercayaan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain, dan dianggap sebagai nilai Kristian tradisi di Amerika, walaupun ia merupakan satu tafsiran yang baru oleh Scoffield untuk mengabsahkan kewujudan Israel[11], walaupun ia sendiri dianngap sebagai satu kesesatan tidak mengira mereka yang dari Gereja Katolik atau Ortodoks. Antara contoh yang teguh dengan berpendirian sedemikian dapat kita lihat dalam Ted Cruz, ahli senator Amerika Syarikat dalam satu temuramah bersama dengan Carlson, yang berpendirian dengan tafsiran Scofield terhadap Genesis 12:3 sebagai bukti keperluan untuk bersama dengan Israel[12].

Ia bukanlah bermakna beliau tidak perasan akan kebenaran, tetapi ia melambangkan satu keenganan atau sentimen kepuakan dengan topeng “Kristian”. Beliau, sebagai seorang “Lahabis”, tidak akan menerima kebenaran terhadap kekejaman rakan Israel-nya dan mengabsahkan tindakan kejam mereka daripada “Pengganas Hamas”[13].

Bagaimana kita mahu mengatasi pengaruh Zionis? Tidak dinafikan bahawa, ramai telah sengsara dengan ancaman dan kecaman Zionis-Lahabis hanya kerana menyokong nasib Palestin. Sudah tentunya orang Islam adalah mangsanya, kerana mereka sentiasa dilihat sebagai “Orang Asing” (Foreign Other) dan ancaman terhadap peradaban barat. Dan ini juga termasuk penganut Kristian yang tinggal bersama dengan orang Islam Palestin, serta mereka yang berada di Lubnan, telah diabaikan oleh media barat, malah berita tentang mereka juga telah dimanipulasi untuk memperlihatkan tentera Israel telah melakukan “kesalahan”, sedangkan mangsa-mangsa mereka menangis kepedihan.

Tidak dinafikan bahawa kita hidup dalam zaman yang mencabar. Nabi Muhammad ﷺ telah bersabda, “‘Sesungguhnya sebelum (kedatangan) hari kiamat, akan ada hari-hari di mana ilmu akan diangkat, kejahilan akan tersebar luas dan al-Harj akan berleluasa.’ Al-Harj yang dimaksudkan ialah pembunuhan.[14].

Sudah tentu bagi saudara dan saudari kita di Gaza, mereka perlu menentang penjajah Israel, dan mempertahankan hak dan tempat asal mereka yang mempunyai sejarah beratus, malah beribu tahun. Mereka berhadapan dengan ketidakadilan dan kezaliman, dan perjuangan mereka yang berdarah, dari dulu hingga kini, merupakan satu realiti yang tidak boleh dielakkan. Tetapi, bagi kita yang jauh daripada wilayah Filistin, kita mempunyai peranan masing-masing.

Sebagai seorang muslim, untuk menjawab balas terhadap serangan Lahabisme sedemikian, ia penting untuk kita membalas dengan aman, ’adil dan benar, sebagai lawan kepada kepuakan yang jadong[15], seperti yang difirman oleh Allah dalam ayat ke-34 Surah Fussilat, “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib”.

Ibn Kathir menjelaskan ayat ini dalam tafsirnya bahawa, “apabila seseorang menzalimi kamu, balas dengan melayannya dengan baik”, dan “sekiranya kamu melayan dengan baik mereka yang menzalimi kamu, maka layanan baik itu akan bawa kepada perdamaian, kasih sayang, dan empati, dan umpama dia akan menjadi sahabat rapat kepada kamu, dan dia akan kasihan dan lembut kepada kamu”.

Dalam konteks kita sebagai seorang muslim di Malaysia, terdapat banyak usaha yang boleh kita lakukan, dan kebanyakannya pun sudah pun dilaksanakan. Hal ini dapat dilihat dengan sejarah tokoh-tokoh Tanah Melayu sebelum ini yang sejak awal sudah cakna dengan Palestin, terutamanya pada zaman Burhanuddin al-Helmy[16]. Kini, Perdana Menteri ke-10, YAB Anwar Ibrahim masih mengekalkan pendirian teguh Malaysia terhadap hubungannya dengan Palestin, serta tegas untuk tidak mengiktiraf kewujudan Israel[17], seperti yang dipegang oleh perdana menteri yang sebelumnya.

Peranan-peranan Badan Bukan Kerajaan juga banyak memainkan peranan terutamanya dalam menangkis kenyataan memesong dan tindakan zalim rejim zionis. Angkatan Belia Islam Malaysia sebelum ini pernah menerbitkan buku untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu Palestin, seperti buku Palestin-Warisan Kita pada tahun 1977, dan juga buku ABIM & Perjuangan Umat Palestin pada tahun 2015[18]. Usaha sebahagian pihak dalam meningkatkan kesedaran terhadap sejarah Palestin sebelum 27 Oktober 2025 juga wajar diberi perhatian dengan penghasilan buku-buku, video, dokumentari dan sebagainya. Semua ini merupakan wadah dan cara dalam menghadapi manipulasi atau serangan maklumat oleh Zionis-Lahabis yang semakin menonjol pada masa ini.

Dengan kata lain, untuk mengatasi ancaman Zionis-Lahabis adalah dengan mengangkat pena, kamera, suara, dan kemanusiaan kita sebagai senjata utuh menentang penyahmanusiaan. Kita mungkin jauh daripada Gaza, tetapi dengan perkembangan teknologi yang menghubungkan satu dunia, suara kita mampu bertebaran di serata dunia. Dari jalan raya di Nairobi di mana penunggang-penunggang motosikal melaungkan “Bebaskan Palestin”, hinggalah ke dewan ICJ; dari persimpangan jalan di Sydney sehinggalah ke kotaraya Tokyo.

Tempikan kebenaran sudah disuarakan, dan tembok kebebalan itu, tidak lama lagi, akan mula runtuh.


[1] Asal dari Latin, dan membawa maksud bangga, takbur, dan mementingkan diri sendiri. Ia merujuk kepada salah satu Tujuh Dosa Maut (seven deadly sins).

[2] Winter, T. 2020. Travelling home: essays on Islam in Europe. The Quilliam Press: Cambridge.

[3]https://www.mediaite.com/politics/candace-owens-accuses-political-jews-of-fueling-anti-semitism-vile-dishonest-manipulative-people/

[4]https://www.aei.org/op-eds/the-hateful-candace-owens/

[5] https://www.israelnationalnews.com/news/380689

[6]https://www.jns.org/advocacy-group-names-candace-owens-antisemite-of-the-year/

[7] https://www.youtube.com/watch?v=SKNJPul29zU

[8]https://www.vaticannews.va/en/church/news/2023-10/churches-condemn-air-strike-on-greek-orthodox-building-in-gaza.html

[9]https://www.cbcew.org.uk/joint-statement-on-gaza-by-latin-and-greek-orthodox-patriarchates-of-jerusalem/

[10] “I will bless those who bless you, and whoever curses you I will curse; and all peoples on earth will be blessed through you.” dari Revised Standard Version.

[11]https://israelmyglory.org/article/the-life-and-legacy-of-c-i-scofield/

[12] https://www.youtube.com/watch?v=smemFVe0l5E

[13]https://cc.org/sen-cruz-visits-israel-and-calls-for-us-to-unequivocally-stand-with-the-jewish-state-israel-not-only-has-a-right-but-a-responsibility-to-defend-yourselves/

[14] Riwayat al-Bukhari (7062) dan Muslim (2672).

[15] Dipetik dari karya Syed Hussein Alatas, Cita Sempurna Warisan Sejarah. Jadong merupakan singkatan kepada, “Jahat”, “Bodoh”, dan “Sombong”.

[16]https://web.archive.org/web/20231024042601/https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2023/10/1168370/melayu-bela-rakyat-palestin-sejak-1930-sumbang-s14000-pada-1949

[17]https://www.sinarharian.com.my/article/789213/berita/nasional/malaysia-bukan-anti—yahudi-tetapi-menentang-negara-zalim—anwar

[18] Institut Timur Tengah, Universiti Sakarya, Turki, Nur Atika Hairi, Norhafizah Ahmad, and Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. “Pengaruh Dan Impak Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Terhadap Isu Palestin Di Malaysia.” December 2, 2020, 1–18. https://doi.org/10.30880/ahcs.2020.01.01.001.

ARTIKEL & BERITA PKPIM

SURAT AHLI KONGRES AMERIKA KEPADA MARKO RUBIO :

Apa yang berlaku? Pada 21 Julai 2026, lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menggesa kerajaan Amerika mengkaji semula hubungan dengan Malaysia susulan [...]
Read more

PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA

Bismillāh ir-Raḥmān ir-Raḥīm WARKAH PRESIDEN PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) SESI 25/26 PERJUANGAN INI, PERJUANGAN KITA إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ٱلْإِصْلَـٰحَ مَا ٱسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِ ۚ عَلَيْهِ [...]
Read more

EID AL-ADHA: A SACRED RIGHT, NOT A THREAT

As we approach one of the most significant and celebrated occasions in the Islamic tradition, Eid al-Adha reminds Muslims of the profound meaning of sacrifice, obedience and steadfastness in faith. [...]
Read more

PASCA PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM 2025

PERJALANAN MASIH JAUH, MASA DEPAN MENANTI KALIAN Adik-adik calon SPM sekalian, Adik-adik yang berpotensi, Adik-adik yang berkemajuan, Adik-adik yang bitara, Jangan sekadar menjadi pelajar yang lulus dalam peperiksaan, tetapi jadilah [...]
Read more

AL-ATTAS ASAS KEPADA KELETARIAN PERJUANGAN PKPIM

Perjuangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) selama 65 tahun di pentas dakwah dalam negara mahupun di luar negara bertahan dan terus mampan kerana perjuangan PKPIM didasari dengan budaya keintelektualan [...]
Read more

INSTITUSI PENDIDIKAN BUKAN SARANG IDEOLOGI SONGSANG

PKPIM memandang serius dan berat dakwaan yang sedang tular melibatkan seorang pensyarah kanan Universiti Malaya yang dikaitkan dengan fahaman serta rangkaian Freemason suatu ideologi yang jelas bercanggah dengan akidah Islam [...]
Read more

PASCA SPM: JANGAN HANYUT, BINA DIRI

Kepada anak-anak muda yang baru sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami mengucapkan tahniah dan mendoakan agar beroleh keputusan yang cemerlang. Habis sahaja peperiksaan ini, maka anda semua telah [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +60 11-5536 1470 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)