KENYATAAN MEDIA PKPIM
29 November 2015
“PKPIM BERTEKAD TERUS PERJUANGKAN KEBEBASAN PALESTIN”
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan sikap dan pendirian pelajar dan mahasiswa Malaysia untuk terus menyokong dan membantu perjuangan pembebasan Palestin daripada kekejaman, penindasan dan penjajahan Israel dan sekutu-sekutu jahatnya.
Setelah lebih 60 tahun dijajah Israel, kehidupan rakyat Palestin tidak pernah aman. Israel seringkali mengganggu ketenteraman hidup rakyat Palestin dan mencabuli hak mereka untuk hidup secara sentosa dalam negara sendiri. Israel adalah pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan dan kemusnahan. Tambahan lagi, mereka dengan sewenang-wenangnya mencederakan, malah membunuh rakyat Palestin. Lebih malang lagi, tindakan mereka direstui oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat yang kononnya merupakan “pejuang kebebasan dan demokrasi dunia”, tetapi merestui malah mendanai projek pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel. Sebagai contoh pada 05hb Ogos 2014 yang lalu, Presiden Obama telah meluluskan Rang Undang-undang (Bill) H.J Res. 76 yang dipersetujui oleh Kongres AS bertujuan memberikan peruntukan tambahan sebanyak USD 225 juta dana awam untuk sistem pertahanan Iron Dome Missile Israel ketika tercetusnya konflik Gaza-Israel.
Merujuk kepada situasi terkini di Palestin, sejak 01 Oktober 2015 yang lalu sehingga ke hari ini, dilaporkan pergolakan yang berlaku di Tebing Barat, Palestin telah mencecah 101 kematian warga Palestin, manakala lebih 12,000 orang cedera, 2,250 dipenjarakan termasuk 880 orang kanak-kanak, dan 67 wanita. Dianggarkan purata penangkapan dan penahanan warga Palestin yang dilakukan oleh Tentera Penjajah Israel adalah sebanyak 20 ke 30 tangkapan sehari. Penahanan melibatkan bukan sahaja aktivis dan ahli politik, tetapi juga ahli akademik, mahasiswa, wanita, kanak-kanak, pesakit dan mangsa yang cedera akibat dipukul atau ditembak oleh Tentera Penjajah Israel. Malah, kes tangkapan pesakit dan pembunuhan juga dilakukan oleh Israel di dalam hospital.
Rundingan demi rundingan dilakukan, termasuk kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry baru-baru ini bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk membincangkan pergolakan di Tebing Barat. Pertemuan ini tidak membuahkan sebarang keputusan kerana AS berkeras mempertahankan Israel yang jelas-jelas bersalah dalam isu ini.
Di pihak penjajah Israel pula, rang undang-undang untuk menutup Masjid al-Aqsa dibawa oleh ahli parlimen MK Bezalel Smotrich pada 24 November lalu dan sedang dibahaskan dalam Knesset (parlimen) Israel. Manakala penempatan haram Yahudi terus dibina dan para ekstrimis Yahudi berkali-kali menceroboh ke Masjid al-Aqsa dan beribadah di dalamnya sehingga mendatangkan kemarahan masyarakat Muslim Palestin.
Mujurnya masih ramai masyarakat antarabangsa yang sedar dan prihatin akan isu ini. Komuniti Perlindungan Undang-undang Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 November lalu telahpun meluluskan lima usul yang dibentangkan berkaitan Palestin dan kesemua usul diterima sebagai resolusi secara undian majoriti. Malah, sebelum itu lagi, bendera Palestin telahpun dikibarkan di pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tanda pengiktirafan kepada negara pemerhati bukan anggota itu. Ini menunjukkan betapa tingginya kesedaran masyarakat dunia menyokong dan mendokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas dan dijajah secara terancang.
Sempena Hari Solidariti Sedunia Bersama Perjuangan Palestin pada hari ini, PKPIM mewakili pelajar dan mahasiswa di Malaysia sekali lagi menyatakan tekad kami untuk terus mendokong dan menyokong perjuangan membebaskan Palestin. Kami menyeru rakyat Malaysia yang lain untuk terus memperjuangkan agenda ini. PKPIM bersama badan gabungan kami seluruh Malaysia akan mempertingkatkan usaha menyebarluas kesedaran, mengumpul dana dan mengumpulkan lebih banyak sokongan rakyat Malaysia khususnya generasi muda melalui program-program kreatif yang bakal diatur seperti kempen kesedaran melalui siri-siri tayangan video, ceramah, edaran selembaran, demonstrasi dan sebagainya. Sebarang kutipan dana yang kami lakukan akan disalurkan kepada organisasi seperti Golbal Peace Mission Malaysia (GPM), Viva Palestina, Yayasan Al-Quds dan PCOM.
Selain itu, pihak kami akan bekerjasama dengan komuniti Palestin di Malaysia seperti Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM) dan Palestinian Students Association (PSA) dalam menggerakkan aktiviti membangkitkan kesaedaran isu Palestin di Malaysia. Hari ini juga PKPIM menyertai satu lagi komuniti antarabangsa perjuangan Palestin iaitu Pertubuhan Boycott, Disinvestment and Sanction (BDS) yang menumpu kepada kempen melumpuhkan ekonomi Israel bagi perjuangan Palestin.
PKPIM bertekad bantu perjuangan Palestin!
Hidup Biar Berjasa!
Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
29 November 2015
Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
013-2775313 / fazrilsaleh@gmail.com