Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia mengucapkan Selamat Hari Belia 2013 buat seluruh belia di mana sahaja anda berada. Sesungguhnya, belia merupakan komposisi yang penting dalam proses pembangunan negara dan bangsa Malaysia.
Di Malaysia, kita sangat unik dengan kepelbagaian agama dan kaum. Oleh hal yang demikian, gerakan belia di negara ini perlu memainkan peranan dalam menggerakkan belia yang pelbagai ini dalam bingkai kesatuan seterusnya membina bangsa Malaysia itu sendiri.
Bagi mengorak langkah seorang pejuang belia, gerakan belia pada hari ini bukan sekadar melaksanakan aktiviti meramaikan keahlian tetapi harus bersifat pendidik kepada masyarakat. Misi pendidikan masyarakat perlu diteruskan dengan menggunakan dinamika dalam kaedah penyampaian masing-masing mengikut tempat dan kumpulan sasaran. Bimbingan ilmu perlu diperkukuhkan dalam kalangan penggerak belia agar bersedia menghadapai persoalan-persoalan yang dikemukan oleh masyarakat.
PRU 13 yang baru sahaja melabuhkan tirainya membuktikan kuasa belia dalam pengundian sangat memberi impak kepada mana-mana parti politik yang bertanding. Belia pada hari ini bukan hanya sekadar memilih berdasarkan kaum, tetapi lebih cenderung untuk memilih individu yang membawa idealisme politik perubahan sebagai wakil rakyat.
Pasca PRU 13, kita melihat ada usaha-usaha untuk mengangkat elemen perkauman yang jelas akan meruntuhkan dan merugikan nilai perpaduan bangsa Malaysia. Oleh hal yang demikian, belia harus memulakan peranannya dalam menyebarkan budaya ‘Kami Anak Malaysia’ yang bebas dari cengkaman perkauman sempit.
Gerakan belia perlu siap dalam membugar dan mengembalikan erti dan semangat patriotisme dalam kalangan belia sendiri. Semangat cintakan negara perlu diteruskan agar nilai jati diri sebagai bangsa Malaysia itu kekal.
Akhir kata, PKPIM mengharapkan agar kepimpinan belia di semua organisasi dapat menjadikan mereka contoh teladan dan mempunyai prinsip perjuangan yang jelas. Mesej kebenaran dan mendidik anak bangsa tanpa upah dan balasan perlu diperhebatkan. Ayuh bersama-sama berganding bahu dalam memastikan anak bangsa kita terjaga dan terdidik dengan nilai dan prinsip perjuangan.
Hidup Biar Berjasa!
KHAIRUL ANUAR ABDUL MANAP
Setiausaha Agung PKPIM