Sekilas pandang, kita melihat dan memahami istilah jati diri ni semakna dengan makna diri ataupun selalu kita dengar dan baca istilah identiti. Istilah ini menimbulkan penuh makna yang mendalam bagi kita sepatutnya. Hal ini disebabkan kita perlu memahami bahawa sesungguhnya bangsa Melayu di negara ini merupakan bangsa teras yang menganut agama Islam.
Jati diri merupakan prinsip atau identiti yang merupakan simbol atau tanda kepada individu itu seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China. Oleh hal yang demikian, kita harus menelurusi keunggulan Melayu sebagai juzuk besar dan penting di Asia Tenggara.
Namun kita jangan hanya bicara soal nama Melayu sahaja. Kita harus lihat ciri-ciri seorang Melayu itu sendiri. Melayu itu ada agamanya, ada bahasanya, ada budayanya, ada sistem pendidikannya dan ada nilainya. Angkatan muda dahulukala lagi telah memperjuangankan nilai keMelayuan di tanah air kita.
Gerakan memperjuangankan bangsa Melayu janganlah hanya diukur dari sudut kebangkitan perjuangan nasionalisme yang menentang penjajahan moden sahaja. Namun, perjuangan ini telah lama bermula sejak zaman bangkitnya tamadun Melayu itu sendiri sekitar abad 7 Masihi. Pada ketika itu, kerajaan Sriwijaya yang lebih dianggap menjadi asas tamadun Melayu telah mula menjelmakan citra pemerintahan yang utuh, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa ilmu dan bahasa perdagangan.
Setelah bertahun kemudian, kedatangan Islam ke Kesultanan Melayu merupakan peralihan paksi tamadun yang melalui proses perubahan rupa dan jiwa bangsa Melayu ke arah pembebasan daripada belenggu khurafat dan takhyul kepada bangsa yang intektual dan rasional.
Hal ini seperti ungkapan Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH) iaitu, Islam mempunyai misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat harkat dan darjat manusia. Pabila kita kaji, asas utama misi perubahan ini ialah konsep aqidah Islam yang berpaksikan konsep Tauhid yakni meng-Esa kan ALlah s.w.t dan melengkapi hubungan antara manusia dengan penciptanya serta hubungan manusia dengan manusia dan makhluk lain.
Hal ini dapat dilihat dalam firman ALlah s.w.t iaitu hablum minna ALlah, wa hablum minal nas. Hubungan vertikal ke arah hidup berTuhan, dan hubungan horizontal ke arah hidup bermasyarakat dan bersosial.
Hubungan holistik ini tidak mampu kita dapat dalam mana-mana agama lain selain dari agama Islam. Elemen ini merupakan amanah tanggungjawab yang dipikul oleh setiap umat Islam.
Sistem kepercayaan ini merupakan sistem yang tidak boleh lari dari bangsa Melayu khususnya di Malaysia dan Asia Tenggara. Jadi, secara langsung tertolak pemikiran-pemikiran yang tidak sealiran dengan konsep Tauhid yang dibawa sejak dahulu lagi iaitu Mazhab Tauhid aliran Asya’iroh wal Maturidiyyah. Namun, hakikatnya kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang seakan-akan mahu melompongkan ketsiqahan yang telah dibina sejak berabad lama.
Kekuatan bangsa Melayu yang berasaskan syariat perlu diberi perhatian bagi mewujudkan kesinambangan. Baik dari segi pentadbiran iaitu Siasah Syar’iyyah, sistem perundangan dan perlembagaan iaitu Hukuman Hudud, sistem ekonomi Islam, sistem pendidikan yang berteraskan Islam, dan segalanya harus mengikut kaedah syariat.
Tuntutan untuk melaksanakan Islam secara syumul pada era kini telah nampak positif. Jadi, dalam masyarakat demokrasi di negara kita, hal ini pasti boleh dengan kebijaksanaan kepemimpinan sekarang. Namun, semuanya di tangan kita orang muda yang menentukan segalanya.
Oleh itu, kita generasi muda perlu mengangkat kembali perbicaraan-perbicaraan, perbincangan-perbincangan sedemikian agar jati diri kita sebagai Muslim yang berbangsa Melayu tidak terhakis dek percaturan teknologi yang kian menghambat.