Hari ini seluruh IPTA telah melakukan proses pembuangan undi setelah lebih kurang seminggu semua calon berkempen untuk memenangi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2012\2013 baik kerusi umum mahupun fakulti. Pelbagai gelagat, suasana, dan kaedah kempen yang kreatif telah dilakukan. Pilihanraya Kampus adalah salah satu perisitwa besar bagi Mahasiswa selain kemasukan pelajar baru, juga konvokesyen dan lain-lain. Selain gelagat kempen tidak kira bersih ataupun kotor, tidak kurang juga pelbagai Manifesto telah ditaburkan kepada Mahasiswa di kampus. Antaranya, isu kebajikan, prasarana dan sebagainya. Reaksi daripada pemerhati atau Mahasiswa lainnya ada yang positif dan ada yang negatif. Namun, kita sering menagih janji manifesto kepada mereka yang menang sahaja. Tidak pernah kita bertanya dan menuntut kepada mereka yang kalah.
Bagi calon yang menang sudah pastinya mereka harus bertanggungjawab terhadap janji-janji yang mereka taburkan. Beban yang Lebih berat kerana telah dipilih oleh majoritI Mahasiswa dan juga telah bergelar ‘Pemimpin’. Akan tetapi, calon-calon yang kalah juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang sama kerana mereka juga telah berjanji berbuat itu dan ini dan pastinya mereka telah berniat untuk menjadi pemimpin yang membantu Mahasiswa. Cuma yang menjadi perbezaan ialah bukan melalui wadah Majlis Perwakilan Pelajar secara langsung kerana mereka telah kalah.
Majlis Perwakilan Pelajar bukanlah satu-satunya platform untuk menyuarakan isu-isu Mahasiswa dan mengasah bakat kepimpinan. Masih banyak ruang dan peluang yang ada di dalam Universiti. Bakal kepimpinan negara juga bukan sahaja lahir dari ‘perut’ Majlis Perwakilan Pelajar. Namun, kita tidak menafikan ianya adalah salah satu wadah yang berpengaruh dalam Universiti kerana agak rapat dengan pentadbiran dan mempunyai ruang yang boleh dikira luas. Tetapi ia tidaklah mutlak dan senario kini teorinya tidak begitu tuntas kerana jika pentadbiran mana-mana IPTA/S bobrok dan hanya menurut bulat-bulat arahan atasan membabi buta, maka beruntunglaj mereka yang kalah kerana medan anda Lebih luas untuk menunaikan manifesto yang telah kalian janjikan. Mahasiswa yang mempunyai Dinamika idealism tersendiri amatlah didambakan oleh masyarakat luar amnya dan kamus khususnya dalam suasana yang rancu sekarang ini.
Menurut kata-kata cendiakiawan Indonesia, Almarhum Bapak Mohammad Natsir merangkap mantan Perdana Menteri Indonesia pernah mengatakan,
“Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah geladangan ummah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dandidukung oleh umat.”
Justeru, untuk Pilihanraya Kampus yang akan datang, jangan ditanya kepada calon ‘apa yang anda lakukan apabila anda menang?’. Sebaliknya tanyalah ‘ apa yang anda akan lakukan sekiranya anda kalah?’. Ini kerana jika benar mereka memperjuangkan idealisme Mahasiswa, pastinya mereka sudah mempersiapkan diri dengan berjiwa besar tetap ingin berbakti dan berjasa kepada Mahasiswa dan Umat sehingga ke akhir hayat.
“HIDUP BIAR BERJASA”
Azizan Bin Ajiji
Exco Penerangan PKPIM