PERUTUSAN SEMPENA RAMADHAN AL-MUBARAK 1433 H
Bismillahirrahmanirrahaim..
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agama-Nya, melengkapkan nikmat-Nya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Din. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-Qiamah ………..Amin!
Semoga seluruh warga Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, anggota keluarga mereka, seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia sentiasa berada di dalam keadaan sejahtera, sentiasa mentaati Allah s.w.t, memajukan diri serta memperkembangkannya hari demi hari supaya menjadi lebih baik dengan perjalanan masa, mampu menambah bakti kepada agama yang kita imani dan Ummah yang kita sayangi.
Beberapa hari lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi keberkatan dan semulia-mulia bulan. Di dalamnya diperturunkan al-Qur’an, dan dimenangkan Ummah menerusi peperangan Badr al-Kubra, serta mengandungi sebaik-baik malam yakni Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu malam.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengambil ruang ini untuk sama-sama mengingatkan kepada seluruh umat Islam amnya dan kepada keluarga PKPIM khasnya agar tidak mengambil mudah atau sambil lewa menyambut tetamu mulia yang bernama Ramadhan. Di sinilah peluang untuk kita bermunajat agar Allah memberi kita kekuatan dalam mengharungi perjalanan hidup yang sangat getir.
Ramadhan merupakan bulan tarbiyyah dan jhad bagi pejuang-pejuang Islam. Kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabaikan jihad dan perjuangan. Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya. Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadah puasa.
Sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa. Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Selatan Thai (Pattani Darussalam), Indonesia, Iraq, Afghanistan Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan. Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan. Oleh itu, Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiyah Ramadhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi:“Puasa kamu untuk-Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.”,
Gunakanlah kesempatan yang masih lagi Allah berikan kepada kita semua menerusi bulan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari lagi ini untuk memperbanyakkan amal-amal soleh, mentaati Allah s.w.t, menabur bakti kepada orang-orang yang memerlukan, terutama kepada lingkungan yang hampir dengan kita, anggota keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, kenalan dan rakan-rakan.
Jadikanlah bulan Ramadhan ini, bulan kita memperteguhkan hubungan dengan Allah s.w.t, hubungan silatul al-rahmi dengan anggota keluarga yang dekat dan jauh, sanak saudara, jiran tetangga, rakan-rakan dan saudara–saudara seperjuangan, dan masyarakat.
Semoga bulan Ramadhan pada tahun hijrah 1433 H ini akan mengangkat kita semua ke darjat golongan Ummah yang bertakwa, memiliki bekalan perjalanan kehidupan yang terbaik dalam pengembaraan masing-masing merentasi kehidupan sementara di dunia yang fana’ ini. Dengan itu kita akan mencapai matlamat daripada ibadah berpuasa, memperolehi bekalan taqwa yang merupakan sebaik-baik bekalan disisi Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Akhirnya kalam, saya mewakili seluruh pimpinan PKPIM Pusat sesi 2012/2013 mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh sahabat-sahabat PKPIM, Badan Gabungan Negeri, Kampus dan seluruh mahasiswa di seluruh negara. Kutiplah mutiara keberkatan ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu. Semoga ukhwah kita bertambah erat di bulan yang mulia ini.
Insya-Allah.
Salam Ramadhan Kareem
“HIDUP BIAR BERJASA”
KHAIRUL ANUAR BIN ABDUL MANAP
Setiausaha Agung PKPIM Sesi 2012/2013