<Penerapan Pandangan Alam Islam kepada Pelajar Terbaik MRSM>
SUNGKAI, 27 Julai 2011: Majlis Amanah Rakyat (MARA) di bawah kelolaan Unit Pendidikan Menengah telah menganjurkan Kursus Etika dan Integriti yang merupakan peringkat kedua program perintis Global Leadership MARA. Seramai 120 orang pelajar terbaik tingkatan empat dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh Malaysia telah berkampung di Maktab Rendah Sains MARA Felda (Kampus Tun Abdul Razak) untuk mengikuti program tersebut. Saudara Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh, Penolong Setiausaha 1 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah diberi penghormatan sebagai ketua jurulatih bagi menyusun-atur modul dan pengisian aktiviti-aktiviti.
Menurut Ketua Seksyen Bahagian Pendidikan Menegah MARAEn. Alias Muda, MARA berhasrat menjadikan program ini sebagai program perintis bagi memberi persediaan kepada para pelajar cemerlang dalam menempuh kehidupan sebagai seorang mahasiswa di menara gading seterusnya menjadi graduan yang punya jati diri dan mampu berbakti kepada negara dan ummat. 120 orang pelajar ini akan ditapis dan hanya 60 orang peserta terbaik sahaja yang akan dipilih untuk ke peringkat ketiga dan seterusnya sehinggalah mereka menempuh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya 30 orang sahaja yang akan mendapat tajaan penuh daripada MARA untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana di universiti-universiti terkemuka dunia seperti Universiti Harvard, Universiti Cambridge, Universiti Oxford, dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Kursus ini berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 21 Julai dengan memberi fokus kepada pembentukan pandangan alam dan cara fikir yang betul dengan penekanan diberikan kepada aspek faham agama, asas akhlak, adab dan ta`dib. Antara penceramah yang ditampilkan khas dalam kursus tersebut ialah Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Timbalan Dekan Fakulti Ilmu Wahyu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan En. Nizam Ali dari Institut Integriti Malaysia (IIM). Turut sama hadir dalam kursus tersebut para alumni MRSM (ANSARA) yang telah berjaya dalam karier dan kehidupan masing-masing seperti Mohd Yusoff Sulaiman, Presiden dan CEO MIGHT dan Dato’ Nasri Nasrun, Pengerusi Eksekutif SETEGAP Ventures. Penampilan istimewa para pejuang kemerdekaan negara memeriahkan pengisian kursus. Dua orang prajurit kumpulan pertama Komando 69 Pasukan Polis Hutan PDRM, Pak Dahlan dan Pak Hamzah tampil berkongsi pengalaman menentang pengganas pada era keganasan komunis dan darurat suatu ketika dahulu.
Acara perasmian penutup disempurnakan oleh YB Norol Azali Sulaiman, ahli Majlis MARA dan Pengerusi Portfolio Pendidikan MARA pada 29 Julai 2011.