Warkah Presiden : Apresiasi Buat Seluruh Penggerak dan Peserta Perkampungan Menara Gading Peringkat Kebangsaan 2017 (PMGK 17)
“Seminggu sudah PMGK 17 berlalu, menggamit memori dan kenangan”
Alhamdulillahi Rabbil ‘ Alamin Wal ‘ Aqibatu Lil Muttaqin Wala’Udwana illa ‘ Alaz zholimin. Setinggi tasyakkur dirafakkan kepada Allah SWT Rabbul Izzati atas nikmat kehidupan yang amat bermakna.
Selawat dan salam buat Al Rasul SAW penyebar rahmat dan berkat sekalian alam.
Berkat kegigihan dan pengorbanan Baginda dapat kita nikmati Iman dan Islam.
Teman-teman penggerak pmgk 17 yang gigih dan berjasa,
1. Mewakili qiyadah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), saya mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah buat kalian atas segala usaha, komitmen, pengorbanan dan kegigihan dalam menjayakan PMGK 17 kali ini.
Kalian hadir dengan keikhlasan dhamir yang telus, semangat menyebarkan dakwah dan berkongsi ilmu yang bermanfaat buat generasi penerus mata rantai dakwah Al Rasul SAW.
Kami yakin pastinya ada perkara yang dikorbankan semata-mata untuk memastikan agenda ini dapat berjalan lancar dan jaya. Semoga kesungguhan dan keikhlasan kalian mendapat keberkatan Allah SWT.
Teman-teman penggerak pmgk 17 yang komited dan “kompetens”
2. Tentunya dengan segala usaha kalian termasuk perjalanan pergi balik hadiri mesyuarat,induksi, final touch dan program tidak dibayar dengan wang ringgit mahupun sebarang habuan. Tetapi, kalian telah menunjukkan satu semangat dan pengorbanan dalam berjuang.
Kehadiran kalian menyerlahkan aura agenda PMGK 17 ini dan membuktikan bahawa dengan iltizam dan cita-cita yang murni segala kekangan dan halangan dapat ditangani dengan baik.
3. Kami mendoakan kalian terus cemerlang dalam akademik, akhlak dan seluruh kegiatan kehidupan. Ayuh kita saling menguatkan dalam memastikan kelestarian agenda dakwah. Semoga ikatan ukhuwah terus utuh, mekar dan berpadu.
Adik-adik pmgk 17 yang berjuang dan bitara,
4. Tahniah kerana terpilih ke Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 17 ini. Adik-adik telah memberikan suatu komitmen yang jitu dengan peranserta aktif sepanjang PMGK 17 berlangsung.
Pelbagai mutiara hikmah yang adik-adik peroleh daripada pembicara jemputan yang hebat juga para fasi yang menghiburkan.
Oleh yang demikian, ayuh ingat, renung dan hadam semula segala dapatan daripada PMGK 17 ini sebagai bekalan berharga persiapan menjelang ke alam kampus nanti.
Keep in touch dengan fasi-fasi dan dapatkan bimbingan, pandangan dan tunjuk ajar.
Adik-adik pmgk 17 yang bersemangat dan berwawasan tinggi,
5. Melalui pmgk 17 ini adik-adik ditanamkan semangat cintakan ilmu dan visi ummatik. Inilah peranan kita bersama yang mesti dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin. Semangat membara yang hadir mesti dipandu dengan ilmu pengetahuan yang utuh dan kehidupan kita mesti berfikir dan menyumbang sesuatu buat umat.
Slogan keramat
” HIDUP BIAR BERJASA”
sangat signifikan untuk dipraktis dalam kehidupan seharian kita. Kita harus tampil dan bercita-cita menjadi ” The Enlightened Souls” (kelompok ilmuwan yang mengalami pencerahan nurani dan memiliki kepedulian sosial yang tinggi) ungkapan pemikir Iran, Dr Ali Shari’ati.
6. Akhir kalam, teruskan perjuangan, jangan pernah mengalah. PKPIM berbesar hati meraikan kehadiran adik semua dalam keluarga besar dakwah PKPIM-ABIM-WADAH.
Semoga platform keluarga besar dakwah ini sebagai ruang terbaik kita menyebarkan mesej Islam Rahmatan lil ‘ Alamin. Sambutan Pelajar Baharu Terbaik (SPBT) akan diadakan buat adik-adik semasa pendaftaran di kampus nanti. Terus berhubung dengan para fasilitator dan senior-senior PKPIM untuk maklumat lanjut.
Ayuh teman-teman kita hayati dan tadabbur pesan-pesan Ilahi dalam surah al Taubah ayat 105 sebagai motivasi dalam berjuang, bekerja dan beramal.
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan Katakanlah:
“Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Terus berjuang, terus bitara, terus berjasa
HIDUP BIAR BERJASA!
MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
09 April 2017