
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman.
Tahun 2025 hadir sebagai lembaran baharu yang menguji keupayaan kita sebagai individu, masyarakat, dan ummah untuk terus berjuang demi kebaikan bersama. Dalam semangat menyambut tahun baharu ini, kita harus mengamati beberapa perkara sebagai persediaan untuk tahun kedepan.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Peranan Belia dalam Diplomasi
Tahun ini, Malaysia memegang tanggungjawab besar sebagai Pengerusi ASEAN. Peranan ini memberi peluang untuk kita membina kesepaduan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara. PKPIM menyeru golongan muda khususnya pelajar, dan mahasiswa untuk menjadi suara harmoni dan kedamaian di pentas serantau. Mari kita tonjolkan nilai kepimpinan, keilmuan, dan keberanian untuk memperjuangkan isu-isu seperti keadilan sosial, pendidikan inklusif, dan perubahan iklim dalam kerangka ASEAN.
PKPIM juga mengajak bersama-sama konsisten dalam meneruskan perjuangan isu Palestin kerana ianya merupakan isu sejagat yang menuntut solidariti berterusan. Tahun baru ini, perjuangan rakyat Palestin memerlukan lebih banyak perhatian, sokongan moral, dan tindakan konkrit. PKPIM akan terus menyokong usaha kemanusiaan melalui advokasi, pendidikan, dan program kesedaran yang menghubungkan belia Malaysia dengan penderitaan saudara kita di Palestin.
PKPIM juga melihat zaman revolusi digital yang sedang melanda dunia dengan cukup pantas, membawa pelbagai peluang dan cabaran. Sebagai pelajar dan mahasiswa Islam, kita mesti memanfaatkan teknologi secara bijak dan beretika. Media sosial, misalnya, harus digunakan untuk menyebarkan mesej positif, ilmu, dan nilai Islam. PKPIM akan terus membimbing pelajar untuk memanfaatkan teknologi sebagai alat pemerkasaan, bukan alat kehancuran.
Dalam dunia yang sering terbelah dengan konflik dan perpecahan, kita dituntut untuk menyebarkan kasih sayang sebagai sebahagian daripada misi mengangkat agenda Malaysia MADANI. Ukhuwwah Islamiyyah, toleransi, dan empati adalah kunci untuk membina masyarakat yang harmoni. PKPIM menyeru agar semua ahli menjadi agen perubahan yang menyatukan, bukan memecahbelahkan.
Akhirnya, marilah kita memulakan tahun ini dengan semangat baharu, meningkatkan ketaqwaan dan memperjuangkan hak-hak kemanusiaan kapasiti kita.
Selamat Tahun Baharu 2025!
Hidup Biar Berjasa!
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (AJKP)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Sesi 2024/2025