Dalam kancah masyarakat yang sarat dengan cabaran pemikiran, mahasiswi sebagai golongan terdidik harus bangkit untuk membina jati diri dan membangun potensi diri. Seramai 70 orang aktivis mahasiswi dari seluruh pelusuk tanah air telah berkumpul di Chalet D’ Sg. Lepoh, Ulu Pangsun menghadiri Tamrin Nisa’ Kebangsaan (TNK) 2013 yang dianjurkan oleh Majlis HEWI Kebangsaan (MHK) PKPIM Pusat. Objektif utama TNK’13 adalah untuk membentuk kerjasama berpasukan di kalangan pimpinan PKPIM Pusat dan peringkat kampus serta badan gabungan negeri.
TNK’13 menjadi wadah kepada pimpinan mahasiswi untuk bertukar pandangan dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan aqidah dan fiqh wanita. Ustazah Aminah Zakaria (Tokoh Pendakwah Peringkat Negeri Selangor 2013 yang juga merupakan Mantan Naib Presiden HELWA ABIM Pusat) berbesar hati untuk menyampaikan ucaptama. Beliau menekankan para pimpinan HEWI untuk memantapkan ilmu agama dengan mencari mursyid dan mursyidah yang boleh membimbing ke arah yang lebih baik. Selain itu, beliau turut memperingatkan agar memanfaatkan jaringan yang telah terbina untuk mengerakkan misi ‘amar ma’aruf wa nahi munkar.