Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

SURVIVAL ISLAM DAN MELAYU : PASCA PILIHANRAYA

Menjelang pilihanraya umum ke 13 ini pelbagai isu dapat kita saksikan di pentas politik nasional. Antara yang menjadi perhatian kini adalah kerisauan sesetengah pihak dari kalangan akademik, NGO malah parti politik seperti UMNO akan Nasib Islam dan Melayu bakal terancam jika kerajaan diambil alih oleh Pakatan Rakyat. Persoalannya, adakah selama ini nasib Islam dan Melayu terbela di tangan Parti yang berasaskan Melayu  itu dan adakah ada jaminan bahawa tiada langsung pihak yang akan memandang serius perkara ini jika Pakatan Rakyat menang pada pilihanraya umum 13 nanti?

Islam dan Melayu Ideologi versi pihak berkuasa

Apa yang cuba disampaikan bukanlah untuk menafikan secara total apa yang kerajaan lakukan dalam usaha mengangkat martabat Islam dan Melayu. Berbagai-bagai cara dapat kita lihat dalam rangka mereka membentuk semangat cintakan Melayu dan Islam didalam wacana-wacana arus perdana seperti ceramah politik, forum di di saluran RTM, akhbar harian, program umum dan di Perhimpunan Agung Tahunan UMNO. Namun, pada hakikatnya selepas tahun 1990an, isu melayu semakin terpendam dalam agenda politik Negara. Ia akan muncul apabila haknya dipersoal kaum lain dan ketika pilihanraya dengan cara menyempitkan dimensi melayu kepada versi tertentu sahaja bagi meraih undi. Bahasa undi ini adalah gejala pembodohan rakyat yang mana rakyat yang paling tinggi populasinya ialah melayu. Rakyat tidak dibenarkan melihat selain daripada sisi melayu sang penguasa. Ideologi yang boleh dirakyatkan hanya versi pihak kerajaan. Versi-versi lain digelapkan dan diberi label subversive dan mengancam nasib melayu dan Islam.

Kini, bagi golongan elit Negara, misalnya golongan professional, cendekiawan, malah generasi muda terpelajar dan intelektual tidak tertarik dengan ‘bahasa’ sedemikian dan menganggapnya sebagai slogan politik kerajaan sahaja walaupun boleh jadi mereka ikhlas. Menurut Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), bagi pengundi muda, hanya 24 peratus maklumat diperoleh daripada TV dan 15 peratus daripada akhbar arus perdana. Pemikiran dan kegiatannya meliputi nilai-nilai, isu-isu harian, tempatan dan antarabangsa, tidak konvensional, berterusan dan transnasional. Mereka mahukan perubahan. Mereka kritikal, tetapi tidak bermakna mereka pembangkang. Anak muda yang cintakan kebenaran dan keadilan mahukan pencerahan dan perubahan. Pembebasan daripada pembelengguan ini harus dilakukan segera. Siapa sahaja yang bakal memerintah Negara tidak menjadi persoalan dan tidak menjadi kemestian mengekalkan pemerintah sedia ada. Malah selama ini pun, anak muda masih mencari pencerahan akan citra Melayu dan Islam pada sisi pandang keilmuan yang sebenar.

PKPIM dan Isu Ummat

Sejak ditubuhkan hinggalah saat ini, dasar pergerakan PKPIM, tetap berlandaskan kepadaAl-Amr bil Ma’ruf dan AN-Nahyu ‘anil Munkar, selaras dengan tujuan penciptaan manusia sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi ini. Perjuangan PKPIM tidak terbatas pada golongan pelajar tetapi lebih luas termasuk cuba mencari penyelesaian terhadap masalah ummah dan kepentingan sejagat. Dalam soal isu Islam dan Melayu yang mana sebahagian daripada isu ummat PKPIM telah mengadakan program dan memperjuangkan beberapa isu berkaitan.

Sejak dahulu sehingga kini beberapa Konvensyen Bahasa dan Perkembangan Islam telah dilakukan dengan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka yang membincangkan nasib Melayu dan Islam secara serius. Malah telah menggagaskan beberapa resolusi yang mana ada yang telah direalisasikan seperti gagasan penubuhan Universiti Islam yang diusahakan dalam Kongres Kemajuan Islam Semenanjung Malaysia pada tahun 1966.

Antara contoh lain apabila kerajaan telah membuat keputusan drastik untuk melaksanakan pepmbelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2003, PKPIM menganggap usaha ini adalah satu lagi proses yang akan menenggelamkan bahasa Melayu setelah tulisan jawi kian lupus. Maka, sejak itu sehingga kini PKPIM konsisten memperjuangkan isu ini baik dengan melakukan penerangan, seminar dan pada tahun 2008 memimpin demonstrasi Anti PPSMI.

Dengan hanya menyebut beberapa usaha kecil PKPIM dalam mengangkat martabat Melayu dan Islam sebelum ini dalam keadaan pemerintah semasa  tidak konsisten dan seringkali membuat dasar ‘kalut’, pada masa akan datang, PKPIM beriltizam untuk terus berjuang.

Kesimpulan

Melayu belum selamat…’ begitulah ungkapan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Wacana Sinar Harian siri Bicara Minda: Masa Depan Melayu dan Islam selepas PRU 13? pada 19 Januari 2013. ‘’Pas hanya memperalatkan masyarakat melayu dengan nama Islam untuk kepentingan parti untuk menang dalam pilihanraya” ujar beliau dalam wacana itu. Menurutnya juga amalan kronisme dan pertolongan kepada masyarakat melayu tidak boleh berhenti, malah perlu diteruskan demi memastikan Melayu terus unggul. Persoalannya, kronisme yang bagaimana telah menjadi amalan selama ini dan siapa yang semakin kaya dan siapa yang semakin miskin sebenarnya? Justeru, menjelang pilihanraya Umum akan datang, pemilihan siapa yang lebih meragukan harus rakyat fikirkan. Kerisauan Islam dan Melayu tidak selamat bukanlah persoalan utama kerana PKPIM, ABIM, WADAH dan juga mana-mana NGO lain yang sedar akan terus memperjuangkannya. Peranan ini telah lama dimainkan dan apa yang kerajaan Barisan Nasional risaukan ialah nasib rakyat. Dalam pertarungan politik masa terdekat ini kita sangat meraikan jika ada perubahan yang mereka lakukan. Bagi golongan pendesak seperti PKPIM, keputusan tentang politik perlu dibuat dengan tepat dan pragmatik

AZIZAN AJIJI
EXCO PENERANGAN PKPIM

ARTIKEL & BERITA PKPIM

UCAPAN KHAS TAHUN BARU 2025

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, qudwah hasanah kita sepanjang zaman. Tahun 2025 hadir sebagai [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)