Kuala Lumpur, 27 Jun 2012: Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta 550 – Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.
Frasa ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai definisi pendidikan yang ditunjangi falsafah yang tersendiri dan termaktub secara rasmi dalam undang-undang negara. Walau bagaimanapun, sistem dan pengamalan pendidikan nasional dilihat masih di takuk yang kurang memberangsangkan. Isu-isu berkaitan pendidikan, persekolahan, perguruan, keciciran pelajar dan prestasi yang merosot mengikut piawaian antarabangsa dilihat sebagai sesuatu petanda kemerosotan dan masalah besar sistem pendidikan negara.
Dalam mengupas isu ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebuah pertubuhan pelajar di peringkat Kebangsaan telah dijemput sebagai panel diskusi pada 27 Jun 2012 bagi Slot Bual Bicara Siswa dengan topik “Halatuju Pendidikan Nasional & Prospek Masa Depan Negara” di stesen radio terkemuka tanah air, IKIM.FM.
PKPIM yang diwakili presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ditemu ramah oleh DJ Faiz selama satu jam bermula jam 10 malam sehingga 11 malam. Pelbagai persoalan dan isu dibincangkan. Sambutan daripada para pendengar juga begitu meberangsangkan dengan soalan-soalan daripada pemanggil yang tidak putus-putus.
Menurut Ahmad Fahmi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini mengambil inisiatif mengadakan dialog nasional pedidikan negara yang diadakan di seluruh negara bagi memungut suara dan pendapat rakyat Malaysia nerhubung isu pendidikan. Keprihatinan dan usaha KPM ini wajar dipuji namun mahasiswa dan pelajar tidak mahu perbincangan seluruh negara ini sekadar menjadi suatu sandiwara tanpa tindakan yang konkrit dan menguntungkan.
“Persatuan pelajar dan belia wajar berpartisipasi dalam proses menggubal sistem pendidikan sedia ada yang dilihat sedang tenat dan memerlukan transformasi segera”, Katanya lagi.
PKPIM merupakan sebuah pertubuhan belia yang ditubuhkan pada tahun 1961 dan mendokong aspirasi perjuangan dakwah Islamiyah dengan memberi fokus terhadap aspek pendidikan, ilmu dan gerakerja kemasyarakatan dan kemanusiaan.