Pada saat kekalutan pemikiran dan kecelaruan sukma, manifestasi kerancuan tampak jelas dalam singkapan demi singkapan terhadap tragedi kelesuan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Negara dewasa ini. Institusi persekolahan rendah dan menengah juga tidak terkecuali daripada gelombang kecelaruan ini.
Walaupun tampak perkembangan dan pertumbuhan institusi pendidikan samada IPT mahupun sekolah-sekolah di Malaysia semakin pesat, namun kepesatan pertumbuhan ini apakah sebenarnya layak menjadi indikator keberdayaan institusi pendidikan melahirkan insan yang tercerah dan cerdas, yang diharapkan menjadi the enlightened group? atau sebaliknya kelumpuhan berlaku lantas meranapkan idea pendidikan sebagai wahana membina wibawa keintelektualan dan pencerahan pemikiran.
Dalam ucaptamanya, Tn Hj Ahmad Said meletakkan premis utama perjuangan pendidikan sebagai ‘Memanusiakan Pendidikan; Memanusiakan Kehidupan’. Beliau menyatakan pendidikan harus memainkan peranannya sebagai proses keadilan; meyantauni ‘orang yang pandai’ dan ‘orang yang tak pandai’. Bagi beliau masalah ilmu yang diajarkan hari ini tandus nilai. Ini kerana keterburuan orang Barat dalam meletakkan empat nilai tara bagi ilmu pada faham mereka; ilmu itu mesti saintifik, ilmu itu mesti objektif, ilmu itu mesti rasional, ilmu itu mesti bebas nilai.
Beliau memetik Syed Ali Ashraf yang menyatakan pendidikan sebagai proses penyuburan kasih sayang, namun atas sebab anutan faham ilmu tandus nilai bawaan Barat, segalanya telah di’mekanik’kan.
Dalam forum seterusnya yang menampilkan tiga orang panelis: Sdr Ahmad Afif Bin Ahmad Mohtari Yasim, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM; Pn. Nor Azura Bin Kamaruddin Sohami, Ketua Biro Pendidikan ABIM; Sdr. Mohd Nasir Mohd Tap, Akademi Kajian Ketamadunan membahaskan secara terperinci tentang isu-isu yang berlegar tentang kondisi pendidikan hari ini merangkumi konsep, falsafah, dan reality pengamalannya.
Ahmad Afif memulakan perbincangan dengan menyatakan pandangan anak muda terhadap pendidikan dengan mengupas terma dan konsep yang berkaitan dengan topik perbincangan ini. Beliau cuba membuktikan bahawasanya nilai pendidikan sememangnya wajar dikembalikan atas sebab kita hilang nilai dalam pengamalan pendidikan semasa. Beliau secara jelas mencabar kelompok yang tidak bersetuju dengan usaha mengembalikan nilai. Beliau juga menyinggung senario, malah mungkin tragedi ‘peperiksaan’ di sekolah rendah, sekolah menengah, malah pengajiaan tinggi.
Orientasi peperiksaan merupakan salah satu faktor penyebab hilangnya nilai sebenar pendidikan. Ketakjuban terhadap sijil dan ijazah menyelewengkan sistem pendidikan. Beliau juga mengkritik sistem pendidikan semasa yang memaksakan anak-anak didik untuk menerima nilai-nilai terseleweng dalam masyarakat dan pengamalan pendidikan semasa. Sebagai contoh, anak-anak didik dipaksakan untuk menanam cita-cita popular seperti doktor, jurutera, dan lain-lain; apa pula kata guru sekiranya anak didik bercita-cita menjadi nelayan atau petani? Semestinya akan dicemuh sebagai cita-cita yang tiada masa depan.mempamerkan manifestasi orientasi minda masyarakat yang dibelenggu keduniaan. Afif juga bertanya, mengapa mesti dalam sistem pendidikan kita perlu ada ‘bahan buangan’? Apakah para pelajar yang tidak cemerlang ‘akademik’ acuan sistem sedia ada ini perlu dikesampingkan?
Mohd Nasir Mohd Tap pula memulakan diskusi dengan pernyataan sebuah hadis Rasulullah SAW yang sentiasa diamalkan oleh para ilmuwan dan para penuntut ilmu sebelum memulakan pengajian yang dikenali sebagai musalsalah bil awwaliyah. Hadis yang mafhumnya “orang yang berkasih sayang akan disayangi oleh Yang Maha Pengasih” menjadi asas kepada ide beliau tentang pendidikan. Bagi beliau, pendidikan merupakan medan yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang. Beliau juga mengemukakan ide tentang ‘pembacaan’ dan ‘pembebasan’. Pendidikan harus bermula dengan pendidikan, yang akhirnya membebaskan manusia daripada kejahilan. Beliau juga mengkritik kecenderungan kapitalistik dalam pengamalan pendidikan yang membarah hari ini.
Nasir juga membawa para hadirin berfikir tentang impak luar biasa yang dipamerkan oleh para sahabat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya terdiri daripada kalangan orang-orang Arab yang buta huruf, tidak tahu membaca, akan tetapi mereka celik pendidikan. Mereka menerima didikan Rasulullah SAW sehinggakan orang yang buta huruf ini akhirnya mampu membuka wilayah Islam ke seluruh wilayah Arab dan seterusnya ke seluruh dunia kerana mereka celik kebenaran. Beliau juga mengaitkan celik kebenaran dengan konsep ‘literasi Tauhid’. Menurut beliau, dalam Surah al-‘Alaq, bukan sekadar ayat 1 hingga 5 sahaja yang perlu difokuskan apabila berbicara soal ilmu dan pendidikan, namun juga harus dikaitkan dengan ayat terakhir yang merupakan perintah Allah kepada manusia dan mendekatkan diri kepada-Nya. Justeru, perintah ‘iqra’ (baca) pada awal surah ini harus dinatijahkan dengan ‘sujud’ dan ‘taqarrub’ kepada Allah sebagaimana yang diperintahkan dalam surah yang sama.
Nor Azura menyarankan pendidikan akhlak sebagai asas kepada matlamat pendidikan. Perhatian kepada adab sangat penting jika dibandingkan dengan sistem, silibus, mahupun prasarana. Keikhlasan dan kekuatan ilmu seorang guru bakal mencerahkan sasaran didiknya. Beliau juga menyentuh tentang falsafah pendidikan Imam al-Ghazali yang sangat menekankan aspek akhlak. Dalam hurainnya, beliau menyenaraikan empat ibu akhlak sepertimana yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab beliau ‘Ihya` ‘Ulumuddin’; 1) al-Syaja’ah (keberanian); 2) al-‘Iffah (kesederhanaan); 3) al-Hikmah (kebijaksanaan); 4) al-‘Adalah (keadilan).
Para panelis bersepakat tentang perlunya nilai pendidikan dikembalikan. Kehilangan nilai pendidikan jelas termanifestasi pada pengamalannya seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Tekanan industri menjadikan pendidikan sebagai bahan dagangan dan komoditi, sedangkan pendidikan asalnya merupakan suatu medan mengangkat martabat insan dengan kemuliaan ilmu. Makna dan nilai pendidikan seharusnya menjadi suatu yang jelas bagi pemerintah, ahli akademik dan pentadbir institusi pendidikan.
Kegagalan memahami nilai pendidikan akan menjerumuskan masyarakat terpelajar ke dalam kancah kekeliruan yang akhirnya membuahkan tindakan-tindakan tanpa moral; para birokrat yang korup, penyelewengan dan salah gunakuasa, jenayah kolar putih dan sebagainya. Makna pendidikan perlu difahami dan nilai pendidikan wajar dikembalikan! Kesimpulannya, pendidikan bukan alat memuaskan kehendak industri, pendidikan bukan semata-mata sekolah atau pusat latihan untuk pekerja-pekerja. Pendidikan adalah suatu yang suci. Pendidikan mengajarkan manusia memahami kehidupan, mengenali kehebatan perjalanan jagatraya, mengenang kehebatan Pencipta dan menghargai setiap detik di dalam kehidupannya
Diskusi dihadiri oleh lebih 40 orang mahasiswa, pensyarah, aktivis masyarakat dan masyarakat awam. Wacana berlangsung selama lebih dua jam dan rakaman wacana ilmiah ini boleh diakses di http://www.ustream.tv/channel/pkpim-media dan http://www.mobtv.my/talkshow-974.html.