Pada 20 September yang lepas, PKPIM telah mengadakan bedah siasat membincangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia di Dewan ABIM. Ini adalah usaha penerus kepada Kongres Pelajar yang telah diadakan Julai lalu. Antara perkara yang dibincang adalah perancangan kementerian yang lebih bersifat mengambil jalan selamat dan tidak ada perkara yang radikal yang mahu diubah walaupun mereka sedar kelemahan sistem. Perbincangan akhirnya menghasilkan 3 resolusi iaitu menilai kurikulum dan kaedah pengajaran, sistem yang lebih teratur dan dinamik dan pembinaan guru yang berkualiti dan bersemangat.
Kaedah pengajaran dirasakan perlu dibahagikan kepada 4 peringkat dimana setiap mempunyai cara yang berbeza. Ini disebabkan mentaliti dan kematangan yang berbeza dan tidak boleh dipaksakan kaedah mengajar kanak – kanak kepada remaja. Berkenaan dengan sistem pula kementerian perlulah mempunyai keazaman dan keyakinan untuk mengubah sistem yang lebih baik. Perlulah dipertimbang antara kehendak popular dan juga perkara yang penting terutamanya dari sudut perpaduan. Guru yang menjadi tunjang pembinaan pula dirasakan terlalu dibebankan dengan tugas pentadbiran. Oleh itu, PKPIM bersetuju dengan langkah kementerian yang menekankan pembangunan karier guru supaya ianya lebih diminati ramai bakal graduan.
Pada 10 Oktober pula Sekolah Massa Kelas Ekonomi pula dianjurkan oleh PKPIM untuk membincangkan kesan Bajet 2013 ke atas masyrakat khasnya mahasiswa. Pembentang yang hadir adalah Dr Asyraf Wajdi iaitu mantan Presiden PKPIM dan juga pakar ekonomi disamping Saudara Ameer Ali Mohamed dari ASM Investment. Dr Asyraf Wajdi menerangkan kepada khalayak berkenaan kepentingan belanjawan iaitu berbelanja dalam keadaan tidak boros dan juga tidak kedekut. Saudara Ameer Ali lebih memfokuskan tentang pentingnya kerajaan mengurangkan hutan negara yang sekarang sudah mencapai lebih setengah trilion ringgit. Akhirnya kelas diakhiri dengan persetujuan daripada kedua-dua pembentang bahawa baik belanjawan dari BN atau PR keduanya-duanya berhasrat mahu meraih undi.
Disediakan oleh
Mohammad Syazwannuddin bin Shaharuddin
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM 2012/2013