Sudah tentu menjadi satu kelucuan apabila seseorang yang mengaku dirinya sebagai ahli gerakan Islam melakukan perkara yang seringkali dilakukan oleh orang-orang kebanyakan (mereka yang tidak menyertai gerakan Islam). Sebagai contoh, andainya ahli gerakan Islam itu dalam kalangan pelajar, tugasannya dilakukan dengan meniru, atau verbatim daripada sumber-sumber di laman maya, gagal dalam pelajaran atas sebab malas mengulangkaji (beralasan sibuk dsb), dan untuk umum; menonton pornografi, ber’sayang’, ‘I-You’, ‘dear’, ‘honey’ dalam panggilan telefon atau SMS sesama lelaki dan wanita yang bukan mahram, hadir lewat ke tempat bertugas dan sebagainya; dan sudah tentu yang paling teruk, andai mereka yang bergelar ahli gerakan Islam itu tidak ubah seperti burung kakak tua—mengulang-sorak menjaja maklumat-maklumat yang pada hakikatnya tidak digapai maknanya dan dihadami tujuannya.
Sebelum kita pergi lebih jauh, ayuh kita lihat semula definisi dua perkataan ini iaitu ‘Gerakan Islam’ dan ‘Ahli gerakan Islam’ secara spekulatif dan rasional.
Gerakan Islam, atau lebih dikenali sebagai Harakah Islamiyyah merupakan satu gerakan pemberdayaan orang-orang kebanyakan dan orang-orang bukan kebanyakan (yang turut serta dalam agenda gerakan Islam, tetapi perlaksanaannya mungkin tidak begitu kena) yang bermisikan Pencerahan, Pembebasan dan Perubahan.
Pencerahan adalah satu misi meletakkan kembali sumber cahaya yang benar, yang sifatnya menerangi sepanjang masa. Sudah tentu, andai cahaya yang diletakkan itu sekadar mirip lilin, ia akan padam andai ditiup angina atau apabila sudah terbakar seluruh badannya. Cahaya yang ingin diletakkan harus mantap, berdaya dan mampu mencerahkan sudut-sudut yang gelap dan kelam dalam hati nurani seseorang insan itu, dan bahkan mampu memberdayakannya untuk menjadi ‘bebas’ daripada belenggu kejahilan nan kelam, yang begitu kurang kita sedari telah mencemari dan membingungkan sekalian banyaknya tindakan dan keputusan insan masani. Tidak salah kalau kita katakan bahawa Budaya Ilmu yang seharusnya menjadi tunjang utama sesebuah gerakan Islam adalah penyokong kuat ke arah kejayaan misi yang pertama ini.
Misi seterusnya iaitu Pembebasan, adalah satu manifestasi hasil daripada keberjayaan misi yang pertama. Bagi sesetengah orang, pembebasan seharusnya bersifat besar, tampak dan boleh dinilai. Sebagai contoh, seseorang itu harus dibebaskan daripada belenggu kemiskinan, ketakutan, penghambaan kepada manusia yang lain, dan sebagainya. Namun, kebebasan sebenar adalah apabila seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada belenggu kejahilan, kegelapan, kekelaman dan kekalutan nubari sendiri. Kita tidak boleh katakan andai seseorang itu telah terlepas dari belenggu kemiskinan maka dia akan tidak menjadi mirip kapitalis; andai terlepas dari belenggu ketakutan dia tidak pula akan menyalahgunakan kuasa menindas yang lemah dan memperhambakan mereka. Sedangkan, meskipun seseorang itu terbelenggu dalam belenggu apa sekalipun, andai dia bebas dalam tempat yang paling tidak bisa disentuh oleh sesiapa pun (melainkan oleh Allah S.W.T dan sesiapa yang diizinkan-Nya) iaitu dirinya sendiri pasti tidak terbelenggu dan terhimpit oleh apa pun dugaan seperti Bilal bin Rabah, si Hamba yang Merdeka dengan kalimah ‘Ahad’.
Pencerahan dan Pembebasan akan menghasilkan Perubahan. Perubahan yang dimaksudkan di sini adalah perubahan skala kecil yang bermula daripada peringkat individu. Perubahan besar yang lain adalah hasil daripada usaha-usaha individu yang sudah tercerah, terbebas dan terubah itu. Gerakan Islam seharusnya bermula merubah individu yang kelak apabila melakukan perubahan yang besar dan berjaya—katakanlah dalam agenda pendidikan dan menjadi orang besar dalam dunia pendidikan—maka dia tidak akan berlaku khianat, seleweng dan dalam masa yang sama dapat menyebarluaskan manfaat dari dirinya kepada masyarakat sekelilingnya. Perubahan besar kepada individu ini dapat kita lihat pada perubahan diri yang berlaku ke atas Saidina Umar al-Khattab; yang di kala tidak Islamnya bengis dan digeruni, dan apabila masuk Islam masih bengis dan digeruni juga—tidak pula jadi lembik, tunduk dan mencicit ketakutan apabila diserang musuh—namun sifat bengis dan digeruninya itu bukan lagi dinyalakan oleh nyalarasa dalam hati yang gelap dan kelam-kabut pandangan alamnya, sebaliknya dinyalakan oleh hati nurani yang tercerah dengan pengenalan kembali kepada hakikat dirinya dan pandangan alam mengenai tempat letak duduk bengis dan kegerunan yang jelas dalam Islam. Perubahan beginilah yang kita mahukan berlaku dalam umat masani. Dan hakikatnya, kita boleh katakan ketiga-tiga misi besar ini adalah satu agenda Pengembalian (Inggeris: Returning, Arab: Al-Raj’u) manusia kepada fitrahnya.
Justeru sesuatu gerakan, tanpa mengira apa nama dan labelnya, seandainya ia setia melakukan dan melaksanakan agenda Pengembalian ini, maka selayaknya ia digelarkan sebagai gerakan Islam.
Ahli gerakan Islam merupakan golongan yang begitu sinonim dengan perlambangan “The conscious of the majority”, atau dalam bahasa Melayu “Kelompok yang sedar dalam kalangan masyarakatnya”. Ahli adalah satu komponen penting dalam sesebuah organisasi kerana tanpa ahli, tiada bergerak ia. Dan, pergerakan sesebuah organisasi atau gerakan itu juga sangat bergantung pada ahlinya—seandainya mereka itu zalim, maka bengkang-bengkoklah dipandu organisasi tersebut; andai adil, maka luruslah di atas jalan kebenaran dan keadilan. Lihat perlambangan yang dikenakan kepada ahli gerakan Islam, mereka (seharusnya) adalah kelompok yang ‘sedar’. Sedar di sini bukanlah satu indikasi atau penunjuk kepada satu kesedaran yang lahir daripada naluri kemanusiaan melihat kebobrokan dan kesusahan yang melingkari golongan mustadh’afin semata-mata, tetapi kesedaran yang dimaksudkan adalah kesedaran yang dimaknai oleh ilmu yang jelas; perihal tempat letak duduk awal dan terkemudian, yang utama dan selepasnya, yang bermanfaat dan tidak bermanfaat—yang dihasilkan oleh misi Pencerahan itu juga, yang seterusnya membebaskan dirinya daripada belenggu kejahilan dan kelam kalut yang menghalang diri daripada melihat kebenaran dan sesudah itu terjadi Perubahan ke atas dirinya.
Seorang ahli gerakan Islam yang sudah ter’kembali’, sudah tentu tidak akan membiarkan kerosakan berlaku di sekelilingnya. Tatkala ini wajar kita tamsilkan seseorang yang telah tercerah, terubah dan terbebas akan menjadi pelita cahaya penerang bagi kegelapan yang berlaku dalam diri setiap ahli masyarakat. Perubahan ini sudah tentulah tidak statik; sebaliknya merebak dan menyinari ke seluruh penjuru yang dihadiri oleh para ahli gerakan Islam tersebut.
Atas memahami makna inilah dapat kita lihat kehebatan para penggerak gerakan Islam masa lalu; yang lebih jauh daripada zaman al-Banna, al-Maududi, al-Afghani, Khomeini dan lain-lain iaitu Rasulullah S.A.W. Sememangnya ketika itu Islam tidak memerlukan sesuatu yang bergelar ‘gerakan’ kerana sememangnya sudah sedia maklum semua Muslimin ketika itu adalah ahli Islam; tetapi lihat qudwah dan model yang sedia ada ini—berjaya dan sempurna dalam satu zaman yang tidak berkemudahan seperti kita hari ini.
KEROSAKAN MAKNA DIRI PADA AHLI PENGGERAK ISLAM
Semua orang harus sedar; kita sememangnya dilahirkan sebagai seorang ‘Muslim (hamba) sepenuh masa’. Tiada Muslim yang imannya sepatutnya sekadar ketika solat, dan dicampak sesudahnya; atau beriman di khalayak, fasiq dan kufur di sendiriannya. Sedangkan ketika bernafas kita begitu meminta sebagai seorang Muslim (hamba) kepada Tuhan akan oksigen, maka mengapa di selain perbuatan bernafas itu kita harus menjadi fasiq atau kufur?
Ayuh kita lihat beberapa situasi berikut:
Ini adalah satu tanda kekeliruan yang amat yang berlaku pada seseorang yang mengakui dirinya sebagai ahli gerakan Islam. Seolah-olah kerja-kerja dakwahnya itu seperti pekerjaan biasa, ada syif dan tempoh kerja yang khusus. Maka, apabila dia berseorangan tanpa golongan pendengar pesanan, tugasnya sudah tamat—atau tempoh jawatan yang dipegangnya—maka dirinya sudah tidak lagi menjadi ‘ahli gerakan Islam’. Dirinya kembali kepada keadaan diri yang tidak sepatutnya; dan lalu menimbulkan persoalan, apakah ahli gerakan Islam tersebut melakukan usaha dan agenda Pengembalian itu kepada orang lain tetapi tidak kepada dirinya?
Dakwah bukanlah satu konsep deprivation atau kehilangan. Dalam contoh yang lain, tidak bermakna seseorang itu berdakwah kepada orang lain sepanjang masa, sehingga masanya untuk memperkukuh dan memperutuh ilmu dan pengetahuannya akan Islam, amal ibadatnya, kekuatan peribadinya jasmani dan ruhani terabai. Dakwah adalah konsep menyeru dan memperoleh sesuatu—dan sesuatu itulah yang dikatakan sebagai Pencerahan-Pembebasan-Perubahan itu! Konsep inilah yang begitu jarang difahami oleh kebanyakan penggerak gerakan Islam pada hari ini. Perubahan dengan cara dan rentak beginilah yang kurang difahami dan dimesrai oleh kebanyakan ahli gerakan Islam kerana kebanyakannya mempercayai bahawa perubahan hanyalah satu bentuk transformasi, pembaharuan, kemajuan, dan tiada kaitan dengan Pengembalian.
Tidak bermakna apabila kita katakan agenda Pengembalian ini berpusat kepada individu—insan—maka hasil akhirnya juga terhad semata-mata kepada tahap itu. Perubahan yang lebih besar dan bersifat luas adalah hasil daripada kerja-kerja mereka yang mengalami proses Pengembalian tersebut. Kita dapat ambil contoh daripada kisah-kisah para sahabat, yang dahulunya terkenal dengan sisi yang lain seperti Umar al-Khattab, Abu Dzar al-Ghifari dan lain-lain yang kemudiannya menjadi tunggak utama dalam Islam. Tidak dilupakan juga generasi Salahuddin yang terdidik jauh oleh Imam al-Ghazzali, yang mana mereka ini bukan kutipan jalanan, diajak dan dipidato agar menyertai perperangan; semangat mereka dinyalakan oleh kekejaman ketidakadilan dan kebobrokan dan diapi-apikan secara gopoh seperti yang banyak tertayang pada filem-filem Barat, tetapi mereka ini disedarkan oleh satu kesedaran yang mendalam. Semangat untuk berperang itu lahirnya daripada dalam lubuk hati, dan kata-kata semangat Salahuddin hanyalah angina meniup lagi besar api semangat tersebut.
Ahli gerakan Islam harus kembali mengenal diri. Dengan mengatakan ini, tidak bermakna langsung perlu duduk bersila di atas sejadah berzikir semata-mata. Ahli gerakan Islam harus sedar hakikat kejadian insan ini senantiasa perlu sibuk, senantiasa perlu penat. Sedangkan hendak mengharap gaji yang nilainya tidak setara dengan satu jari kita pun kita sanggup berpenat-penatan, inikan pula hendak menempah tanah di daerah abadi nun di sana. Ahli gerakan Islam seharusnya sedar dan tahu akan apa yang perlu dan yang tidak, yang bermanfaat dan yang tidak, yang utama dan yang tidak. Ahli gerakan Islam harus memaknai (mengenal) dirinya dengan makna hamba. Hakikatnya, ahli gerakan Islam adalah sememangnya hamba. Seorang hamba, diperintah dan dilarang oleh Tuannya; dan dia wajib mematuhinya. Seorang hamba akan cuba memenuhi tuntutan Tuannya, di setiap saat dan ketika. Bahkan, hamba tersebut akan berasa takut andai terlewat, tersilap mahupun terlupa dalam menunaikan tanggungjawabnya kepada Tuannya.
Tarikan berada di jalan gerakan Islam tidak seperti berada di dalam persatuan-persatuan universiti. Sekolot-kolot aktiviti dan agendanya, pelajar akan menyertai kerana inginkan catatan yang baik pada Curriculum Vitae; jawatan dan populariti; menimba pengalaman baru; anugerah universiti dan pelbagai lagi. Setelah tamat tempoh jawatan, pelajar tersebut—kebiasaannya—tidak lagi merasa keterikatan dan tanggungjawab terhadap persatuan tersebut. Berbeza dengan gerakan Islam, yang mengikat dan menaut hati seseorang itu sudah tentu ternyata bukan program-program, jawatan-jawatan apatah lagi ganjaran-ganjaran (kerana kadang-kadang, ahli sendiri perlu mengganjarkan gerakan ini!). Jadi, apakah yang menjadi pengikatnya? Apakah yang menjadi penerbit semangat dan rasa juang mengembalikan semula manusia kepada pengenalan yang benar mengenai hakikat kewujudannya?
Ayuh nilai semula diri kita. Adakah kita ini termasuk dalam kalangan mereka yang mengaku berjuang, tetapi di setiap lelah perjuangan itu kita menghadiahkan diri kita hiburan, membisikkan kepada diri “tidak salah aku melakukan sekali dosa kerana aku sudah melakukan kebaikan yang banyak” dan sebagainya. Adakah kita juga antara yang berjuang dengan rasa kosong, dan di setiap kali lelah seringkali pula merasa tidak berbaloi dan berfikir ada baiknya aku jadi orang kebanyakan? Adakah juga kita ini yang gagal melihat matlamat jauh perjuangan Islam yang sebenar dan terkadang meniru sosok dan budaya mereka yang sepatutnya kita tentang?
Perjuangan kita senantiasa bertapak dan tidak pernah tamat, dan ia tidak kosong dan di dunia semata-mata. Untuk memahami itu, ternyata memerlukan usaha yang lebih; bukan sekadar meluang masa di laman maya.
Syed Putra Iqmal al-Jamalullail
Exco Dakwah dan Tarbiyyah PKPIM 2011/2012