Seminar Sains Ketamadunan yang dianjurkan selama dua hari (bermula 11 Mac sehingga 12 Mac 2014) oleh Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) adalah merupakan suatu usaha susulan oleh pihak akademi sebagai langkah awal kajian dan penyelidikan untuk membangun sebuah disiplin ilmu yang dikenali sebagai ‘Sains Ketamadunan’.
Seminar ini memfokus pada pengungkapan faktor-faktor pembangunan tamadun dengan melibatkan aspek-aspek yang pelbagai. Data-data yang terkumpul akan diproses untuk langkah ke arah mengkonsepsi sebuah disiplin ilmu ‘Sains Ketamadunan’.
Oleh yang demikian, seminar ini telah membahas sepuluh makalah ilmiah yang dibentangkan oleh para pengkaji dengan tema-tema seperti berikut: 1) “Sains Ketamadunan: Suatu Penerokaan Baharu Disiplin Ilmu”; 2) “Sains Ketamadunan dalam Pemikiran & Peradaban Bangsa-bangsa Dunia”; 3) “Ekonomi & Perundangan dalam Membangun Ketamadunan”; 4) “Ketamadunan dalam Falsafah Pemikiran Barat”; 5) “Falsafah Sains dan Pendekatan Sosiologi dalam Pembentukan Sains Ketamadunan”.
Prinsip Profetik dalam Pengkajian Tamadun: Meninjau Kaedah Penyelidikan yang Sesuai
Sidang pembentangan pertama dengan tema “Sains Ketamadunan: Suatu Penerokaan Baharu Disiplin Ilmu” menampilkan satu makalah yang dibentangkan oleh Dr. Ghazali Basri, Pengarah Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), Sains Ketamadunan: Ke Arah Pembentukan Paradigma. Beliau percaya bahawa tamadun itu bersifat bersyarat (conditional), bukan bersifat organik atau cyclical. Ini bermakna, sesuatu tamadun itu akan terus hidup dan berkembang sekiranya memenuhi syarat-syarat ketamadunan. Pandangan beliau ini cuba untuk menafikan sebahagian teori ketamadunan Barat tentang bangun dan jatuhnya sesebuah tamadun dengan ‘cyclical theory’ seperti yang dibangunkan oleh Oswald Spengler dan Arnold Toynbee.
Dr. Ghazali juga menyatakan bahawa Tamadun Islam terbangun dengan bersumberkan wahyu. Di samping itu juga, tamadun Islam tertegak di atas prinsip-prinsip ‘profetik’. Istilah profetik, menurut beliau dipinjam daripada istilah yang diperkenalkan oleh seorang sarjana Indonesia yang merupakan rakan beliau, Kuntowijoyo. Profetik yang dimaksudkan ialah prinsip pengkajian tamadun yang bersumberkan wahyu kerana bagi beliau sumber ini lebih tinggi nilai kesahan (validity) dan kebolehpercayaannya (reliability). Dalam erti kata lain, pengkajian tentang tamadun wajar bermula daripada sumber yang bersifat a priori seperti wahyu dan dibangunkan secara induktif.
Sidang 2: Peranan Bangsa-bangsa Dunia dalam Pembangunan Tamadun
Sidang kedua: “Sains Ketamadunan dalam Pemikiran & Peradaban Bangsa-bangsa Dunia” membawakan tiga buah makalah yang dibentangkan oleh tiga orang pengkaji tamadun bagi bangsa Melayu, Cina dan India. Sdr. Wan Kamal Nadzif Wan Jamil dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, membentangkan hasil kajian beliau bertajukTamadun Bangsa Melayu dan Orang Jawi Menurut Kitab Turath Arab, manakala Dr. Tee Boon Chuan dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) membentangkan makalah berjudul Sains Ketamadunan: Ensiklopedia Malaysia dan Historiografi Konfusianisme oeh Dr. Tee Boon Chuan (UTAR). Prof. Dr. Rajentheran dari Universiti Malaya (UM) pula membahaskan makalah beliau bertajuk Sains Ketamadunan Dalam Peradaban India: Proses Indianisasi Di Asia Tenggara.
Ketamadunan Bangsa Melayu Sudah Dikenali Dunia Sekian Lama
Hasil kajian Sdr. Wan Kamal Nadzif Wan Jamil dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM bertajuk Tamadun Bangsa Melayu dan Orang Jawi Menurut Kitab Turath Arab, dibentangkan sebagai pembuka bagi sidang kedua ini. Dalam kajian tersebut, beliau mendapati bahawa hubungan antara orang Arab dengan orang melayu sudah berlangsung sekian lama, berkemungkinan sejak sebelum kedatangan Islam pada abad ke-7 Masihi. Dalam masa yang sama, Tamadun Melayu sejak abad ke-7 Masihi telahpun menjalinkan hubungan dengan tamadun lain. Salasilah orang Melayu dan istilah orang ‘Jawi’ juga dibahaskan dalam sesi pembentangan ini.
Beliau cuba merungkai istilah Jawi dan membuat salingkaitan istilah tersebut dengan bangsa Melayu dan negeri Semenanjung Tanah Melayu. Penelitian beliau dibuat terhadap kitab-kitab Arab mengenai sejarah (Tarikh), negara (Buldan), keturunan (Ansab) dan bahasa (Lughah) yang menggunakan perkataan Jawi dalam beberapa bentuk antaranya orang-orang Jawi (al-Jawiyyun), semenanjung tanah Jawi (mul Jawah), negara Jawi (bilad Jawah), anak cucu keturunan Jawi (bani Jawi) dan lembah yang luas (al-Jawa’).
Beliau membuat kesimpulan bahawa istilah Jawi memang merujuk kepada suatu rumpun bangsa yang mendiami alam Melayu. Bangsa ini mempunyai jaringan dan hubungan dengan bangsa Arab sejak sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutuskan. Kelebihan dan kemahiran orang Jawi (Melayu) dalam beberapa aspek ketamadunan menjadikan mereka sebuah komuniti yang dikenali dunia dari sudut ekonomi khususnya perdagangan laut, sistem politik kesultanan dengan pentadbirannya serta lanskap sosial masyarakatnya.
Model Sains Ketamadunan dengan Kerangka Tradisi Historiografi Konfusianisme
Pembentangan diteruskan dengan makalah yang seterusnya bertajuk Sains Ketamadunan: Ensiklopedia Malaysia dan Historiografi Konfusianisme oleh Dr. Tee Boon Chuan (UTAR). Beliau cuba melakukan perbandingan antara Ensiklopedia Malaysia yang pernah diterbitkan sebanyak 16 jilid dengan karya historiografi Konfusianis Zheng Qiao berjudulPenghubungan Sejarah. Beliau cuba mendefinisikan dan mencirikan ‘sains ketamadunan’ dengan empat model: kerangka filologi; kerangka biografi; kerangka penginstitusian dan kerangka peradaban. Perbandingan yang beliau lakukan antara Ensiklopedia Malaysia dengan Historiografi Konfusianisme ‘Penghubungan Sejarah’ ini jatuh dalam kategori model ketiga sains ketamadunan: kerangka Penginstitusian.
Antara prinsip asas dalam model ini ialah pendekatan ‘penghubungan’ dan ‘penginstitusian’. Dua aspek ini merupakan metodologi penulisan kitab Penghubungan Sejarah oleh Zheng Qiao. Dr. Tee cuba menghubungkaitkan antara kaedah ‘penghubungan’ dan ‘penginstitusian’ dalam tradisi historiografi Konfusianisme dengan Ensiklopedia Malaysia sebagai model Sains Ketamadunan dengan kerangka penginsititusian. Sudah pasti, ini sesuatu yang baru dan menarik untuk dikaji walaupun kerangka penulisan Ensiklopedia Malaysia secara past tidak mengikut kaedah ‘penghubungan’ dan ‘penginstitusian’ seperti yang berlaku dalam tradisi penulisan Konfusianisme.
The Encyclopedia of Malaysia adalah sebuah projek yang merangkumi 16 aspek kepelbagaian khazanah dan ketamadunan Malaysia diusahakan bertujuan memberikan gambaran umum yang menyeluruh tentang peradaban Malaysia. Projek ini memakan masa penyempurnaan yang agak panjang iaitu kira-kira 30 tahun dari tahun 1985 hingga penerbitan jilid terakhir pada tahun 2011. Walaupun begitu, menurut Dr. Tee, dari sudut ‘kesaintifikan’, Ensiklopedia Malaysia masih perlu kepada pembaikan, khasnya apabila ia dibandingkan dengan kitab Penghubungan Sejarah dalam tradisi Konfusianisme.
Menyingkap Keunikan Tamadun Melayu dan Pengaruh Indianisasi
Prof. Dr. Rajentheran dari Universiti Malaya (UM) pula membahaskan makalah beliau bertajuk Sains Ketamadunan Dalam Peradaban India: Proses Indianisasi Di Asia Tenggara.Premis awal beliau dalam pembentangan ini ialah penyerapan kebudayaan – penyerapan nilai-nilai kebudayaan tinggi kepada kebudayaan yang rendah sesuatu kawasan atau tamadun – tidak boleh diterima. Dalam erti kata lain, proses Indianisasi di Asia Tenggara yang pernah berlaku suatu ketika dahulu tidak bermakna masyarakat Melayu di Asia Tenggara sebagai masyarakat bertamadun rendah yang menyerap kebudayaan tinggi dari India. Tetapi penyerapan yang berlaku adalah merupakan penyerapan yang aspek tertentu yang terpilih.
Ini bermakna, penyerapan budaya ini berlaku dalam keadaan sukarela – tidak secara terpaksa. Masyarakat di rantau ini sendiri yang memilih aspek-aspek tertentu (tidak semua) kebudayaan India dan diserap serta disesuaikan dengan kebudayaan setempat. Sebagai contoh, dalam mengeuhkan konsep kemuliaan dan ketinggian raja-raja Melayu, mereka sendiri telah mengundang para Bahmin dari India untuk melakukan upacara pertabalan Raja menurut tradisi Hindu dan menerapkan konsep devaraja, mikro-kosmos dan makro-kosmos dalam pemerintahan mereka.
Sidang 3: Kompleksiti Aspek Ekonomi dan Perundangan Dalam Realiti Ketamadunan
Sidang ketiga membawa perbahasan tentang dua aspek penting dalam ketamadunan: ekonomi dan perundangan. Sdr. Muhammad Harunrashid Bin Thelatha, calon sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membahaskan topik Ekonomi dan Ketamadunanmanakalah satu lagi makalah berkaitan hal ehwal perundangan bertajuk Khilafah atau Negara Bangsa?: Penyesuaian Undang-Undang Antarabangsa Moden Dalam Membina Semula Ketamadunan Ummah dibentangkan oleh Dr. Haniff Ahamat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Perkembangan Ekonomi Matawang sebagai Penanda Aras Perkembangan Tamadun
Dalam sejarah Kerajaan Melayu kuno, ditemukan artifak matawang yang mempunyai ciri-ciri khas kerajaan tertentu. Sudah semestinya penggunaan matawang dalam masa tersebut merupakan suatu pencapaian ketamadunan tinggi Bangsa Melayu. Sdr. Harunrasyid Thelata cuba menyingkap sejarah pengunaan matawang dalam sejarah ketamadunan dunia dan juga tamadun bangsa Melayu. Kritikan beliau terhadap pengunaan wang fiat sebagai sistem matawang yang diterima dalam pengamalan dan tatacara ekonomi dunia hari ini dilihat begitu relevan.
Masalah ekonomi dunia hari ini mungkin berlaku atas sebab kebobrokan dan kerakusan sesetengah golongan kapitalis akhirnya meranapkan keseluruhan sistem ekonomi dunia yang bersalingan. Aspek ekonomi dan ketamadunan yang sangat luas ini cuba dikembangkan lagi dengan memodelkan konsep ekonomi alternatif yang mungkin dapat mengendurkan ketegangan permasalah ekonomi dunia dewasa ini.
Manipulasi Fleksibiliti Konsep Negara Bangsa dalam Membina Ketamadunan Ummah
Dr. Haniff Ahamat, akademia di Uniersiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya secara praktikal dan realistiknya, konsep Negara Bangsa yang diamalkan dalam dunia global hari ini mampu dimanfaatkan dalam pembinaan ketamadunan Ummah.
Makalah bertajuk Khilafah atau Negara Bangsa?: Penyesuaian Undang-Undang Antarabangsa Moden Dalam Membina Semula Ketamadunan Ummah ini cuba menjalin-hubungkan cabaran perundangan antarabangsa dengan penubuhan sistem politik khalifah. Beliau menggariskan tiga cabaran utama dalam pembinaan sistem khalifah: cabaran historikal, cabaran perundangan dan cabaran struktural. Dalam sejarah, sistem khalifah muncul dalam sistem politik dunia yang terpisah satu dengan yang lain. Dalam realiti dunia yang global hari ini dengan cengkaman kuasa besar dunia yang lain, cabaran perundangan antarabangsa adalah antara aspek yang paling menggugat idea penubuhan khalifah. Justeru, dalam realiti semasa, bentuk dan struktur sistem khalifah itu memerlukan kepada penyesuaian tertentu yang signifikan.
Konsep negara bangsa (nation state) ini diwujudkan dalam negara Eropah dan kemudiannya melebar-luas dan digunapakai oleh keseluruhan negara dunia selepas era Imperialisme Barat. Walaupun tiada konsep yang jelas menurut tradisi politik dan perundangan Islam, tetapi ia masih dalam ruang lingkup perkara yang diharuskan. Justeru, fleksibiliti konsep negara bangsa ini cuba dikemukan oleh Dr. Haniff dalam usah re-orientasi politik ummat Islam secara menyeluruh di seluruh dunia.
Sidang 4: Sains Ketamadunan dalam Pemikiran Falsafah Barat
Sdr. Fauzi Naeim (Uni-KL MIIT) dan Dr. Alinor Abdul Kadir (AKK) merupakan dua orang pembentang dalam sidang ini. Mereka cuba menyingkap tatacara dan gagasan pemikiran falsafah dua orang tokoh falsafah Barat yang berpengaruh: Martin Heidegger dan GWF Hegel. Realiti tamadun global dunia semasa ini banyak dipengaruhi oleh pemikiran materialis Barat yang begitu mendominasi. Justeru, adalah menjadi suatu yang wajar agar trend pemikiran falsafah Barat ini dapat diteroka dan dibahaskan.
Martin Heidegger dan Falsafah Ontologi Kebendaan Barat
Sdr. Fauzi Naeim meletakkan premis “membaca Heidegger bermakna membaca kritik beliau terhadap falsafah materialisme Barat”. Dalam pemikiran falsafah Heidegger, teknologi mempengaruhi manusia dalam banyak aspek kehidupan harian yang akhirnya menjadi rutin tanpa sedar. Pemikiran Heidegger berlangsung dalam satu suasana di manafenomenologi (penampilan benda di ruang persepsi dan kesedaran) + ontologi (apa-yang-ada) + hermeneutik (interpretasi) = intipati keberadaan (sein).‟ Bagi Heidegger, ontologisein merupakan satu permasalahan yang wajib dikaji dan dalam konteks tamadun semasa ini, sein dalam persepsi praktikal seorang manusia banyak dipengaruhi oleh teknologi moden yang akhirnya menatijahkan pembelengguan terhadap diri manusia itu sendiri.
Ontologi Sein ini membawa kepada penatijahan Ge-Stell (framing/ pembingkaian) diri manusia terhadap teknologi moden. Menurut Heidegger, sejarah tamadun manusia dikembangkan dengan eksploitasi manusia terhadap makhluk lain. Justeru, idea ketamadunannya sangat berkait rapat dengan idea eksploitasi. Dan putaran ganas eksploitasi ini akhirnya menjadikan manusia itu sendiri terperangkap dalam mekanisme eksploitasi yang diciptanya. Oleh yang demikian, melihat kepada bahana eksploitasi dalam pembinaan tamadun, beliau mencadangkan keperluan untuk mewujudkan mekanisme kelestarian dan ‘menetap bersama’ (co-existence) antara manusia dengan alam.
Hegel dan Gagasan Kenegaraannya: Dialektika Sebuah Negara Ideal
Dr. Alinor Abdul Kadir (AKK) meneruskan perbahasan ketamadunan dari perspektif Barat dengan menyingkap idea ketamadunan GWF Hegel, seorang tokoh pemikir dan failasuf Barat yang dikatakan sebagai Bapa Sains Sosial moden Barat.
Menurut Dr. Alinor, Hegel telah menggariskan enam aspek kenegaraannya: 1) KonsepKenegaraan – menurut Hegel, segala kegiatan dan aktiviti manusia dalam sesebuah negara mestilah dipusatkan kepada pembangunan negara tersebut. Dalam erti kata lain, kebahagian masyarakat dalam negara sangat berkait rapat dengan pembangunan negara tersebut; 2) Peperangan – merupakan manifestasi kewujudan dan keterujian sesebuah negara; 3) Negara Bebas daripada Tanggungjawab Moral – Negara adalah segala-galanya dalam pemikiran kenegaraan Hegel. Oleh yang demikian, keutuhan sesebuah negara adalah menjadi prioriti, walau dengan apa cara sekalipun demi kebahagiaan negara dan masyarakatnya; 4) Peperangan adalah Beretika – Peperangan adalah suatu lumrah dan keperluannya adalah suatu fitrah manusiawi, dan itu sewajarnya diterima; 5) Bersifat Sejagat – manusia dalam sesuatu negara perlu terus menerus membaiki sebarang kerosakan dan kelompongan bagi mengembangkan kehidupan yang lebih baik. Masyarakat sesebuah negara mesti memahami kondisi dan kehendak zaman, membangun semangat zaman dan tidak hanya terperangkap dalam kepompong konservatif masing-masing; dan 6) Kehidupan yang Mencabar – Warga sesebuah negara perlu tahan lasak menghadapi cabaran kehidupan dan berkehendak melalui kehidupan yang sukar dan mencabar, kerana dengan cara itu sahajalah yang akan memungkinkan kompetensi terbangun dan kebahagian bagi negara terus terlestari.
Pemikiran dan falsafah kenegaraan Hegel ini diceduk daripada koleksi karya beliau berkisar karya beliau Grundlinien der Philosophie des Rechts (1820) yang menyingkap prinsip dan asas-asas pembinaan negara yang begitu berakait rapat dengan renungan beliau terhadap trend pertumbuhan negara-negara besar dalam sejarah tamadun dunia.
Sidang 5: Ketamadunan dalam Perkembangan Disiplin Ilmu Astronomi dan Sains Sosial
Sidang seterusnya membawakan dua orang pembentang makalah yang mebahaskan aspek astronomi dan sains sosial dalam perkembangan tamadun kemanusiaan. Sdr. Wan Aimran (UKM) membentangkan makalah bertajuk Ilmu Astronomi dalam Peradaban Islam: Suatu Renungan Asasi, manakala Dr. Nurdeng Deuraseh membahaskan pemikiran Malek Bennabi dalam makalah beliau Sains Ketamadunan Pasca-Ibn Khaldun: Pemikiran Ketamadunan Malek Bennabi.
Keterujaan Kajian Angkasa Lepas Dari Zaman Mitos sehingga Zaman Saintifik
Manusia adalah makhluk yang diberikan kekuatan akal oleh Tuhan untuk sentiasa berfikir dan melakukan proses renungan. Astronomi adalah suatu cabang atau disiplin ilmu yang berkembang pesat dalam tamadun dan peradaban manusia sejak zaman kuno di mana mistos-mitos berkaitan angkasa raya menjadi kepercayaan manusia sehingga zaman saintifik, di mana manusia meneroka angkasa raya dengan indera mereka sendiri.
Sdr Wan Mohd Aimran secara cemerlang telah membentangkan perkara asas dalam memahami astronomi dalam tradisi ilmu Islam. Dalam tradisi tamadun Islam, astronomi mempunyai definisi, kedudukan, fungsi dan manfaat yang tersendiri. Walaupun hanya menyusun petikan-petikan daripada karya lain tentang astronomi, tetapi penyusunan ini begitu bermanfaat dalam mendapatkan gambaran umum keseluruhan untuk memahami mengapa manusia begitu teruja dengan kajian angkasa raya, tidak terkecuali manusia dalam peradaban Islam.
Pemikiran Ketamadunan Malek Bennabi: Rantaian Pemikiran Sosiologi Ibnu Khaldun
Dr. Nurdeng Deuraseh (UPM) membahaskan pemikiran Malek Bennabi dalam konteks ketamadunan. Menurut Malek Bennabi, tamadun itu merupakan hasil interaksi antara unsur manusia, tempat dan masa. Konsep tamadun seperti ini sangat identik dengan konsep sejarah. Berkemungkinan, Malek Bennabi menyamakan konsep tamadun dengan konsep sejarah.
Malek Bennabi juga mengemukakan teori putaran tamadun (cycle of civilization) tetapi sedikit berbeza dengan teori-teori sikal yang diutarakan oleh para sejarawan Barat. Beliau meletakkan fasa pertama dalam pertumbuhan tamadun ialah fasa spiritual (spiritual phase), diikuti fasa rasional (rational phase) dan fasa naluri (instinctive phase). Justeru, menurut beliau, tamadun itu tercipta sempurna sejak awal pertumbuhannya kerana dipandu oleh wahyu dan kemudiannya semakin merudum oleh sebab semakin menjauhnya manusia daripada hakikat kehidupan yang dilandasi wahyu Ilahi.
Oleh yang demikian, menurut Malek Bennabi, teori putaran yang beliau gagaskan ini bersifat sejagat dan boleh digunapakai dalam semua tamadun manusia. Di samping itu, beliau juga mengetengahkan tiga tipologi masyarakat: masyarakat pra-tamadun, masyarakat bertamadun dan masyarakat post-tamadun.
Dr. Nurdeng juga telah melakukan perbandingan awal antara idea Malik Bennabi tentang masyarakat dan konsep tamadun dengan gagasan ketamadunan oleh tokoh-tokoh pemikir lainnya seperti Ibnu Khaldun dan Arnold Toynbee. Perbandingan ini adalah cukup signifikan memandangkan ketiga-tiga tokoh ini berbicara tentang mauduk dan cakupan kajian yang sama.
Khulasah: Fiqh al-Tahdhir sebagai Wacana Pentamadunan yang Dinamik
Selesai sidang ke-5 menandakan berakhirnya sepuluh pembentangan oleh para pengkaji dan ahli akademik dalam seminar ini. Sesi khulasah disempurnakan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK) merangkap Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH).
Dalam ucapan khulasahnya, beliau menggagaskan sebuah istilah bagi menggambarkan idea kajian ketamadunan yang diimpikan oleh para pemikir dan gerakan Islam: Fiqh Al-Tahdhir / Fiqh Pentamadunan. Bagi beliau fiqh pentamadunan adalah suatu disiplin ilmu penting yang wajar dibangunkan oleh umat Islam dalam mendepani cabaran ketamadunan semasa.
Dengan matlamat membina tamadun berketuhanan bagi menggantikan “a civilization without god”: tamadun semasa yang dominan, umat perlu kembali memahami epistemologi dan menggali khazanah keilmuwan dalam tradisi ketamadunan Islam yang pernah membuktikan kejayaannya suatu ketika dulu.
Dalam konteks membangun Fiqh al-Tahdhir, keupayaan memamahi dan menguasai tiga unsur utama yang dikenal sebagai Al-Thalath al-Athraf dalam pembinaan sesuatu fiqh itu sangat penting bagi memungkinkan hubung-kait dan dialog antara tiga unsur ini: unsur nas,unsur waqi’, dan unsur faqih menatijahkan suatu hasil yang dinamik.
Jika kita mengandaikan Fiqh al-Tahdhir sebagai suatu disiplin ilmu, maka ia adalah suatu disiplin ilmu yang ruang dan skop cakupannya begitu banyak dan mencapah. Justeru, bagi ulama dan cendekiawan: faqih – sebagai salah satu unsur pembinaan fiqh – perlu bukan sahaja menguasai unsur nas (Al-Quran dan Al-Sunnah), tetapi juga perlu memahami unsurwaqi’. Justeru, dalam membina Fiqh al-Tahdhir ini, kefahaman terhadap waqi’ semasa adalah penting. Ini bermakna penguasaan ulama dan cendekiawan Muslim dalam ilmu Sains Sosial, Humaniora dan Sastera Liberal Moden adalah sangat diperlukan. Dengan itu, barulah ulama dan cendekiawan Muslim mampu mendepani cabaran semasa dan membangunkan turath dalam kondisi zamannya.
Beliau juga menyarankan agar berlakunya perubahan budaya (cultural change) sebagai syarat berlakunya perubahan masyarakat (social change) yang seterusnya membangunkan tamadun. Ini merupakan suatu harapan besar – projek besar bagi melakukan rekonstruksi terhadap tamadun semasa. Rekonstruksi ini mengakar pada aspek spiritual dan kerohanian yang dipandu oleh wahyu Ilahi, menjadi suatu alternatif yang sangat signifikan dan relevan kepada masyarakat dunia hari ini yang gersang dan mula mencari-cari dimensi spiritual ini.
Dalam konteks Malaysia, beliau menyarankan supaya para pengkaji Sains Ketamadunan memanfaatkan kepelbagaian atau pluraliti masyarakat yang terwujud di sini. Justeru, tugas para pengkaji adalah untuk menyikapi asas-asas ketamadunan yang religius, insani, dan rabbani konteks waqi’ kepelbagaian (pluraliti) dengan memanfaatkan dialog ketamadunan (civilizational dialogue) yang berlaku dalam sejarah negara ini yang mana semua agama-agama besar dunia ada di sini dan kepelbagaian etnik dengan budaya yang berbeza satu dengan yang lainnya, tetapi masih utuh mempertahankan identiti masing-masing, sejak zaman-berzaman.
Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
18 Februari 2015, 09:26 pagi