Apabila berbincang tentang usrah, secara tidak langsung kita sebenarnya sedang berbincang tentang diri. Dengan penuh kesedaran, kita menyatakan keprihatinan bagaimana hendak menjayakan pembentukan diri yang manusiawi. Sebagai insan yang menempuh fasa kehidupan yang berubah-ubah, pengisian-pengisiannya harus mampu memenuhi keperluan diri yang sudah berbeza. Namun, adakah kita pernah terfikir mengapa kita menggabungkan diri dengan usrah? Bagaimanakah yang dikatakan sebagai usrah? Apakah tuntutan dan implikasi usrah terhadap diri kita? Dan apakah isi kandungan yang terdapat di dalam usrah?
Secara umumnya, tidak ada definisi yang tetap terhadap usrah. Hari ini, usrah yang tumbuh bagai cendawan popular dengan gelaran bulatan gembira, happy circle, usrah osem, study circle dan bermacam-macam lagi. Artis yang baru berhijrah juga turut mempunyai usrah. Walaupun demikian, asal sahaja pemahaman kita itu berupaya menampung makna keluarga dan rukun-rukunnya, itu sudah memadai. Cukup dengan pendefinisian yang ringkas dan padat, erti yang mendalam dan bermakna, tidak sempit serta merentasi sempadan bulatan. Maka, memahami usrah dengan maksud yang luas, lebih membuka ruang kepada orang lain untuk menyertai usrah dan menerima manfaat daripadanya. Justeru, usrah harus ditampilkan dengan wajah kegembiraan sesuai dengan gelaran yang diberikan kepadanya. Usrah yang dilambangkan sebagai tautan hati itu begitu bermakna dalam mengisi kekosongan hidup seseorang. Demikianlah sesuatu yang menggembirakan hati akan menerbitkan rasa cinta manusia dan terasa menjadi sebahagian daripadanya.
Dalam pada itu, usrah mestilah didatangi dengan niat yang betul. Insan seringkali terkeluar dari landasan kerana tujuan dan matlamat yang tidak jelas atau niat yang bercampur-campur. Justeru, berinteraksi dengan usrah hendaklah berdasarkan niat yang jujur dan ikhlas. Konsep usrah sebagai tradisi belajar secara bersama harus diyakini sebagai wadah untuk membina dan membentuk keperibadian diri. Juga mengikat diri dengan usrah ialah bertujuan untuk menyuburkan jiwa beragama, mendalami ‘ilmu, meningkatkan kualiti iman dan amal soleh sekaligus sebagai medium untuk merapatkan hubungan dengan Allah. Dengan kata lain, jika kita tidak mampu melihat tujuan menyertai usrah, jadilah kita keluar masuk usrah tidak ubah seperti penyertaan ke dalam persatuan biasa yang lain. Andai hari ini usrah itu kecil pada pandangan mata orang, hendaklah kita memandang usrah dengan pandangan yang besar dan istimewa. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh Allah beserta orang-orang yang berbuat baik”. (Al-Ankabut, 30: 69)
Manakala dari sudut yang berbeza, bentuk(container) dan isi kandungan(content) memainkan peranan penting dalam mencorakkan produk usrah. Apakah kaitan di antara bentuk dan isi? Maksud bentuk usrah di sini boleh difahami sebagai berdisiplin menjalankan usrah dengan kekerapan yang dipersetujui bersama, hadir menepati waktu, menyiapkan bahan perbincangan, bersedia dengan buku catatan usrah serta menjalankan tugas yang telah ditetapkan. Isi kandungan usrah pula berkaitan dengan tadabbur ayat Al-Quran, kupasan hadith, ulasan isi buku serta perbincangan berkenaan isu-isu semasa. Antara bentuk dan isi, kedua-duanya harus berada dalam persamaan yang seimbang. Jika bentuk usrah cantik tetapi isi kandungannya hambar, ia akan membosankan. Begitu juga dengan isi yang cantik tetapi tidak mempunyai bentuk yang tetap, boleh jadi ia akan menimbulkan kecewa dan buruk sangka dalam kalangan ahli usrah. Oleh itu, titik temunya ialah pada menjadikan usrah itu bersifat anjal dengan menyantuni kemampuan dan keperluan ahli usrah yang berbeza di antara satu sama lain.
Dari sudut yang lain, ikatan usrah harus mampu menampilkan jalinan yang sepadu di antara jasmani dan rohani serta intelektual dan emosi. Jika dalam usrah ada buku dan qiamulailnya, demikian juga usrah harus ada makan,minum dan rekreasinya. Ia umpama rahim ibu yang menyediakan sumber untuk tumbesaran manusia. Justeru, usrah adalah medan menajamkan pemikiran, memurnikan rohani dan menguatkan jasmani untuk melahirkan generasi padu(solid generation) laksana madrasah nabawi yang pernah melahirkan jiwa-jiwa besar yang mencerahkan umat manusia. Jika usrah ditekuni dengan tertib, ia mampu menyuntik nilai perwatakan yang unggul seperti bersikap terbuka, kuat menjaga rahsia, boleh dipercayai, rasa kebersamaan serta beradab dalam perbezaan pandangan. Jelas, daripada keseimbangan dalam usrah, niat yang ikhlas, bentuk dan isi kandungannya yang padu, tidak hairan usrah berupaya melahirkan tokoh pejuang dakwah yang tulen(genuine). Perjuangan membina diri adalah seruan kepada kehidupan yang hakiki sesuai dengan firman Allah yang terungkap dalam ayat:
“Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberikan kehidupan kepadamu”. (Al-Anfal, 8: 24)
Penting untuk diperkatakan bahawa kekuatan sesebuah gerakan diukur dengan komitmen menghidupkan usrah. Demikian juga kekuatan usrah, komitmen individu pendukungnya yang menjadi sandaran. Justeru, apabila kita menghubungkan diri dengan gerakan, maka usrah menjadi identitinya. Pembinaan usrah yang berpaksi kepada spiritual dan intelektual, membawa kepada pembinaan idealisme yang menuntut kepada terjemahan dalam bentuk tindakan dan gerakan. Di samping itu, kesempatan mengikuti usrah haruslah berupaya mengembangkan kekuatan berfikir(thinking capacity) hingga mampu melihat sesuatu perkara dengan kritis. Oleh yang demikian, usrah jelmaan madrasah nabawi ini mesti hidup dan menghidupkan sekaligus harus mampu memberi natijah yang besar. Di dalam usrah, kita mengumpul keberanian dan kekuatan dengan menjadikan usrah sebagai unit asas organisasi bagi merancang aktiviti untuk berinteraksi dengan masyarakat.
Lantaran itu, eksistensi manusia bergantung kepada sejauh mana orang lain mendapat manfaat daripada dirinya. Demikianlah kewujudan kita itu harus dirasai dan memberi maslahah bukan hanya sekadar bermanfaat buat diri sendiri. Oleh yang demikian, individu kelahiran usrah seharusnya beerti kepada orang lain sebagai tempat berpaut dan menumpang teduh hasil daripada pembentukan peribadi yang teguh dan kental bagai sebuah institusi. Justeru, rangka besar pembinaan generasi rabbani itu harus tegak di atas asas yang kuat dan kerana itulah kata usrah dipadankan dengan kata nukleus untuk menggambarkan fungsinya yang begitu penting kepada sel. Realitinya, usrah sebagai tunjang tarbiyyah ialah proses yang bersifat jangka panjang dan berterusan serta kejayaannya menuntut kepada jiwa yang bersih dan iman yang subur. Oleh itu, insan yang terputus dari proses tarbiyyah adalah seumpama layang-layang yang terputus talinya. Terkapai-kapai tanpa ikatan yang mengawal arah dan tujuannya. Begitulah selamanya urusan kita yang besar-besar tidak akan selesai selagimana perkara asas masih rapuh, lemah, goyah dan tidak dihiraukan. Maka, usaha menekuni usrah adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Pesan Hassan Al-Banna:
“Wahai anak-anak muda, sesungguhnya sesuatu fikrah akan berjaya apabila diyakini, diimani dengan kuat, dianuti, diperjuangkan dengan ikhlas dan kesediaan untuk bekerja, beramal dan berkorban untuk merealisasikannya. Semua unsur-unsur ini iman, ikhlas, semangat, amal pengorbanan adalah ciri-ciri kepemudaan”.
Tulisan Saudara Muhammad Ukasyah Azhari, Penolong Setiausaha Agung PKPIM 2