PMG Sarawak 2013 telah diadakan pada 1-3 Februari 2013 berjaya menghimpunkan 107 orang peserta yang terdiri daripada lepasan SPM dan STPM. Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sekali lagi menjadi kawasan perkampungan kali ini dengan mengangkat tema “Menjejak Peribadi, Mengakar Rohani, Mencetus Inspirasi”. Para peserta didedahkan dengan gambaran awal kehidupan di alam kampus yang dkongsikan oleh para fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa UIAM, UKM, UNIMAS, UiTM dan Politeknik. Bagi melahirkan mahasiswa ideal, pihak PERKEPIS telah menyediakan aktiviti seperti Debat Mahasiswa, Explorace MENARA dan Latihan Dinamika Kumpulan.
Saudara Khairul Anuar Abdul Manap (Setiausaha Agung PKPIM_ telah dijemput sebagai salah seorang panel “Bicara Mahasiswa” yang membincangkan topik “Mahasiswa Kelas Pertama”. Beliau menjelaskan bahawa mahasiswa berperanan sebagai the enlighten of soul yang berfungsi untuk mencerahkan masyarakat dengan intelektualisme dan spiritualisme. Selain itu, beliau turut berkongsi formula untuk menjadi mahasiswa kelas pertama. Kata beliau, dua perkara penting yang harus dimaknai oleh seseorang mahasiswa ialah ilmu dan skill. Kedua-duanya akan membantu mahasiswa untuk menjadi intelektual-aktivis kepada masyarakat demi membangunkan agama, bangsa dan negara.
Dalam sesi penutupan pula, ucapan perasmian telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Siti Raudzah Ghazali, Timbalan Dekan Pusat Pemajuan Pelajar UNIMAS. Beliau mengingatkan kepada peserta PMG untuk menggunakan kesempatan yang ada dengan berkenalan dengan semua fasilitator bagi memudahkan dalam pemilihan jurusan untuk di menara gading nanti. Selain itu, beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua penggerak PMG Sarawak kerana berjaya melaksanakan program yang jarang dilaksanakan oleh pertubuhan pelajar lain.