Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pandangan yang dikemukakan Tuan Yang di-Pertua Dewan Negara, YB Senator Tan Sri Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar terkait penurunan umur lantikan Ahli Dewan Negara.
Perkara 47(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seorang warganagera boleh dilantik sebagai ahli Ahli Dewan Negara jika dia berumur tidak kurang daripada 30 tahun.Peruntukan ini tidak pernah diubah sejak penyediaan Perlembagaan Merdeka oleh Suruhanjaya Reid pada 1956.
Umur 30 tahun bagi melayakkan seseorang itu dipilih dan dilantik sebagai Ahli Dewan Negara adalah tinggi ketimbang umur minimun membolehkan seseorang warganegara dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat iaitu 18 tahun.
PKPIM mencadangkan perkara ini dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk kajian terperinci kepada keperluan penggubalan suatu rang undang-undang pindaan perlembagaan penetapan umur Ahli Dewan Negara.
Untuk rekod, usul berkaitan penurunan umur lantikan Ahli Dewan Negara telah dibahas dalam Sidang Majlis Perundingan Belia Negara pada 26 Januari 2023. Penurunan had umur kelayakan Ahli Dewan Negara pastinya membuka peluang bagi golongan mahasiswa anak muda mendapat tempat dalam Dewan.
PKPIM turut berharap usaha reformasi institusi termasuklah Reformasi Dewan Negara dapat dilaksanakan bagi memastikan prestij dan kedudukan Dewan Negara terus dimartabatkan.
“Hidup Biar Berjasa”
Ahmad Farhan Bin Rosli,
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Perundangan, Hak Asasi dan Hal Ehwal Parlimen,
Majlis Belia Malaysia (MBM)