Kem Anak Soleh ke-13 telah berjalan dengan lancar pada 27 hingga 30 Mei 2013 yang lalu. Program yang diadakan 2 kali setahun ini disertai oleh 110 orang pelajar Tahun 1 hingga Tahun 4 Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI ABIM), Sg. Ramal Dalam, Bangi. Sekali lagi, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) diberi amanah untuk mengendalikan kem ini yang berlangsung di sekolah tersebut.
Berbeza dengan kem yang lepas yang bertemakan kemahiran berbahasa, kali ini pengisiannya tertumpu kepada pemahaman serta latihan solat dan fardhu ‘ain. Penyampaian pengisian bagi program ini disampaikan oleh 20 orang fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa dari UNISZA, Kolej Universiti Islam Selangor, Kolej Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pesantren Gontor, dan lepasan matrikulasi.
Program ini yang julung kalinya disertai oleh majoriti pelajar Tahun 1 dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi Qira’ati/Hafazan dan sesi Fardhu ‘Ain. Topik Solat dan Wudhu’ ditekankan di dalam sesi Fardhu ‘Ain terutama dari segi praktikal. Peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan dan diajar cara berwudhu’ dan solat dengan sempurna dengan bantuan daripada fasilitator.
Bersesuaian dengan sifat kanak-kanak yang suka bermain, permainan interaktif dan aktiviti ‘Explorace’ diselitkan pada hari ketiga program di mana peserta diuji pemahaman mereka berkenaan Fardhu ‘Ain di 10 ‘checkpoint’ yang disediakan.
Pada hari terakhir telah diadakan sesi ‘Persembahan Anak Soleh’ di mana setiap kumpulan membuat persembahan bertemakan ‘Anak Soleh’. Antara persembahan menarik ialah nyanyian lagu tema iaitu ‘Demi Matahari’, ‘Erti Al-Fatihah’, dan ‘Terima Kasih, Cikgu’. Aktiviti ini membantu menyerlahkan bakat dan potensi peserta di samping memberi semangat kepada mereka untuk berani tampil di khalayak ramai.
Selepas selesainya persembahan, sesi penyampaian hadiah diadakan. Pn. Roslah selaku Guru Penolong Kanan SERI dan Pn. Nazli Hashim selaku Guru Panitia Pendidikan Islam SERI telah menyampaikan hadiah kepada Peserta Hafazan Terbaik, Peserta Lelaki Terbaik, Peserta Perempuan Terbaik, dan Kumpulan Terbaik. Fasilitator juga dihadiahkan sijil dan cenderamata.
Semoga peserta-peserta cilik ini menjadi anak yang soleh dan solehah di dalam keluarga yang seterusnya menjadi pemimpin harapan negara dan agama satu masa kelak. InsyaaAllah, Kem Anak Soleh ke-14 akan menyusul pada bulan November ini. Hidup Biar Berjasa!
HAWA MAS AZMAR BINTI AHMAD
Exco Latihan dan Pembangunan PKPIM