Pilihanraya kampus (PRK) kembali mewarnai sesi pemilihan barisan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pemilihan yang diadakan sekali dalam setahun ini umpama suatu perayaan kepada mahasiswa untuk melihat sejauh mana wibawa dan berkualitinya calon yang bertanding untuk dijadikan pemimpin mereka. Ketika ini, sudah pasti proksi yang bertanding pasti sibuk untuk menamakan calon-calon yang bakal bertanding untuk mewakili mereka untuk memenangi hati bakal pengundi mereka.
Mahasiswa adalah insan yang terdidik dan kaya secara akademik dan harus juga peka terhadap persekitaranya. Kualiti semulajadi dalam diri mahasiswa ini harus dikekalkan agar identiti mahasiswa bitara terus disegani oleh masyarakat sebagai insan yang berilmu. Oleh itu, politik kampus harus diwarnai dengan perdebatan idea dan pandangan yang berasaskan ilmu yang benar.
Menurut Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, seorang sarjana Islam tersohor masa kini, “Ilmu adalah ketibaan makna kepada diri dan ketibaan diri kepada makna”. Oleh itu, perdebatan yang dianjurkan ketika berlangsungnya tempoh berkempen harus berasaskan kepada perdebatan yang bermakna dan memberi manfaaat kepada pendengarnya. Mahasiswa harus mempunyai kemampuan sebagai human transformer kepada mahasiswa di dalam kampus mahupun masyarakat sekitarnya.
Universiti harus menjadi tempat lahirnya pemimpin yang bercita-cita tinggi. Manifesto yang dicipta dan dirangka perlu melebihi isu memperjuangkan kebajikan pelajar. Isu sosio-masyarakat harus juga dimainkan oleh para calon yang bertanding. Mahasiswa seharusnya memainkan peranan mereka sebagai the conscience of the majority bagi membalas kepercayaan dan sanjungan tinggi masyarakat terhadap mereka selama ini.
Andai kita mahu melihat pemimpin masa depan negara, maka pilihanraya kampus adalah antara tempatnya untuk melihat antara calon-calonnya. Memetik kata-kata Pak Natsir, seorang pemimpin profilik dari Indonesia, “Pemimpin tidak akan lahir di bilik-bilik kuliah tetapi ia akan lahir di tengah-tengah kancah masyarakat”.
Calon-calon yang bertanding harus mempunyai visi dan misi untuk membawa mahasiswa dekat dengan masyarakat dengan memberi khidmat dan pencerahan kepada mereka. Keakraban mahasiswa dan masyarakat pernah menjadi sebahagian coretan manis dalam sejarah aktivisme mahasiswa ketika lewat 1960-an.
Mahasiswa ketika itu bertindak sebagai mobilizing force untuk memberi ceramah kesedaran dan membantu membangunkan kualiti hidup masyarakat desa. Mahasiswa bersatu sebagai sebuah gerakan kesedaran besar-besaran turun ke masyarakat demi membalas budi atas sumbangan rakyat yang membayar cukai untuk pembiyaan pelajaran mereka dan pembinaan universiti.
Sesungguhnya, politik pilihanraya kampus era kini harus kembali dibina dengan asas ilmu dan rasa ingin berbakti kepada masyarakat. Inilah antara pra-syarat ke arah melahirkan pemimpin berjiwa rakyat di masa hadapan. Selamat berkempen kepada calon yang bertanding!
MUHAMAD ZIKRI BIN JINAL
Exco Penerangan
PKPIM Sesi 2013/2014