“Selamat Kembali Ke Sekolah: Menuntut Ilmu Suatu Kemuliaan”
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Al-Mujadilah:11).
1- Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin, wabihi nasta’in ‘ala umuri d-dunya wa d-din.
2- Segala puja puji kepada Allah yang telah mengajarkan kita dengan ilmu yang benar, cara hidup yang sebenar dan kesudahan yang tiada keraguan padanya.
3- Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, panduan dan ikutan kita, yang sangat kita cintai dan insan yang sangat mengingat akan umatnya termasuk kita semua.
SESI PERSEKOLAHAN BERMULA: ORANG BERIMAN DIUJI KERANA ALLAH PEDULI
Saudara-saudara,
4- Sesi persekolahan baharu sudahpun bermula. Pagi ini (12 Januari), adik-adik kita akan memulakan persekolahan bagi tahun baharu 2015.
5- Sesi persekolahan kali ini ditangguhkan akibat banjir yang melanda negara. Banjir kali ini dikira agak dahsyat sehingga menyebabkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan bilangan mangsa yang terjejas mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
6- Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah mengampuni kita dan saudara-saudara kita. Sesungguhnya ujian yang Allah timpakan kepada kita, orang-orang yang InshaAllah beriman adalah disebabkan kasih dan sayangnya Allah kepada kita semua. Kerana Allah peduli, maka Allah menguji.
7- Walaupun esok merupakan permulaan sesi persekolahan baharu, masih terdapat banyak lagi sekolah yang masih belum siap untuk memulakan sesi persekolahan terutama di kawasan terjejas banjir.
8- Jika sekolah pun masih belum dapat menyediakan kemudahan untuk persekolahan, bayangkan bagaimana keadaan ribuan anak-anak yang terjejas akibat banjir. Maka, jadi kewajiban kita membantu mereka.
MENUNTUT ILMU ITU KEWAJIBAN: RAIKAN AMANAH TUHAN
8- Sesungguhnya menuntut ilmu adalah kewajiban bagi seluruh umat. Semua orang sedia maklum akan sabdaan Ar-Rasul s.a.w:
“Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap muslim” (Hadith Riwayat Bukhari)
9- Adik-adik kita mungkin ada yang akan memulakan persekolahan tahun pertama, mungkin ada yang meneruskan persekolahan untuk tahun-tahun berikutnya, mungkin ada yang bertukar ke sekolah baharu, mungkin akan memasuki sekolah berasrama. Walau apa pun ragam permulaan sekolah, ingatlah bahawa persekolahan harus jadi proses menuntut ilmu dan pembinaan karekter.
10- Mulakanlah pagi adik-adik dengan solat Subuh, membaca doa, dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. InshaAllah mudah-mudahan Allah berkati.
11- Marilah raikan suruhan Tuhan iaitu menuntut ilmu dengan penuh kegembiraan. Ingatlah, bahawa ada ganjaran menanti orang-orang yang bersungguh dalam menuntut ilmu:
“Barangsiapa yang menempuh jalan kepada ilmu, maka akan Allah permudahkan jalan-jalan untuknya ke syurga” (Hadith riwayat Muslim)
Saudara-saudaraku penuntut ilmu,
FORMULA TIGA PESAN: BUDAYA YANG BAIK UNTUK PELAJAR YANG BAIK
12- Pesan-pesan ini bukan sahaja kami tujukan kepada adik-adik yang bakal memulakan persekolahan, tetapi juga kepada seluruh warga PKPIM samada yang menuntut di sekolah menengah, mahupun di IPT.
13- Hendaklah kalian ingat bahawa pemergian kalian untuk menuntut ilmu adalah disandarkan dengan harapan: harapan ibu bapa, harapan negara, harapan umat.
14- Justeru, persiapkan diri kalian dengan sebaiknya. Jangan leka dengan hiburan, permainan dan perkara-perkara yang melekakan.
15- Inilah formula “tiga pesan” yang selama ini kita amalkan. Mudah-mudahan berkesan dan mencapai kejayaan:
(i) Pesan pertama: Jangan tidur selepas Suboh.
(ii) Pesan Kedua: Bawa buku ke mana-mana.
(iii) Pesan ketiga: Khidmat.
16- Pesan pertama (Jangan Tidur Selepas Suboh): Pagi adalah anugerah Tuhan yang sangat luar biasa. Pagi hari selepas bangun tidur, kita akan merasai kesegaran setelah anggota badan diberi ruang untuk berehat. Pada pagi hari juga pintu rezeki dibuka seluasnya. Yakinlah akan rezeki Tuhan. Salah satu rezeki Tuhan adalah dimudahkan urusan, diberikan kekuatan ingatan, diilhamkan dengan ilham yang baik-baik. Justeru, manfaatkan pagi anda sebaiknya. Jangan terlanjur tidur pada pagi hari.
17- Pesan kedua (Bawa buku ke mana-mana): Buku adalah salah satu sumber mendapatkan ilmu. Membaca adalah salah satu proses mendapatkan ilmu. Seperti kata pepatah: “membaca jambatan ilmu”. Dengan membaca, kita akan dapat memperoleh ilmu. Budaya membaca adalah penting dalam pembentukan budaya ilmu. Apa maknanya sekolah tanpa budaya ilmu sedangkan ia jadi pusat penyebaran ilmu pengetahuan yang utama bagi anak-anak bangsa kita.
19- Pesan ketiga (khidmat): Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, sekolah bukan sahaja menjadi tempat penyaluran ilmu pengetahuan tetapi juga menjadi tempat pembinaan karekter pelajar. Justeru, salah satu nilai penting yang wajar diterapkan adalah nilai ‘khidmat’. Sentiasalah tanamkan sifat ini dalam diri, sedia membantu orang lain, bantu guru, rakan-rakan dan orang lain yang memerlukan dengan upaya yang kita ada. InshaAllah pada saat kita sangat memerlukan, bantuan Allah akan tiba.
Saudara-saudaraku sekalian,
PERSIAPAN KE SEKOLAH: BEKAL-BEKAL PENTING
20- Apakah bekalan penting untuk ke sekolah? Ingat beberapa bekalan ini, agar nanti persekolahan kalian lebih bererti.
21- Pertama, persiapan pada malam sebelum persekolahan: ikut jadual waktu, siapkan kerja rumah, buat ulangkaji, baca sedikit untuk pelajaran esok dan siapkan pakaian ke sekolah awal.
22- Kedua, bangun awal pada pagi hari. Solat subuh dan baca Al-Quran. Jamah sedikit makanan buat alas perut. Jangan lupa bawa bekal air masak atau mineral.
23- Ketiga, dapatkan restu ibu dan bapa. Cium tangan mereka sebelum ke sekolah. Mohon mereka doakan.
24- Keempat, ketika dalam perjalanan ke sekolah, sama ada berbasikal, berjalan kaki, atau dengan bas, atau dihantar ibu bapa, bacalah ayat-atat suci al-Quran dan doa yang anda hafal. Mudah-mudahan anda diberkati sepanjang perjalanan.
25- Kelima, sewaktu masuk ke kelas, cepat-cepat keluarkan buku dan peralatan yang diperlukan untuk subjek yang akan dipelajari. Elakkan membuang masa dengan bersembang-sembang atau bermain-main dalam kelas. Mulakan kelas dengan membaca surah Al-Fatihah dan doa penerang hati.
26- Keenam, hormati guru ketika beliau sedang mengajar. Respon dengan baik apa yang diajarkannya. Jika tidak faham, angkat tangan dan bertanyalah pada ketika dibenarkan.
27- Ketujuh, akhiri kelas dengan mengucapkan alhamdulillah, dan membaca surah Al-‘Asr.
28- Mudah-mudahan, proses menuntut ilmu kita akan diberkahi Tuhan.
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA: APA LAGI MASALAHNYA?
Saudara-saudaraku yang berjasa,
29- PKPIM sebagai sebuah pertubuhan pelajar sentiasa peduli dengan nasib dan masa depan pendidikan anak bangsa.
30- Kami yakin bahawa bangsa ini hanya boleh maju dengan pendidikan yang baik. Justeru, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) yang dirangka oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah suatu pelan yang perlu diberi perhatian, memandangkan ia masih di peringkat percubaan walaupun setahun lebih telah berlalu.
31- Baru-baru ini, KPM telah membuka ruang survei kepada rakyat bagi mendapatkan maklumbalas tentang pelan ini. Ternyata, ia menjadi tamparan hebat kepada KPM apabila nasib ribuan pelajar tingkatan tiga tahun lepas diambang kritikal akibat pelaksanaan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) dengan konsep Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan PMR.
32- Justeru, PKPIM masih lagi dengan pendiriannya, sejak pelan awal PPPM dilancarkan pada September 2012, supaya KPM kembali meneliti syor rakyat dan jangan tergesa-gesa dalam implementasi sesuatu perkara baharu.
33- Pendidikan bukan sesuatu yang boleh diperjudikan. Ia adalah masa depan anak bangsa dan negara ini.
GURU DAN BAKAL GURU: APA NASIB MEREKA?
34- Dalam masa yang sama, isu lambakan graduan pendidikan yang menganggur menjadi suatu lagi perkara yang wajar dibangkitkan.
35- Bagaimana tempat dan kekosongan bagi bakal guru tidak seimbang dengan pengambilan pelajar di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Fakulti Pendidikan di IPT?
36- Dalam masa yang sama, bagaimana mungkin terdapat sekolah-sekolah tertentu terdapat guru-guru yang terpaksa mengajar subjek yang bukan bidang mereka? Perkara ini amat mendukacitakan.
37- Dalam konteks pendidikan yang berkualiti, guru memainkan peranan penting. Justeru kebajikan guru perlu dititikberatkan. Mereka berkorban masa dan tenaga dalam mendidik dan memandaikan anak bangsa. Oleh yang demikian, mereka wajar dilayan dengan setimpal.
GURU INSAN TERPILIH: MEWARISI TUGAS RASULULLAH
38- Buat para guru, anda adalah orang-orang terpilih yang mengemban tugasan berat, menyampaikan ilmu, mendidik pelajar jadi manusia berguna.
39- Justeru, didiklah dengan jiwa. Sekolah bukan tempat menimpakan stres dan tekanan, tetapi sekolah adalah ‘syurga’ kerana di dalamnya ada ilmu, ada kasih sayang dan ada keberkatan.
40- Kenangilah sabdaan Ar-Rasul s.a.w:
“Orang yang berkasih sayang, akan disayangi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah penduduk bumi, engkau akan dikasihi penduduk langit (para malaikat).”
41- Memang para Nabi dan Rasul ditugaskan menjadi guru: “Sesungguhnya aku diutuskan sebagai guru”. Justeru, menjadi guru adalah warisan tugasan Nabi s.a.w. Ada dua ciri seorang guru yang baik: i) ‘Human Transformer’ dan ii) ‘Culture Builder’. Mudah-mudahan Allah memelihara kalian yang menjadi guru, dan memelihara para guru kami.
KHATIMAH: ORANG BERIMAN KUAT BERUSAHA
42- Buat akhirnya, berusahalah kita semua bagi mencapai kejayaan. Allah akan menilai usaha kita dan mengganjarinya dengan setimpal.
43- Orang beriman memanifestasikan keimanannya dalam kehidupan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. InshaAllah, berjaya dunia akhirat.
44- Semoga berada dalam rahmat Allah. Sesungguhnya pesan-pesan ini adalah untuk kalian, warga jamaah dan aktivis PKPIM seluruh negara.
45- Semoga Allah memberkati. Wallahua’lam. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
12 Januari 2015/ 21 Rabiulawwal 1436H