Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Perutusan Presiden Sempena Kembali ke Medan Ilmu Pelajar-pelajar Seluruh Malaysia


04 Januari 2017

“Selamat Menikmati Kelazatan Ilmu, Guru Mithali Pelajar Berbudi”

1. Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin wal ‘Aqibatulil Muttaqin Wala ‘Udwana illa ‘Alaz zholimin. Rabbi Zidni ‘ilma Warzuqni Fahma.

2. Setinggi kesyukuran infiniti dirafak kehadrat Ilahi,Tuhan penguasa sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan Agung Al Rasul SAW, pemimpin ulung penyebar rahmat dan berkat hingga kita dapat mengecapi nikmat Iman dan Islam yang sangat berharga.

3. Bermula lembaran dan keazaman baharu buat semua pendidik dan pelajar seluruh negara memulakan semula sesi persekolahan bagi tahun 2017. Saya mewakili teman-teman Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan selamat kembali ke medan ilmu, tampil dengan semangat dan keyakinan untuk lebih cemerlang.

Adik-adik yang bitara,

5. Menuntut ilmu adalah suatu kewajipan. Ini menepati pesan al Rasul SAW dalam sabdaan: “Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap Muslim” (Hadith Riwayat Bukhari). Justeru, perbetulkan niat, perteguh tekad untuk lebih cintakan ilmu dan senantiasa memotivasikan diri memberi tumpuan terbaik dalam pelajaran. Menuntut ilmu suatu kelazatan,maka nikmatilah ia dengan penuh kesungguhan.
Sasterawan dan ahli balaghah Abu Hilal al-‘Askari menegaskan pengalaman menikmati kelazatan ilmu merupakan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Beliau berkata, “sejak kami mengenal nikmat ilmu tidak lagi kami merasai nikmat rasa manis dan lazat yang lain”

Adik-adik yang punyai semangat juang yang tinggi,

6. Disiplinkan masa kalian dengan sebaiknya. Tempoh bercuti yang panjang pelbagai kegiatan yang telah dilakukan. Pastinya seronok dengan pengalaman yang menghiburkan. Apapun, tatkala memasuki kembali fasa persekolahan, susun dan aturlah jadual kehidupan seharian dengan sistematik. Bangkit awal pagi dan uruskan diri dengan cara terbaik. Positifkan diri setiap hari dengan ungkapan-ungkapan hebat seperti “aku boleh”, “aku bitara”, “aku hebat”, “aku semangat” dan lain-lain. Kehidupan dan pembelajaran yang dilalui akan lebih bermakna.

Adik-adik yang berbudi dan berjasa,

7. Jagalah hubungan yang baik dengan ibu bapa dan guru-guru. Juga kepada rakan-rakan dan insan sekeliling. Guru-guru ibarat ibu bapa di sekolah. Hormatilah mereka, berikan khidmat dan bantuan seperti menolong mengangkat buku,barang dan sebagaiya. Apabila ingin bertanya sesuatu soalan,tanyalah dengan sopan dan beradab. Titipkan ucapan salam dan senyuman apabila bertemu mereka.
Yakinlah adik-adik bahawa kita inginkan kecemerlangan dan keberkatan ilmu dengan menjaga adab dengan guru.

Guru-guru yang mithali,

8. Kalian sedang memikul satu tanggungjawab yang sangat mulia, penyambung Risalah al Rasul SAW kerana Baginda juga adalah guru. Berbahagialah kalian kerana terpilih untuk meneruskan tugas mulia ini.
Dalam situasi dunia “banjir idola,kemarau teladan”, guru berperanan penting untuk jadi teladan terbaik buat anak didik. Moga kalian terus diberi kekuatan dan ketabahan mendidik generasi ini yang sedang dipersiapkan untuk kepemimpinan Umat. Didiklah dengan jiwa kerana sekolah itu adalah “syurga”.

Guru-guru yang teguh dan gigih,

9. Rasullullah SAW ada bersabda, “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amal perbuatannya, kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya” (Hadith Riwayat Imam Muslim).
Tentunya segala ilmu bermanfaat yang diajarkan oleh kalian pahalanya berkekalan hingga ke akhirnya. Terus ikhlaskan niat mendidik, sabar dan cekal mengharungi warna warni dunia pendidikan. Semoga peranan guru sebagai Mu’allim, Murabbi, Muaddib dan Mursyid dapat dihayati dan dimaknakan dengan baik. Jelaslah bahawa kerjaya guru adalah sangat mulia dan terhormat dengan tugasan dan peranan sedemikan.

Guru-guru, teman-teman dan adik-adik yang cintakan ilmu,

10. Semoga kehidupan kita memperoleh keberkatan dariNya. Ayuh kita gigihkan usaha untuk mencapai impian dan matmalat yang diimpikan. Terapkan dalam diri kita semua semangat sedia belajar,mengajar dan diajar. Moga natijah kejayaan kita peroleh bersama dengan izin Ilahi dan terus menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain.
Selamat menikmati ilmu!!!

Terus berjuang, terus bitara, terus berjasa

HIDUP BIAR BERJASA

MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

04 Januari 2017

 

ARTIKEL & BERITA PKPIM

PERUTUSAN KHAS TAHUN BAHARU PRESIDEN PKPIM 23/24

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan selamat menyambut tahun baru buat semua rakyat Malaysia. Pada tahun baru ini, bersama-sama kita memanjatkan doa agar saudara-saudara di Palestin dipermudahkan segala urusan [...]
Read more

Program Dan Video

Kesemua video-video program dan pengisian terdahulu disimpan di channel ini.

Sembang Demokrasi Siri 4.0

Sembang Demokrasi Siri 3.0

Sembang Demokrasi Siri 2.0

Mari Sertai Kami, Hidup Biar Berjasa!

(PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan. Ia telah ditubuhkan pada tahun 31 Mac 1961 di Asrama Kedua, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Lokasi Kami
  • No. 8, Tkt, 1, Jalan Tc 2a/2, Taman Cemerlang, 53100 Kuala Lumpur 53300 Kuala Lumpur, Malaysia
  • +6017 372 0453 (SUK PKPIM)
  • pkpim_spp@yahoo.com
  • Isnin - Jumaat
    8.00AM - 5.00 PM
Ikuti Kami
PKPIM pada awal penubuhannya dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) dan hanya pada 29 September 1965, PKPIPTM ditukarkan namanya menjadi PKPIM.
Copyright 2024 © PKPIM All rights reserved. | Laman ini dikendalikan oleh PKPIMedia dan MASSA, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)